Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang
Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Halim Haji Hussain, EXCO Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan
Yang Berhormat Puan Zabidah Safar, Pegawai Kewangan Negeri
Yang Berusaha, Encik Kamarudin Hashim, Pengarah Urusan SC
Tetamu-tetamu kehormat,
Wakil-wakil Media,
Tuan-tuan, puan-puan dan para hadirin sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
- Bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat Datang ke Bersama InvestSmart @ Penang 2023.
- Yang paling utama, saya ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, di atas kesudian beliau hadir merasmikan acara ini iaitu inisiatif investor outreach SC yang pertama kali diadakan di Pulau Pinang.
- Sesungguhnya kehadiran Yang Amat Berhormat adalah amat bermakna bagi SC dan industri pasaran modal. Ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri untuk memastikan firma-firma, para pelabur dan penduduk tempatan dapat mengenali dengan lebih dekat serta mendapat manfaat yang yang lebih besar daripada pasaran modal.
- Untuk makluman, Bersama InvestSmart @ Penang 2023 ini juga diadakan selari dengan National Training Week 2023 anjuran Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp.
Hadirin yang dihormati sekelian,
- Pilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah acara Bersama InvestSmart @ Penang 2023 adalah penting kerana peranan dan sumbangan besar negeri ini kepada ekonomi negara.
- Banyak syarikat-syarikat tersenarai dalam pasaran saham negara berasal dari Pulau Pinang.
- Pulau Pinang juga diiktiraf secara meluas sebagai hab terkemuka untuk industri elektronik di Asia dan telah lama merupakan pusat utama untuk pembuatan dan eksport produk elektronik dan elektrikal.
- Kita mengambil maklum bahawa banyak syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di Pulau Pinang sedang mengembangkan pelaburan dan kegiatan mereka.
- Sebagai contoh, pelaburan terbaharu bernilai AS$7 bilion oleh Intel dalam sektor semikonduktor packaging di Pulau Pinang dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan akan meningkatkan lagi daya saing Malaysia sebagai hab elektronik global.
- Pada masa ini, sebanyak 85 syarikat di Pulau Pinang adalah tersenarai di Bursa Malaysia dengah jumlah permodalan pasaran (market cap) RM56.8 billion. Tambahan pula, sebuah lagi syarikat Pulau Pinang, Edelteq Holdings akan disenaraikan di Pasaran ACE pada akhir bulan ini.
- Oleh yang demikian, kami percaya pasaran modal boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan potensi penuh ekonomi Pulau Pinang.
- Dengan menyediakan akses kepada peluang pembiayaan dan pelaburan, pasaran modal boleh membantu perniagaan tempatan terutamanya SMEs berkembang dan melengkapkan ekosistem ekonomi Pulau Pinang.
- Ini dibantu dengan inisiatif-inisiatif ke arah menggalakkan inovasi dan keusahawanan di kalangan syarikat-syarikat tempatan.
- Dengan lokasinya yang strategik, tenaga kerja yang pelbagai yang disokong oleh institusi pengajian tinggi yang terkenal (USM), negeri ini telah mewujudkan eco-sistem atau persekitaran pelaburan dan industri yang kondusif. Kami melihat negeri ini mempunyai segala ramuan atau ingredients untuk terus berjaya di bidang ekonomi, sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebahagian penting dalam rangkaian supply chain dunia.
Para hadirin sekalian,
- Untuk makluman, SC telah mengadakan Program Navigate di sini semalam. Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang peluang pembiayaan mampan (sustainable finance) dan pembiayaan alternatif, terutamanya equity crowdfunding (ECF) dan peer-to-peer (P2P) financing.
- Platform pembiayaan alternatif tersebut boleh membantu syarikat-syarikat di Pulau Pinang mendapatkan akses dan pembiayaan daripada pasaran modal untuk mengembangkan perniagaan mereka. Bagi SC, ini penting kerana Pulau Pinang mempunyai banyak syarikat-syarikat yang layak untuk mendapat kemudahan pembiayaan ini.
- Setakat akhir tahun 2022, lebih 470 syarikat di Pulau Pinang telah menggunakan platform ECF dan P2P untuk menjana modal berjumlah RM193 juta.
- Salah satu syarikat ini ialah AngkasaX Innovation Sdn Bhd, yang menyediakan rangkaian Internet di ASEAN. Pada event kali ini, kita juga mempunyai syarikat-syarikat P2P dan ECF yang mengambil bahagian sebagai exhibitors.
- Pada tahun 2022, jumlah modal yang dijana melalui platform pengumpulan dana alternatif digital ini meningkat sebanyak 101% kepada RM76.9 juta daripada RM39.8 juta tahun sebelumnya. Ini mengatasi pertumbuhan 25% dalam pasaran keseluruhan.
- Malaysia Co-Investment Fund atau MyCIF juga telah melabur lebih RM27 juta ke dalam syarikat-syarikat di Pulau Pinang melalui platform ECF dan P2P sejak MyCif ditubuh pada suku ke-empat 2019 sehingga akhir 2022.
- Di seluruh negara, MyCIF telah melabur lebih RM630 juta melalui ECF dan P2P. Melalui MyCIF, syarikat-syarikat tempatan termasuk di Pulau Pinang berpeluang mendapatkan pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Para hadirin sekalian,
- Di sini saya ingin menyentuh sedikit mengenai pentingnya usaha meningkatkan tahap celik kewangan (financial literacy) di kalangan masyarakat Malaysia. Ini adalah penting memandangkan kegiatan penipuan atau scam kini semakin berleluasa.
