Ucapan Belanjawan 2024

Speaker: YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia
Lokasi: Dewan Rakyat
Disampaikan: 13 Oktober 2023


Tan Sri Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.

MUKADIMAH

Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas, ayat 77:

"Dan kejarlah ganjaran yang telah dikurniakan Allah kepadamu di akhirat kelak, akan tetapi janganlah engkau melupakan bahagianmu (yakni keperluan dan bekalan) di dunia ini; dan berbuat ihsanlah sebagaimana Allah berlaku ihsan kepadamu; dan janganlah engkau melakukan fasad di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”

  1. Pesanan daripada Allah SWT kepada umat manusia ini amat mengesankan. Harus ada tekad merencana kaedah bagi menjamin kesejahteraan warga dalam zaman yang serba galau dan mencabar memandangkan marcapada tidak lagi seperti dahulukala.

  2. Kini kita menempuh suatu fasa yang luar biasa aneh, dan fasa ini tentunya belum terjangka dalam sejarah peradaban manusia. Sementelahan warga dunia masih belum kebah dari cengkaman wabak COVID-19 yang mengesankan tidak hanya aspek kesihatan, tetapi hampir seluruh sendi kekuatan negara dan sistem masyarakat.

  3. Maka, berdepan dengan era pascanormal (postnormal times) yang dicirikan oleh keberantakan (chaos), kerumitan (complexity), pertentangan (contradiction) akan bantu kita mengemudi jalan keluar. Kemelut yang tercetus mempunyai kelajuan (speed), cakupan (scope), skala (scale) dan keserentakan (simultaneity) yang membimbangkan. Akibatnya, adalah memangsakan rakyat; merosakkan ekosistem dan menggugat rantaian bekalan makanan.

  4. Justeru, kita harus melakar dan menghayati dengan memperbaiki ketempangan dalam sistem ekonomi negara. Kita mulakan dengan memperbaiki tatakelola, sistem tadbir urus dan membanteras rasuah. Antara contoh ketara adalah pelaksanaan sistem subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan elit dan mahakaya.

  5. Seharusnya kebijakan ekonomi terarah kepada pertumbuhan dan pemerataan ekonomi. Namun, apa yang berlaku adalah jumlah subsidi besar yang memberi manfaat kepada golongan kaya. Adalah diharapkan dengan memperbaiki ketirisan subsidi, hasil dapat diagihkan kepada rakyat termasuk kenaikan upah golongan pekerja.

  6. Keterlanjuran lalu juga mengakibatkan hutang dan liabiliti negara menjangkau 1.5 trilion atau 82 peratus kepada KDNK. Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka mencatat 49.8 bilion ringgit atau 16.2 peratus daripada hasil 2024. Hanya dengan mengurangkan defisit dan tanggungan, Kerajaan dapat mengembalikan kedudukan fiskal negara yang mampan.

  7. Tekad perubahan harus bermula dengan iltizam setiap warga, terpancar dari keyakinan dan hati nurani. Inilah yang diungkapkan oleh pemikirr Algeria Malik Bennabi sebagai “the inner struggle of conscience,” disusuli dengan “collective consciousness for renewal” – kesedaran bersama ke arah pembaharuan.

  8. Maka, Belanjawan 2024 yang saya ungkap sebagai Belanjawan MADANI Kedua menghamparkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam memaknai sebuah cetusan nurani bagi mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.


    PRESTASI DAN TANTANGAN EKONOMI
  9. Alhamdulillah, menjengah usia hampir setahun, pimpinan Kerajaan Perpaduan sedaya upaya menjelmakan semula kekuatan watan. Ekonomi domestik Malaysia terus kukuh.

    - Kadar pengangguran berjaya turun kepada kadar 3.4 peratus setakat Ogos 2023; iaitu terendah hampir menyamai kadar sebelum COVID-19 (3.3 peratus)
    - Kendatipun kebergantungan makanan import masih tinggi, tekad dan kesungguhan semua pihak berjaya meredakan inflasi secara beransur-ansur setiap bulan. Pada Ogos 2023, kadar inflasi hanya 2 peratus iaitu antara terendah di rantau ini malah lebih baik ketimbang negara ekonomi maju.
    - Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelabur asing. Bagi separuh pertama 2023, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan bernilai 132.6 bilion ringgit iaitu melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini. Pencapaian ini merangkumi 63.3 bilion ringgit pelaburan langsung asing melibatkan keseluruhan 2,651 projek dan dijangka menghasilkan lebih 51 ribu peluang pekerjaan.
    - Malaysia juga kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong. Setakat Ogos 2023 menyaksikan ketibaan pelancong asing hampir 13 juta pelancong, iaitu lebih tiga kali ganda ketimbang tahun lalu.
    - Indikator-indikator inilah yang sebenarnya merupakan kekuatan hakiki negara. Insya-Allah, dengan itu prestasi ekonomi akan terus pulih meski kita menghadapi tantangan ringgit.

  10. Sementelahan ini membuktikan negara di landasan yang tepat, namun kita tidak harus mendabik dada dan terlalu cepat berpuas hati. Perlu diakui bahawa situasi ekonomi global yang mencengkam telah menempiasi prestasi ekonomi kita. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2023 mencatat pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 2.9 peratus ketimbang 5.6 peratus pada suku pertama 2023. Secara keseluruhan, kita mencapai pertumbuhan separuh pertama 2023 sebanyak 4.2 peratus.

  11. Pencapaian ini cerminan permintaan eksport yang lebih perlahan selain dampak asas yang tinggi pada suku kedua tahun lalu. Seiring realiti perkembangan ini, pertumbuhan KDNK bagi tahun 2023 harus diunjur semula kepada sekitar 4 peratus.

  12. Justeru, kesempatan yang ada perlu dimanfaat untuk kita melakukan reformasi menyeluruh terhadap struktur ekonomi bagi mengembali tahap negara sebagai jaguh Asia.

  13. Walhasil, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat diluncurkan sebagai kerangka besar bagi berdepan kerencaman tantangan semasa dan jangka panjang dengan menaikkan siling dan lantai. Tumpuan utama adalah untuk merombak struktur ekonomi dan mengangkat darjat hidup rakyat. Langkah-langkah segar di bawah Ekonomi MADANI adalah untuk mencapai tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana.

  14. Ekonomi MADANI juga menjadi induk kepada dasar-dasar yang telah diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12).

  15. Hari ini, dibentangkan Belanjawan MADANI Kedua sebagai kesinambungan dasar yang menelusuri Kerangka Ekonomi MADANI. Semua usaha yang dirangka akan menyusul setiap keutamaan dan penanda aras Ekonomi MADANI yang dicerakinkan kepada tiga tumpuan utama iaitu:

    Pertama: Tatakelola Terbaik Demi Ketangkasan Perkhidmatan; Kedua: Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak
    Pertumbuhan; dan
    Ketiga: Peningkatan Darjat Hidup Rakyat.


    I. TATAKELOLA TERBAIK DEMI KETANGKASAN PERKHIDMATAN

    Ikhtiar 1: Komitmen Reformasi Fiskal


  16. Kerangka Ekonomi MADANI sudah memeta matlamat yang jelas iaitu untuk meningkatkan darjat hidup rakyat dan kembali menjadi jaguh ekonomi serantau. Untuk itu, sumber kewangan negara harus diurus dengan cekap di samping memastikan khazanah watan menghasilkan kemaslahatan buat seluruh rakyat.

  17. Arakian, sebuah islah perlu dilaksanakan sungguhpun sukar. Ini termasuklah meluaskan asas hasil, melaksanakan subsidi bersasar dan membasmi segala bentuk rasuah dan penyelewengan yang sistemik. Kita juga memerlukan sebuah perkhidmatan awam yang efisien, cerdas dan tangkas dalam menjayakan agenda pembangunan semula negara.

    Pertama: Tanggungjawab Fiskal

  18. Peningkatan subsidi tahun 2023 ditampung melalui penjimatan perbelanjaan lain dan penambahan hasil. Bagi tahun 2023, anggaran hasil yang disemak semula ialah 303.2 bilion ringgit ketimbang 291.5 bilion ringgit. Jumlah defisit diunjur 5 peratus kepada KDNK sebagaimana ditetapkan.

  19. Bagi tahun hadapan, Kerajaan menjangkakan pertumbuhan KDNK antara 4 hingga 5 peratus. Sekalipun diakui Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3 peratus. Dengan pembaharuan Ekonomi MADANI yang bakal dilaksanakan, Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan menghampiri 5 peratus.

  20. Kutipan hasil Kerajaan 2024 dijangka menyaksikan peningkatan daripada 303.2 bilion ringgit tahun ini kepada 307.6 bilion ringgit. Defisit fiskal 2024 diunjur berkurang kepada 4.3 peratus ketimbang sasaran 5 peratus tahun ini dan 5.6 peratus tahun 2022.

  21. Dalam jangka sederhana, kita akan mencapai defisit fiskal 3 peratus atau lebih rendah kepada KDNK sepertimana penanda aras ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI. Alhamdulillah, kelmarin Dewan Yang Mulia ini telah meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 atau Fiscal Responsibility Act (FRA). Ini memperkukuh komitmen Kerajaan dalam memperteguh tatakelola serta menjamin ketelusan dan pertanggungjawaban.

    Kedua: Anggaran Belanjawan 2024

  22. Belanjawan MADANI Kedua memperuntukkan 393.8 bilion ringgit iaitu Belanjawan tertinggi pernah dibentangkan. Daripada jumlah tersebut, 303.8 bilion ringgit adalah untuk belanja mengurus, 90 bilion ringgit untuk belanja pembangunan dan 2 bilion ringgit simpanan luar jangka.

  23. Perbelanjaan tersebut melibatkan penambahan siling RMK12 sebanyak 15 bilion ringgit lagi, menjadikan jumlah keseluruhan 415 bilion ringgit untuk tempoh lima tahun. Penambahan ini menunjukkan, Kerajaan mengamalkan pendekatan fiskal yang mengembang (expansionary fiscal stance) walaupun pada masa yang sama bertanggungjawab mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat.

    Ketiga: Peluasan Asas Hasil

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  24. Faktanya:

    Malaysia merupakan negara ketiga tertinggi dunia untuk subsidi petrol.

    Harga petrol RON95 kita adalah antara termurah di dunia dengan kadar 2 ringgit 5 sen seliter, malah lebih murah berbanding Arab Saudi, pengeluar minyak utama dunia (2 ringgit 94 sen). Jika dibandingkan dengan harga negara serantau yang pendapatan rakyatnya lebih rendah daripada kita: Indonesia pada kadar 4 ringgit 45 sen dan Thailand pada kadar 5 ringgit 99 sen.

    • Tidak cukup dengan itu, cukai yang kita pungut pula antara yang terendah di ASEAN, yakni hanya 11.8 peratus kepada KDNK ketimbang Singapura
     (12.6 peratus) dan Thailand (16.4 peratus).

  25. Justeru, sebagai langkah meningkatkan mutu perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, Kerajaan Perpaduan bertanggungjawab meluaskan asas hasil. Mulai tahun hadapan, beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.

  26. PERTAMA: Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada 8 peratus ketimbang 6 peratus. Namun, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

  27. KEDUA: Setelah mengambil kira input pihak-pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang diadakan, Kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024. Kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

  28. KETIGA: Kerajaan akan menggubal perundangan baharu bagi melaksanakan Cukai Barang Bernilai Tinggi pada kadar 5 hingga 10 peratus ke atas barang bernilai tinggi tertentu seperti barang kemas dan jam tangan berdasarkan nilai ambang harga barangan.

  29. Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah. Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, Kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta EURO. Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa.

  30. Terkait pelaksanaan e-invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kerajaan mengambil kira maklum balas yang diterima dan bagi memberikan cukup masa kepada pembayar cukai.

    • Kerajaan bersetuju menguatkuasakan e-invois secara mandatori kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi 100 juta ringgit mulai 1 Ogos 2024.

    • Manakala, pembayar cukai mengikut kategori pendapatan selainnya akan dibuat secara berfasa dengan sasaran pelaksanaan menyeluruh mulai 1 Julai 2025.

    • Nombor Pengenalan Cukai (TIN) akan diperluas penggunaannya untuk menyokong pelaksanaan e-invois. Ini dapat melebarkan lagi jaringan pembayar cukai susulan pematuhan cukai secara sukarela yang seterusnya mengurangkan ketirisan hasil.

  31. Agensi penguatkuasaan akan terus memperhebat usaha sama menangani ketirisan hasil. Langkah kawalan penyeludupan rokok umpamanya telah menyumbang kepada penurunan peratus rokok tidak sah di pasaran tempatan kepada 56.6 peratus pada tahun 2022 ketimbang 63.8 peratus pada tahun 2020. Memandangkan bilangan rokok tidah sah masih tinggi di pasaran, kerjasama antara agensi akan dipertingkatkan termasuk memperketatkan kawalan penyeludupan minuman keras.

  32. Mulai 1 Januari 2024, Kerajaan akan memperketat langkah kawalan penyeludupan dan memperluas kepada produk minuman keras.

    • Aktiviti pindah kapal (transhipment) bagi produk minuman keras akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja.

    • Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam akan dijadikan sebagai laluan keluar tunggal bagi wilayah utara.

    • Aktiviti import bagi rokok untuk pasaran domestik pula hendaklah dilakukan secara muatan kontena secara penuh (full container load).

  33. Kerajaan menghargai komitmen agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi membanteras ketirisan hasil negara. Ketangkasan tindakan PDRM membanteras jenayah dan ikhtiar SPRM menggeledah pengamal sindiket kewangan dan kartel perlu dihargai. Sebagai langkah dorongan, sukacita saya bersetuju bahawa agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang akan diberikan ganjaran sewajarnya.

    Keempat: Penyasaran Subsidi

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  34. Belanjawan 2023 memperuntukkan 64 bilion ringgit untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah 81 bilion ringgit. Peningkatan ini adalah akibat langkah Kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat kendatipun berdepan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia. Sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih
    3.5 juta orang asing.


  35. Maka, mulai tahun hadapan, pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa. Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada 8 bilion ringgit kepada 10 bilion ringgit.


    PERTAMA: Ayam dan Telur

  36. Sejak Februari 2022, Kerajaan menanggung 3.8 bilion ringgit untuk subsidi telur dan ayam. Tujuan asal subsidi sementara ini adalah untuk mengawal harga ayam dan telur yang meningkat mendadak serta menangani kekurangan bekalan.

  37. Alhamdulillah, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan. Maka dengan itu, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

  38. Pengumuman terkait langkah-langkah konkrit lanjutan akan dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam masa dua minggu.

    KEDUA: Elektrik

  39. Pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya. Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan.

  40. Maka sebab itu, bermula tahun ini, Kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna. Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih 4.6 bilion ringgit daripada unjuran subsidi elektrik 20 bilion ringgit. Namun, Kerajaan masih menanggung subsidi elektrik 16 bilion ringgit untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). 

  41. Kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik. Kerajaan berharap, keputusan ini memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian.
  42. Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga 40 ringgit sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan 55 juta ringgit. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.