- Pihak SC telah berkerjasama dengan agensi-agensi lain untuk membendung masalah ini. Walaubagaimanapun, di sebalik usaha kami, penipuan pelaburan terus meningkat, terutamanya melalui dalam talian atau online.
- Sejak dua tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan peningkatan ketara dalam penipuan dalam talian. Di antara 2020 dan 2022, jumlah aduan berkaitan penipuan telah meningkat sekali ganda (100%), daripada hanya 548 aduan pada 2020 kepada 1,124 pada tahun 2022 dengan jumlah kerugian mencecah puluhan juta ringgit.
- Pada tahun 2022, aduan berkaitan penipuan merangkumi hampir 60% daripada keseluruhan aduan yang diterima oleh pihak SC. Pihak SC berterusan mengambil tindakan untuk menyekat dan membenteras aktiviti-aktiviti penipuan.
- Sebagai contoh, pada tahun 2022, pihak SC telah menyenaraikan 267 nama ke dalam SC Investor Alert List, dan menyekat 166 laman web dan 224 akaun media sosial yang disyaki menjalankan penipuan pelaburan.
- Pada suku pertama tahun ini sahaja, kami telah menambah 84 entiti ke dalam SC Investor Alert List, menyekat 61 laman web dan 80 akaun media sosial.
- Bagi saya, ini adalah satu tahap yang membimbangkan.
- Antara modus operandi yang lazim digunakan oleh scammers termasuklah mempromosikan skim pelaburan palsu melalui media sosial termasuk WhatsApp dan Telegram.
- Skim pelaburan palsu menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang kecil, tetapi selalunya hanya indah khabar dari rupa.
- Antara ciri-ciri scams yang paling biasa termasuk –
- Skim yang menjajikan pulangan pelaburan yang tinggi dalam masa yang singkat
- Pelaburan yang dipromosikan melalui media sosial
- Minta wang didepositkan ke dalam akaun milik individu yang tidak dikenali atau akaun bank entiti yang tidak berkaitan
- Dipromosikan sebagai peluang pelaburan terhad atau limited opportunity
- Adalah penting untuk kita sentiasa berwaspada dan mendapatkan nasihat daripada sumber yang boleh dipercayai sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Ingat, if an investment opportunity sounds too good to be true, then it is not true!
- Untuk melindungi diri daripada penipuan ini, adalah penting untuk kita selidik syarikat atau individu yang menawarkan peluang pelaburan. Sebelum melabur, semak sama ada mereka berdaftar dengan badan kawal selia seperti SC ataupun samada syarikat berkenaan disenarai hitam dalam Investor Alert List SC.
- Pelabur dinasihatkan tidak terpedaya dengan janji-janji yang tidak realistik. Sebelum melabur, ingatlah formula T.I.P.U -
- 'T' merujuk kepada pelabur tidak akan rugi;
- 'I' - indah khabar dari rupa;
- 'P' - peluang hanya sekali; dan
- 'U' mendapat untung besar.
Para hadirin sekalian,
- Penipuan pelaburan bukan unik di Malaysia, malah ia adalah satu trend yang membimbangkan di peringkat global.
- Memandangkan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, kedudukan kewangan yang semakin mendesak, orang ramai mudah terpedaya dengan janji-janji palsu, seperti –
- Love scams
- Skim pyramid, dan
- Peluang pekerjaan online yang ditawarkan melalui media sosial dengan janji upah yang tinggi
- Adalah penting untuk kita membina kesedaran untuk mengesan dan mengelakkan daripadi menjadi mangsa scams.
- Tujuan inisiatif InvestSmart adalah mudah dan berfokus –
- Pertama, mewujudkan komuniti pelabur yang lebih berpengetahuan
- Kedua, mendidik rakyat mengenai peluang pelaburan di pasaran modal;
- Ketiga, meningkatkan kesedaran mengenai kegiatan penipuan pelaburan dan aktiviti yang tidak berlesen
- Pihak SC menjangka pameran tiga hari ini dapat menarik lebih 15,000 pengunjung. Sebelum ini sejumlah 20,000 telah mengunjungi acara yang sama di Kota Kinabalu dan Kuching.
- Banyak aktiviti telah diatur sepanjang tiga hari mulai hari ini:
- Ini termasuk penyertaan 38 pempamer (exhibitors) yang terdiri daripada pelbagai agensi, persatuan dan perantara. Pelawat boleh mendapatkan akses kepada pelbagai maklumat tentang pasaran modal.
- Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network) yang juga menyediakan booth khas, selaras dengan agenda nasional untuk meningkatkan celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia.
- Siri ceramah dan perbincangan panel oleh pakar-pakar yang akan berkongsi pengetahuan mengenai pelaburan dalam pasaran saham dan perancangan kewangan (financial planning).
- Inisiatif FinPlan4U, atau Financial Planning For You, juga akan menawarkan lebih daripada 200 sesi perancangan kewangan satu sama satu percuma (free one-on-one financial planning sessions) dengan perancang kewangan bertauliah.
Para hadirin yang dihormati sekalian,
- Sebagai penutup, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pelbagai agensi negeri atas sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada SC.
- Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua exhibitors, penceramah dan perancang kewangan yang mengambil bahagian dalam acara kali ini.
- Akhir sekali, kepada penduduk di Pulau Pinang dan sekitarnya, pihak SC berharap anda semua dapat memanfaatkan program-program yang telah kami susun sepanjang tiga hari ini.
- Sekian. Terima kasih.