    KETIGA: Bahan Api Diesel

  43. Bahan api diesel juga berdepan isu ketirisan yang serius. Harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada 2 ringgit 15 sen berbanding harga pasaran 3 ringgit 75 sen seliter. Ini bermakna, Kerajaan menanggung
    1 ringgit 60 sen bagi setiap liter diesel atau sekitar 1.5 bilion ringgit keseluruhannya. Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang 3 peratus. Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah.
  44. Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Kerajaan berhasrat untuk penyasaran subsidi diesel secara berfasa. Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ianya dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat.


    LANGKAH PENGUATKUASAAN

  45. Akhirnya, bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur. Walaupun kita tidak menafikan hak peniaga untuk mengaut keuntungan yang munasabah, tetapi gejala kartel dan pakat harga yang menyebabkan kenaikan harga berlebihan dan tidak terkawal bertentangan dengan prinsip MADANI. Kerajaan tidak akan berdiam diri sekiranya penyasaran semula subsidi dijadikan alasan untuk menaikkan harga dengan semberono dan tidak munasabah.
  46. Oleh itu, tumpuan Kerajaan adalah untuk menghapuskan amalan parasit ini melalui langkah kawalan ketat dan menyeluruh oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di samping memperkukuh kapasiti dan fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dengan peruntukan 10 juta ringgit.

    Ikhtiar 2: Agenda Reformasi Institusi

  47. Filasuf Cina Mengzi telah merumuskan empat perkara asasi sebagai tonggak kekuatan moral:

    仁 rén (insaniyah), 义 yì (ihsan),
    智 zhì (hikmah) dan 礼 lǐ (adat).

  48. Kekuatan dalaman inilah yang memperkuat tekad Kerajaan bagi melaksanakan reformasi demi menamatkan penderitaan rakyat, membasmi amalan rasuah yang sistemik, mengurangkan karenah birokrasi bagi menyegerakan projek rakyat serta membangun tatanan politik yang stabil.

    Pertama: Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR)

  49. Dalam menggerakkan agenda reformasi, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah berjaya mempercepat pelaksanaan projek khususnya melibatkan isu kesesakan di hospital dan pembaikan sekolah dan klinik daif. Tahun hadapan, Pasukan STAR diberi tanggungjawab untuk mempercepat pelaksanaan projek selenggara lif/91 juta dan kuarters Kerajaan/170 juta.

    • Sebanyak 2.4 bilion ringgit diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.


    Kedua: Reformasi Perundangan

  50. Dengan lulusnya Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, komitmen Kerajaan Perpaduan seterusnya adalah untuk membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan di Parlimen pada tahun hadapan.

  51. Kerajaan memperuntukkan 18 juta ringgit bagi melancarkan urusan reformasi perundangan. Ini termasuklah persiapan penyediaan Rang Undang-Undang Pelaksanaan Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori.

  52. Badan Kehakiman ialah institusi bebas yang melindungi keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang- undang. Sebanyak 38 juta ringgit disediakan bagi meningkatkan produktiviti institusi kehakiman negara. Peruntukan ini mencakupi keutamaan membaik pulih prasarana serta menaik taraf kemudahan ICT mahkamah yang sudah usang dan rosak. Ini juga termasuk 20 juta ringgit bagi memperkasa Akademi Kehakiman Malaysia dan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia dalam melatih hakim-hakim mahkamah atasan secara lebih terancang dan berkesan.

    Ketiga: Reformasi Institusi Awam


  53. Berdasarkan beberapa kajian yang dilaksanakan bagi menambah baik kemampanan hasil, perlindungan sosial, tatakelola syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan pengurusan hutang negara, syor-syor yang diterima akan dilaksanakan seperti berikut:

    • menambah baik pengenaan duti setem serta menyelaras pentadbiran insentif cukai bagi mengurangkan ketirisan kutipan hasil;

    • memperkukuh pentadbiran cukai termasuk mempermudah pulangan balik cukai serta memusatkan usaha kutipan cukai;

    • memperluas liputan sistem perlindungan sosial terutamanya melibatkan warga emas dan sektor tidak formal;

    • menstruktur semula institusi kewangan pembangunan (DFI) melalui penggabungan Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan Exim Bank; serta

    • memperkukuh persekitaran modal teroka melalui pemusatan agensi modal teroka seperti Penjana Kapital dan MAVCAP di bawah Khazanah Nasional Berhad.

    Keempat: Kerjasama Awam-Swasta-Dermawan

  54. Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, Kerajaan akan menumpukan kepada Kerjasama Awam-Swasta-Dermawan (PPPP) dalam melaksanakan projek untuk rakyat.

  55. Dalam menangani pelbagai isu rakyat di lapangan, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit untuk terus menyokong usaha yang diambil oleh NGO dan pertubuhan masyarakat sivil termasuk Yayasan Hasanah.

  56. Bagi memastikan sumber pendapatan institusi, organisasi dan tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 terus mampan dan dapat menyokong inisiatif kebajikan yang dihasratkan oleh Kerajaan, dicadangkan syarat penggunaan tidak melebihi 25 peratus daripada dana yang terkumpul bagi tujuan penglibatan dalam perniagaan dinaikkan kepada 35 peratus. Dengan kelonggaran ini, kerjasama antara Kerajaan dan NGO dapat diperkukuh untuk menambah baik kualiti hidup rakyat.

    Ikhtiar 3: Mengutama Perkhidmatan & Projek Rakyat

  57. Kerajaan akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan terhadap perkhidmatan dan projek-projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat. Antaranya termasuklah menangani masalah asas rakyat yang masih berlarutan.


    Pertama: Tangani Permasalahan Rakyat

    (a) Pembaikan Tandas


  58. Tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur. Insya-Allah, projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya tahun ini juga. Tahun hadapan, tekad yang sama akan diperhebat bagi membaik pulih tandas- tandas awam seluruh negara. 150 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 PBT seluruh negara.

    (b) Kemalangan Jalan Raya

  59. Kecelakaan di jalan raya terus menyumbang angka kematian yang tinggi. Sedasawarsa yang berlalu, kita mencatatkan purata lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya. Terbaharu, tentunya insiden tragis yang meragut nyawa enam sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat Bandar Muadzam amat-amat mengesankan dan seluruh watan turut berduka. Aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama.

  60. Alhamdulillah, setakat Ogos, lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih. Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.

    • Kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS berjumlah 5.4 bilion ringgit yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.

    • Tahun hadapan, 2.8 bilion ringgit disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan 300 juta ringgit dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4.

    • Khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalan Persekutuan. Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan 30 juta ringgit.

    • 100 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus. 50 juta ringgit turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara.

    • Akhir sekali, 50 juta ringgit juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik.

    (c) Keadilan Rakyat

  61. Alhamdulillah, susulan kenaikan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh kepada 50 ribu ringgit, bilangan kes sivil dan syariah yang mendapat bantuan guaman telah meningkat kepada 8,500 kes. Tahun hadapan, fungsi Jabatan Bantuan Guaman akan diperkasakan dalam membela nasib rakyat susah untuk mendapatkan keadilan yang saksama.

  62. Belanjawan MADANI menyediakan 10 juta ringgit tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri bagi membela nasib rakyat kita yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan serta kes-kes kebajikan lain di luar negara.

    (d) Dasar Peluang Kedua

  63. Setakat Julai 2023, hampir 14 ribu kes muflis dengan hutang kecil di bawah 50 ribu ringgit telah dilepaskan daripada kebankrapan. Hasil pelaksanaan Dasar Peluang Kedua, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 juga telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes- kes semasa dan terkebelakang yang memenuhi syarat.

  64. Tahun hadapan, Dasar Peluang Kedua akan diperluas kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah yang punyai hutang tidak melebihi 200 ribu ringgit.

    (e) Ketersampaian Perkhidmatan Rakyat

  65. Rakyat di pedalaman punyai hak yang sama kepada perkhidmatan Kerajaan. Tahun hadapan, Kerajaan akan mempergiat pelaksanaan inisiatif penyediaan perkhidmatan terus kepada rakyat dengan peruntukan 26 juta ringgit merangkumi:

    • Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang menawarkan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN);
    • Klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti bagi memberi rawatan asas termasuk saringan awal kanser payudara;
    • Klinik pergigian bergerak dengan meluaskan perkhidmatan ke kawasan baharu di Penampang dan Keningau, Sabah.
    • Bank bergerak dengan kerjasama bank tempatan bagi membawa perkhidmatan perbankan ke kawasan pedalaman; dan
    • Mahkamah bergerak khususnya melibatkan kes-kes sivil.

    (f) Penipuan Dalam Talian (Scam)

  66. Sejak penubuhan, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah mengendali lebih 49 ribu panggilan dan berjaya membeku sehingga 60 juta ringgit transaksi. Tahun hadapan, Kerajaan akan menambah peruntukan NSRC kepada 20 juta ringgit ketimbang 10 juta ringgit bagi meningkatkan lagi kefungsian NSRC membanteras jenayah scam.

  67. Bank Negara Malaysia dengan kerjasama sektor kewangan sedang membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2024. Dengan kebolehan automasi penjejakan dana, diharap Portal ini akan mempercepat tempoh pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana.

  68. Dalam pada itu, agensi berkaitan sedang meneliti keperluan untuk meminda undang-undang termasuk Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan tindakan yang lebih berkesan diambil terhadap sindiket dan pemegang akaun keldai, seterusnya mempercepat proses pemulangan wang kepada mangsa scam.

    Kedua: Kemajuan Sabah & Sarawak

  69. Di bawah Kerajaan Perpaduan, usaha menzahirkan kesepakatan yang dicapai pemimpin terdahulu dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah direalisasikan.

  70. PERTAMA: Tahun hadapan, peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada 5.8 bilion ringgit ketimbang 5.6 bilion ringgit. Manakala, untuk pembangunan Sabah meningkat kepada 6.6 bilion ringgit ketimbang 6.5 bilion ringgit. Bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan, Kerajaan Persekutuan juga telah menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai 50 juta ringgit kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak.

  71. KEDUA: Kerajaan Perpaduan telah meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada 300 juta ringgit ketimbang 16 juta ringgit bagi Sarawak dan 125.6 juta ringgit bagi Sabah sebelum ini. Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022.

  72. KETIGA: Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat kelmarin bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.

  73. KEEMPAT: Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024. Kendatipun kuasa kawal selia diserahkan kepada Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu Kerajaan Sabah dalam mengukuhkan industri bekalan elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sehinggalah Pelan Transformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030.

  74. KELIMA: Bagi menjamin kestabilan dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik di Sabah khususnya di kawasan timur Sabah, Kerajaan Persekutuan akan memberi sokongan kepada pelaksanaan penjanaan tenaga secara solar hibrid serta pembinaan jaringan talian penghantar elektrik di selatan Sabah.

  75. KEENAM: Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan negeri.

    Ketiga: Pendigitalan Sektor Awam

  76. Menjelang akhir RMK12, sasaran kita adalah untuk menduduki tangga ke-20 teratas dunia bagi Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam Laporan Daya Saing Global. Bagi mempertingkatkan lagi tahap kecekapan perkhidmatan awam, pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) akan disegerakan sebagai platform pengesahan diri yang dipercayai.

  77. Dalam memperkasa pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam, Unit Nukleus GovTech telah diwujudkan untuk membina kepakaran dalaman. Unit ini juga akan memudah cara pembangunan Identiti Digital Nasional dan juga aplikasi lain yang mesra pengguna dengan kos yang optimum.

    II. PENSTRUKTURAN SEMULA EKONOMI BAGI MELONJAK PERTUMBUHAN

    Ikhtiar 4: Merombak Struktur Ekonomi

  78. Kerangka Ekonomi MADANI adalah untuk memeta nama Malaysia sebagai jaguh ekonomi serantau. Bagi menggapai hasrat tersebut, struktur ekonomi perlu dirombak dan disusun semula supaya potensi yang ada dapat dikembangkan. NIMP menyasarkan jumlah pelaburan keseluruhan sehingga 95 bilion ringgit di samping melibatkan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan gaji penengah sehingga 4,510 ringgit sebulan menjelang 2030.
  79. Kerajaan akan menyediakan peruntukan sehingga 10 peratus daripada jumlah pelaburan NIMP sebagai pemangkin untuk memacu misi NIMP dengan dana permulaan 2024 sebanyak 200 juta ringgit.

    Pertama: Keutamaan Sektor HGHV

  80. Antara isu struktur yang membelenggu sistem ekonomi termasuklah sektor perindustrian yang menguncup sebelum masanya. Sumbangan industri pembuatan kekal di bawah paras 25 peratus kepada KDNK. Bagi mengekang masalah ini, keutamaan pelaburan masa hadapan ditumpukan kepada bidang yang berpertumbuhan dan bernilai tinggi atau high growth high value (HGHV).

  81. Pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ialah satu dimensi baharu yang menggunakan sistem tiering dalam pemberian insentif. Ia akan merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan di dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi dan seterusnya mewujudkan kluster ekonomi baru, memperluas rangkaian domestik dan mengimbangi kelestarian ekonomi dan alam sekitar. Dengan ini, syarikat menikmati insentif yang setara dengan komitmen yang dilaksanakan. Sebagai permulaan, Kerajaan bercadang untuk memberikan galakan cukai pelaburan semula secara tiering dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 peratus atau 100 peratus.

  82. Bagi menyokong ekosistem aktiviti bernilai tinggi, Kerajaan mencadangkan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan.

    Kedua: Malaysia Destinasi Pelaburan

  83. Selanjutnya, Kerajaan juga akan terus memperhebat usaha untuk meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi. Dalam membina kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing, Kerajaan akan melaksanakan beberapa kebijakan dan pengarahan baharu untuk memudah urusan perniagaan.

    • Kawasan Perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah telah menghimpunkan syarikat terkemuka dunia dalam sektor E&E. Bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster E&E di wilayah utara, Kerajaan akan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian, Perak Utara.

    • Tanggungjawab MITI dan MIDA tidak lagi hanya tertumpu kepada kelulusan insentif pelaburan semata-mata tetapi perlu mempermudah urusan pelaburan FDI dan DDI bermula daripada permohonan sehinggalah pelaburan itu direalisasikan. Untuk itu, sebuah Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab melaporkan secara terus kepada Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh saya sendiri.

    Ketiga: Pengantarabangsaan Syarikat Pemula

  84. Kemunculan lebih banyak syarikat pemula tempatan amat mustahak bagi mempercepat penstrukturan semula ekonomi negara. Kerajaan menyasarkan kedudukan ke-20 teratas bagi Ekosistem Syarikat Pemula Global menjelang 2030 selain menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab industri digital dan syarikat pemula bagi rantau Asia Tenggara.

  85. Selaras dengan keputusan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Ke-4 Negara, 28 juta ringgit disediakan bagi membangunkan platform MYStartup sebagai tetingkap tunggal yang menghimpunkan syarikat pemula di samping mempermudah aktiviti perniagaan sepanjang kitaran hayat mereka. Inisiatif ini akan mengoptimumkan dana sebanyak 200 juta ringgit di bawah pelbagai agensi pembiayaan dan modal teroka di bawah satu platform.

  86. Bagi mengantarabangsakan syarikat pemula tempatan dan meningkatkan daya saing mereka bagi menembusi pasaran serantau:

    • Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLIC) menyediakan dana sehingga 1.5 bilion ringgit untuk menggalakkan syarikat pemula termasuk usahawan PKS bumiputera menceburi bidang HGHV seperti ekonomi digital, teknologi angkasa serta elektronik dan elektrikal (E&E).

  87. Bagi menyokong pendanaan modal kepada syarikat pemula:

    Pertama: peruntukan sebanyak 100 juta ringgit kepada MyCIF bagi tempoh 3 tahun bagi melengkapi kerjasama dengan inisiatif keterjaminan makanan, alam sekitar, masyarakat dan juga Majlis Agama Islam Negeri untuk membuka peluang pembangunan aset wakaf untuk tujuan kesihatan, pendidikan, dan perusahaan asas tani.

    Kedua: galakan cukai kepada pelabur individu yang melabur dalam syarikat pemula melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) akan turut diperluas kepada pelabur individu melalui syarikat nomini Perkongsian Liabiliti Terhad serta dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

    Ketiga: galakan cukai pelabur mangkin (angel investor) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026 bagi menggalakkan pendanaan modal dalam syarikat pemula teknologi.


    Keempat: Peneraju Ekonomi Islam Global

  88. Saya pernah menyinggung pendekatan sektor kewangan Islam di Malaysia yang masih belum memenuhi maksud maqasid syariah yang berteraskan keadilan dan maslahat buat semua kerana menggunakan instrumen kewangan sama sebagai alternatif kepada bank konvensional.

  89. Peringatan Almarhum Nejatullah Siddiqi seyogia dihayati, “more than anything else, Islamic banking and finance, a sub-culture of Islamic economics, has been a quest for justice and morality into the ordinary business of life.”

  90. Alhamdulillah, bidang kewangan Islam telah menghadiahkan kita suatu kaedah perbankan moden tanpa riba sejak empat dasawarsa yang lalu. Namun, perkembangan ini tidak harus terhenti sebatas itu. Hala tuju ekonomi Islam harus ditetapkan agar mampu menjayakan hasrat objektif Islam yang lebih luas, termasuk menangani jurang antara amalan ekonomi yang selaras dengan ajaran al-Quran dan Sunnah.

  91. Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) juga akan dianjurkan pada bulan Disember 2023 bagi mencerakinkan permasalahan ini sebagai usaha mempelopori peralihan kepada sistem kewangan Islam yang lebih syumul.

  92. Persidangan ini akan menghimpunkan lebih 400 pemikir dan teknokrat bidang kewangan Islam dan melibatkan hampir 100 kertas pembentangan bagi mengupas isu-isu dan tindakan yang boleh diambil dalam memartabatkan kewangan Islam.

  93. Pelarasan semula sistem kewangan Islam adalah perlu dalam usaha memperkasa impak sektor kewangan Islam agar berpeluang memberikan kesaksamaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua peringkat masyarakat.

    • Melalui Amalan Perantaraan Berasaskan Nilai atau Value-based Intermediation (VBI), bank-bank Islam dan pengendali takaful mampu menerokai inovasi berimpak menerusi penawaran pelbagai jenis modal yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat khususnya mereka yang terpisah daripada akses kepada perkhidmatan kewangan.

    • BNM dan institusi kewangan Islam juga sedang memajukan program rintis pelaburan berimpak melalui Akaun Pelaburan atau Investment Account (IA) yang lebih meluas. Usaha ini menggabungkan elemen perkongsian risiko antara pihak pelabur dalam pelaburan berteraskan SDG dan juga elemen pelaburan sosial iaitu sebahagian keuntungan akan disalurkan untuk pembangunan sosial seperti pembiayaan pendidikan golongan miskin.

    • Alhamdulillah, Malaysia kekal pada kedudukan pertama dalam keseluruhan Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) global untuk 10 tahun berturut-turut. Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan terus memperkukuh daya saing negara dalam bidang kewangan Islam di samping mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi aktiviti pemerolehan dana dan pelaburan Islam serta hab takaful semula.

    • Bagi mendalami nilai-nilai universal ekonomi Islam dan pengalamannya dalam konteks semasa, Kerajaan menyediakan
    20 juta ringgit bagi merancakkan kajian serta kreativiti dan inovasi ekonomi Islam. Usaha ini akan diterajui oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) dengan penglibatan bersama MIFC dan industri.

  94. Kerajaan mencadangkan untuk mengecualikan cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada Islamic Securities Selling and Buying (ISSB) mulai tahun taksiran 2024. Ini bagi meningkatkan keseluruhan jumlah dagangan sekuriti dan kecairan pasaran saham patuh syariah melalui penglibatan lebih ramai pelabur dan broker dalam transaksi ISSB selain memastikan layanan setara yang diberikan bagi transaksi Securities Borrowing and Lending (SBL).

  95. Bagi menyokong pembangunan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sebagai hab kewangan Islam dan patuh syariah, Kerajaan turut bercadang untuk mengecualikan cukai pendapatan sepenuhnya selama 5 tahun kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perdagangan berkaitan kewangan Islam seperti perbankan digital Islam, bursa digital Islam, syarikat berkaitan ummah dan pengeluar token digital Islam mulai tahun taksiran 2024.

  96. Penganjuran Malaysia International Halal Showcase Ke-19 pada bulan lalu telah merekodkan jualan produk halal mencecah 3 bilion ringgit iaitu 24 peratus lebih tinggi daripada sasaran. Pameran halal terbesar dunia ini telah memadankan 469 syarikat tempatan dengan 231 pembeli antarabangsa dari 44 buah negara.

    • Selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 yang menetapkan penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada KDNK menjelang 2030, 9 institusi kewangan menawarkan program khusus untuk PKS halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya.

    • Selain itu, Kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 kepada 30 hari. Halal Development Corporation (HDC) bersama-sama JAKIM akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.

  97. Program kewangan sosial i-TEKAD yang diluncurkan sebelum ini telah memanfaatkan hampir 4,000 usahawan mikro dengan sambutan yang amat menggalakkan oleh 12 insititusi kewangan. Oleh yang demikian, Kerajaan memperuntukkan dana tambahan sehingga 25 juta ringgit secara geran padanan dengan institusi kewangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan.

  98. Kerajaan telah menyediakan 200 juta ringgit pada April lalu untuk membangunkan semula tanah-tanah wakaf di Pulau Pinang secara pinjaman mudah. Tahun hadapan, Kerajaan akan meningkatkan dana kepada 500 juta ringgit untuk pinjaman mudah bagi meningkatkan pembangunan semula tanah-tanah wakaf di seluruh negara.

    Ikhtiar 5: Memperkasa PMKS

  99. Belanjawan MADANI Kedua akan terus menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) selaras dengan hasrat Kerangka Ekonomi MADANI. Keutamaan adalah untuk menyokong peningkatan kapasiti perniagaan serta daya saing dalam melonjak pertumbuhan pendapatan rakyat dan negara.

    Pertama: Kemudahan Pinjaman Perniagaan

  100. Tahun hadapan nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjumlah sehingga 44 bilion ringgit.

  101. Tentunya, usahawan mikro dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan 2.4 bilion ringgit di bawah agensi seperti BNM, BSN dan TEKUN.

    • 1.4 bilion ringgit di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil- kecilan.

    • 330 juta ringgit di bawah TEKUN juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. 30 juta ringgit daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India.

    • Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak 720 juta ringgit dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan.

  102. Di bawah BNM juga, sejumlah 8 bilion ringgit dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat PKS. Daripada jumlah tersebut sebanyak 600 juta ringgit dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

  103. Bagi tahun 2024, 600 juta ringgit disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional dengan keutamaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

  104. Setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100 ribu PKS merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih 75 bilion ringgit. Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga 20 bilion ringgit.

  105. Sejak ditubuhkan, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah berjaya membantu 1 juta peminjam khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan. AIM telah menunjukkan prestasi yang sangat cemerlang dengan mencatatkan kadar pinjaman tak berbayar (NPL) terendah iaitu 0.26 peratus pada tahun 2022. Bagi menyokong fungsi AIM yang berupaya membasmi kemiskinan, Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak 100 juta ringgit.

  106. Tahun hadapan, 100 juta ringgit dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi.

    Kedua: Pengukuhan Daya Saing PMKS

  107. Pengusaha PMKS hendaklah segera beradaptasi dengan teknologi dan pendigitalan produk dan perkhidmatan mereka bagi menembusi pasaran yang lebih luas. Kerajaan akan memperhebat usaha mendorong PMKS untuk meningkatkan tahap daya saing melalui peralihan model perniagaan secara automasi dan pendigitalan.

    • 100 juta ringgit disediakan bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga 5,000 ringgit untuk manfaat lebih 20 ribu usahawan PKS dan pengusaha mikro. Geran ini boleh digunakan untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.

    • 900 juta ringgit dana pinjaman di bawah BNM disediakan untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan.

    • 40 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan Program Shop Malaysia Online untuk menggalakkan peniaga kecil khususnya dalam bidang makanan untuk berniaga dari rumah.

    • Peranan Pusat Ekonomi Digital di setiap DUN akan terus diperkasa untuk menyokong pengusaha kecil menjual produk secara dalam talian dengan peruntukan disediakan 25 juta ringgit.

  108. Bagi menyokong syarikat untuk kekal berdaya saing, Kerajaan bercadang untuk mengurangkan tempoh syarikat dibenarkan menuntut elaun modal ke atas perbelanjaan pembelian peralatan ICT serta pakej perisian komputer kepada 3 tahun ketimbang 4 tahun mulai tahun taksiran 2024.

    Ketiga: Pembangunan Bakat Tempatan

  109. Marcapada ini, kerumitan ekonomi menagih bakat-bakat baharu yang berkemahiran tinggi dan senantiasa beradaptasi dengan dunia yang cepat berubah. Lantaran itu, pembangunan bakat tempatan perlu segera melalui pengislahan jitu supaya selari dengan kehendak majikan dan industri.

  110. Tahun hadapan, peruntukan keseluruhan melibatkan pendidikan TVET berjumlah 6.8 bilion ringgit. Belanjawan MADANI Pertama telah memulakan secara rintis usaha merombak pendidikan TVET negara melalui kerjasama dengan syarikat GLC dan swasta. Setakat 5 Oktober lalu, 17 GLC dan 44 syarikat swasta telah terlibat dalam pemeteraian 61 memorandum persefahaman mencakup kerjasama melalui pembangunan kurikulum serta sumbangan peralatan dan kepakaran.

  111. Umpamanya, PETRONAS telah bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, Johor bagi menyediakan khidmat pelatih industri, pembangunan kurikulum dan peralatan yang memenuhi spesifikasi industri petrokimia di Pengerang. Tahun hadapan, 100 juta ringgit diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.

  112. Tahun hadapan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) akan memanfaat dana 1.6 bilion ringgit untuk menyediakan 1.7 juta tawaran latihan. Pada masa yang sama, HRD Corp akan menguntukkan semula dana khas menggunakan 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI merangkumi program latihan semula dan peningkatan kemahiran kepada usahawan PMKS dan golongan rentan seperti bekas banduan, OKU, warga emas dan pesara.

  113. Ikhtiar melahirkan lebih banyak bakat masa hadapan yang memenuhi keperluan industri akan diperkemas dan diperluas melalui kerjasama erat agensi Kerajaan dan industri.

    • Bagi mengekang kekurangan bakat tempatan dan ketidakpadanan kemahiran, Program Academy in Industry akan dilaksanakan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan 70 juta ringgit.

    • Daya saing negara bagi sektor utama seperti aeroangkasa, peranti perubatan dan digital bergantung kepada pasaran bakat tenaga kerja yang mahir dan cemerlang. Oleh itu, Kerajaan akan menawarkan 30 juta ringgit sebagai galakan kepada pihak industri untuk melatih tenaga kerja tempatan termasuk menawarkan kepakaran mereka sebagai tenaga pengajar dan membiayai innovasi dalam penghasilan produk baharu.

  114. Kerajaan ini komited untuk melaksanakan sistem levi berperingkat untuk pekerja asing sebelum hujung tahun 2024. Sistem ini bertindak untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, di mana ianya melibatkan kadar levi yang lebih tinggi bagi majikan dengan bilangan pekerja asing yang lebih ramai. Kutipan hasil tambahan daripada levi berperingkat akan ditabungkan untuk manfaat majikan bagi automasi atau latihan pekerja tempatan.

  115. Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dengan Dana Latihan TVET berjumlah 180 juta ringgit akan menyediakan pinjaman pendidikan kepada 12 ribu pelatih yang mengikuti Program Persijilan Kemahiran. 20 juta ringgit dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di ASWARA dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.

  116. Sebanyak 17 juta ringgit disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET. Program ini akan membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan.

  117. Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, pelepasan cukai sehingga 2,000 ringgit bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2026.

  118. Kerajaan juga akan memperluas skop bagi pelepasan gaya hidup meliputi yuran untuk menyertai kursus kemajuan kendiri seperti kursus bahasa, fotografi, menjahit dan sebagainya.

    Keempat: Ekonomi Rakyat


  119. Ekonomi rakyat akan terus diangkat dan dimartabat. Saya tetap dengan azam yang sama iaitu mahu negara ini dikenali dengan kemudahan peniaga, gerai dan warung yang bersih, indah dan selamat. Saya beri jaminan bahawa kebajikan penjaja serta peniaga di pasar-pasar akan terus dipelihara bagi memastikan keselesaan buat mereka dan pengunjung.

    Pertama: Pusat penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur di 150 kawasan PBT akan dibaik pulih dan dinaik taraf dengan peruntukan 110 juta ringgit.

    Kedua: Kerajaan menyasarkan 10 ribu gerai-gerai dan warung- warung kecil untuk diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan 10 juta ringgit.

    Ketiga: Sebanyak 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat akan dibina di seluruh

    kawasan PBT dengan peruntukan 50 juta ringgit. Kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran sewa kiosk bagi 6 bulan pertama untuk rakyat berniaga.

    Keempat: Agensi MARA, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut menaik taraf kemudahan perniagaan mereka.

  120. Usaha pembelian produk tempatan akan diperhebat melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil R&D Tempatan (MySTI) dengan peruntukan 27 juta ringgit.

  121. Setakat ini, lebih 1,200 perniagaan francais telah berdaftar di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan 720 daripadanya dimiliki oleh syarikat tempatan dengan nilai jualan dalam negara mencecah 30 bilion ringgit. Malahan, jenama francais terkenal tempatan seperti Marrybrown, Daily Fresh Foods, Secret Recipe, Smart Reader dan Laundrybar telah menjalankan operasi mereka di 80 buah negara. Bagi meningkatkan pengembangan perdagangan francais, Kerajaan menyediakan 10 juta ringgit di bawah Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport.

    Ikhtiar 6: Menyokong Sektor-Sektor Utama


    Pertama: Sektor Logistik

  122. Tumpuan turut terarah kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik sesuai dengan tuntutan semasa untuk menarik lebih banyak kemasukan pelabur dan pelancong selain merancakkan aktiviti perdagangan. Bagi memantapkan ekosistem dan kecekapan pelabuhan negara:

    • 50 juta ringgit disediakan secara geran padanan bersama Lembaga Pelabuhan Klang untuk menyelenggara Jalan Pelabuhan Klang di samping turut menguatkuasakan had beban lebih muatan ke atas kenderaan berat.

    • 20 juta ringgit disediakan secara geran padanan bersama Lembaga Pelabuhan untuk menaik taraf sistem Malaysia Maritime Single Window (MMSW) bagi menyatukan komuniti perdagangan di pelabuhan melalui satu portal digital bersepadu bersama pelbagai agensi Kerajaan lain.

    • Cadangan pembangunan Pelabuhan di Pulau Carey akan direalisasikan melalui Request for Proposal (RFP) dalam memperkukuh lagi peranan Pelabuhan Klang.

  123. Bagi menggalakkan lebih banyak komitmen syarikat pelabur menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan global, Kerajaan akan memperkenalkan galakan cukai Hab Perkhidmatan Global dengan insentif kadar cukai pendapatan 5 peratus atau 10 peratus yang ditentukan berdasar keberhasilan untuk tempoh sehingga 10 tahun.

  124. Kerajaan komited untuk menaik taraf lapangan terbang sedia ada bagi meningkatkan keupayaan operasi untuk memenuhi peningkatan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong. Sejumlah 47 juta ringgit disediakan bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.

    Kedua: Sektor Pelancongan dan Kreatif

  125. Negara ini kaya dengan kerencaman budaya dan warisan selain khazanah alam yang tidak ternilai. Kita mengungguli pelancongan pasaran khusus atau niche market dalam segmen ekopelancongan, selam skuba, sukan golf, majlis perkahwinan dan pelancongan kesihatan. Potensi besar ini wajar digarap dengan suatu rangka kerja rapi bagi mencergaskan semula sektor pelancongan agar menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.

  126. Oleh yang demikian, Tahun Melawat Malaysia telah ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak 97.6 bilion ringgit.

  127. Kerajaan menyediakan 350 juta ringgit bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia. Ini antaranya merangkumi:

    • penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026;
    • kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara;

    • bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya;
    • geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia; dan
    • dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia.

  128. Kawasan, bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara bagi mengekalkan keindahan, keselamatan dan kebersihan.

    • 20 juta ringgit disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis, Kenong Rimba Park di Pahang, dan Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan.

    • Sejumlah 80 juta ringgit juga disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.

    • 20 juta ringgit juga disediakan kepada Think City untuk mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya.


  129. Menyedari sumbangan besar sektor pelancongan dan pembuatan kepada pembangunan negara, Kerajaan komited untuk memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia melibatkan kemudahan berikut:

    Pertama: Memudah cara kelulusan Pas Penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama;

    Kedua: Memperkenalkan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri; dan

    Ketiga: Menambah baik kemudahan Visa-On-Arrival, pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara India dan China.


  130. Kerajaan juga telah bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia. Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara.

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  131. Bakat-bakat kreatif tempatan akan terus disokong bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia. Kerajaan menyediakan 160 juta ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni. Antaranya:

    • 60 juta ringgit di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan;

    • 90 juta ringgit di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa; dan

    • 10 juta ringgit bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.

  132. Susulan keputusan Negeri Selangor yang menurunkan kadar duti hiburan, Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu seperti berikut:

    • Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan;

    • Pengurangan kepada 5 peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator; dan

    • Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara

    hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

    • Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat- bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.

  133. Saya telah meneliti input yang diterima semasa Jelajah Belanjawan MADANI di negeri Johor terkait pendekatan Kerajaan dalam menggalakkan kemasukan produksi filem asing ke Malaysia dan seterusnya menyaingi tawaran insentif negara lain. Kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

  134. Sebagai pengiktirafan dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh- tokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan, Kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.

    Ketiga: Teknologi dan Inovasi

  135. Malaysia perlu menekankan model pertumbuhan ekonomi yang dipimpin oleh aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (R&D&C&I). Bagi memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global menjelang 2025:


    • Sejumlah 510 juta ringgit tersedia sebagai dana R&D di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi serta Kementerian Pendidikan Tinggi. Antaranya, 50 juta ringgit dikhususkan sebagai geran padanan untuk universiti awam bekerjasama dengan sektor swasta dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan.

    • Sejumlah 76 juta ringgit juga disediakan bagi memperkasakan ekosistem R&D&C&I melalui penyediaan dana sokongan pengkomersialan produk hasil ciptaan perusahaan perniagaan, NGO serta jabatan dan agensi Kerajaan.

    • Program INNOVATHON yang mula diluncurkan tahun ini berjaya mengetengahkan banyak hasil ciptaan anak tempatan yang boleh dikomersialkan. Program INNOVATHON akan teruskan bagi menyubur dan menyemarak pendayaciptaan dalam kalangan rakyat.

  136. Bagi membudaya pendayaciptaan dalam kalangan pemain industri, 10 juta ringgit disediakan melibatkan bidang teknologi E&E di bawah MIMOS, sektor angkasa di bawah MYSA dan teknologi dron dan robotik di bawah MRANTI.

    Keempat: Sektor Perladangan dan Komoditi

  137. Setakat Jun 2023, sektor agrikomoditi telah menyumbang 38 bilion ringgit atau sekitar 5 peratus kepada KDNK dan 77.4 bilion ringgit atau 11 peratus kepada eksport negara. Pencapaian membanggakan ini tetap tidak terlepas daripada pelbagai tantangan dan kemeruapan ekonomi global. Ini termasuklah kesan pelaksanaan non-tariff barrier oleh negara pengimport seperti European Union Deforestation-free Regulation (EUDR), isu kebergantungan tenaga asing dan adaptasi teknologi moden.

  138. Kerajaan menyediakan 2.4 bilion ringgit kepada FELDA, FELCRA dan RISDA untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

  139. Menjelang 2027, keluasan sawit tua yakni lebih 25 tahun dijangka mencapai lebih 560 ribu hektar dan ini akan menjejaskan produktiviti hasil buah tandan segar dengan kerugian sehingga 7 bilion ringgit setahun. Bagi membendung masalah ini, Kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan 100 juta ringgit. Insentif ini akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian.

  140. Industri kelapa sawit negara perlu terus dipertahan daripada salah tanggap Eropah. Kerajaan menyediakan 70 juta ringgit bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.

  141. Lembaga Getah Malaysia telah berjaya membangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang berupaya memangkin pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda di samping mampu menambah jangka hayat pokok getah sehingga 25 tahun. 10 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar.

  142. Kerajaan memperuntukkan 90 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.

  143. Bagi meningkatkan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi.

  144. Dalam Belanjawan 2023, saya telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada 2 ringgit 50 sen kepada 2 ringgit 70 sen sekilogram. Sekali lagi setelah mendengar keluhan para pekebun getah, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada 3 ringgit sekilogram dengan peruntukan 400 juta ringgit.

    Kelima: Syarikat GLIC dan GLC

  145. Peranan GLIC dan GLC amat besar sebagai nadi penggerak ekonomi negara. Tahun ini, nilai pelaburan terkumpul Syarikat Berkaitan Kerajaan dianggarkan mencecah 130 bilion ringgit. Antara tumpuan pelaburan termasuklah pelaburan langsung domestik (DDI), modal teroka dalam syarikat pemula berinovasi tinggi dan pertumbuhan hijau demi ketahanan iklim.

  146. Tambahan lagi, GLIC dan GLC juga telah meningkatkan sumbangan mereka dalam pelaksanaan pelbagai program demi kebajikan rakyat dan juga negara, iaitu daripada 250 juta ringgit pada tahun 2023 kepada 300 juta ringgit pada tahun 2024.

    Ikhtiar 7: Agenda Mampan dan Peralihan Tenaga

  147. Peluncuran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) menggariskan enam pemacu utama peralihan tenaga antaranya melibatkan tenaga boleh baharu, hidrogen, mobiliti hijau serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

    Pertama: Ke Arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih

  148. Bagi menterjemah hasrat NETR, Kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara dengan nilai keseluruhan berjumlah 2 bilion ringgit.

  149. Selain itu, institusi kewangan juga menyediakan dana pembiayaan dengan nilai keseluruhan 200 bilion ringgit untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon.

  150. Bagi mencapai sasaran 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050, usaha menambah baik pelaksanaan Corporate Green Power Programme diteruskan sebagai salah satu kaedah pelaksanaan model Akses Pihak Ketiga (TPA). Kerajaan akan terus menerokai model TPA dan membangunkan kaedah pelaksanaan yang sesuai untuk memacu pelaburan dalam kapasiti tenaga boleh baharu.

  151. Kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.

    • Kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi 170 juta ringgit oleh syarikat terkemuka seperti TNB, Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV.

    • Bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik , Kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan 120 ribu ke bawah. Skim ini akan memberikan rebat sehingga 2,400 ringgit kepada pembeli.

    • Bagi menyokong keperluan projek LRT3, Prasarana Malaysia Berhad bersetuju untuk memperoleh 150 bas elektrik dan membina 3 depoh bas dengan kos 600 juta ringgit.

    • Kerajaan bercadang melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas perbelanjaan kemudahan pengecasan EV untuk tempoh 4 tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh 2 tahun lagi.

  152. Usaha menggalakkan pemasangan panel solar turut akan dipertingkatkan.

    • Kerajaan sedia melanjutkan tempoh tawaran program Net Energy Metering (NEM) sehingga 31 Disember 2024 bagi menggalakkan lebih ramai memasang panel di premis kediaman.

    • Kerajaan juga sedang membangunkan program pembelian balik solar di bumbung bangunan dengan implikasi kos kepada sistem yang minimum.

    • Pada masa yang sama, Kerajaan menyeru syarikat untuk menawarkan model langganan “Kos Modal Sifar”, seperti yang akan ditawarkan oleh Gentari bagi kategori rumah kediaman.

  153.  Putrajaya akan dijadikan model bandar rendah karbon Malaysia. Kerajaan akan mula memasang panel solar di atap bangunan Kerajaan dengan kerjasama TNB dan Gentari. Pentadbiran Persekutuan juga akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi.

  154.  Kerajaan akan terus menyokong pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI). Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian cukai kepada syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana SRI serta potongan cukai ke atas kos penerbitan sukuk SRI sehingga tahun taksiran 2027.

  155. Untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat menyertai pasaran karbon sukarela, Kerajaan mencadangkan potongan cukai tambahan sehingga 300 ribu ringgit diberikan kepada syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas Measurement, Reporting and Verification (MRV) berkaitan pembangunan projek karbon. Perbelanjaan ini boleh ditolak daripada pendapatan penjualan kredit karbon yang didagangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX).

  156. Kerajaan akan memastikan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 kekal relevan dengan keperluan semasa industri huluan minyak dan gas di samping meningkatkan minat pelabur asing. Jawatankuasa Semakan Semula Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 yang dianggotai Kementerian Kewangan, LHDNM dan PETRONAS sedang mengkaji dan merangka insentif cukai bagi projek CCS dan Hydrogen Sulphide. Insya- Allah, kajian ini akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

    Kedua: Perlindungan Khazanah Alam

  157. Kerajaan akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar yang terancam. Tahun hadapan, peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) akan ditingkatkan kepada 200 juta ringgit ketimbang 150 juta ringgit tahun ini.

  158. Peranan renjer komuniti telah berjaya membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar. Kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang ketimbang 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal. 60 juta ringgit diperuntukkan dengan tumpuan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.

  159.  Bagi tempoh 2018 hingga 2022, lebih 46 ribu aduan dilaporkan melibatkan konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman pertanian dengan nilai kerugian dianggarkan 43 juta ringgit. Sejumlah 10 juta ringgit disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.

  160. Kerajaan Persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga 1 bilion ringgit yang melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon. Inisiatif penanaman semula ini akan diusahasamakan dengan kerajaan negeri yang berminat dan bakal memanfaatkan sebahagian daripada kredit karbon yang dijanakan.

  161. Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk potongan cukai bagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan. Bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak sektor swasta dalam memberi sumbangan melalui projek amal atau komuniti, Kerajaan akan memberi potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang disahkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

  162. Selain itu, bagi menyokong gerakan perusahaan sosial dalam menghasilkan impak alam sekitar dan sosial yang positif selari dengan rukun kemampanan dan kesejahteraan di bawah Malaysia MADANI, Kerajaan akan melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial sehingga tahun 2025.

    Ketiga: Kesiagaan Mendepani Bencana

  163. RMK12 telah meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah 22 bilion ringgit. Projek berimpak tinggi jangka panjang ini amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda. Kendatipun begitu, pendirian Kerajaan tetap tegas dalam soal perolehan, bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.

  164. Tahun hadapan, sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan 11.8 bilion ringgit. Antara projek terlibat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di:

    • Lembangan Sungai Pahang, Pahang;
    • Sungai Langat Fasa 2, Selangor;
    • Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan;

    • Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah;
    • Kuching Fasa 2, Sarawak;
    • Baling Fasa 2, Kedah; dan
    • Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.

  165. Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka akan dikeluarkan tahun ini mulai Oktober 2023 melibatkan kos keseluruhan 5.1 bilion ringgit. Manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.

  166. Sementara itu, bagi mengurang risiko air bertakung dan banjir kilat, 20 juta ringgit disediakan kepada 150 PBT untuk melaksanakan kerja- kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.

  167. Bagi mengekang tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali, Selangor lewat tahun lalu, Kerajaan menyediakan 563 juta ringgit bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  168. Secara keseluruhan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku agensi utama bagi persiapan banjir diperuntukkan sebanyak 300 juta ringgit.

    • Ini termasuklah 100 juta ringgit yang bakal disalurkan segera usai Pembentangan ini menggunakan peruntukan 2023 bagi memastikan kelancaran persiapan banjir hujung tahun ini.

    • Kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan di bawah Tabung Bantuan Bencana Negara tahun hadapan kepada 200 juta ringgit ketimbang 100 juta ringgit tahun ini.

    • NADMA juga akan mempertingkatkan tahap keselesaan pusat pemindahan bagi menjamin kebajikan mangsa. Antaranya termasuklah menyediakan sembilan Pusat Pemindahan Kekal, membaik pulih tandas, bilik mandi dan stor di 1,500 Pusat Pemindahan Sementara serta menyewa tandas-tandas bergerak.

    • Pada setiap masa, Kerajaan bersedia menambah peruntukan sekiranya diperlukan bagi memastikan pengurusan musibah bencana dalam tahap yang terbaik.

  169. Kita semua mesti mengingati Blake, anggota Unit Pengesan K9 Bomba yang telah meninggalkan kita setelah menabur bakti untuk negara. Kerajaan akan menambah baik kemudahan dan rawatan perubatan bagi anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat serta menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk Bomba, Polis dan Kastam dengan peruntukan 5 juta ringgit.

    Keempat: Keterjaminan Makanan

  170. Gangguan rantaian bekalan makanan global telah memberi dampak langsung kepada pasaran barangan asas tempatan. Kenaikan harga beras yang tidak hanya berlaku di Malaysia disebabkan oleh keputusan 19 negara yang mengehadkan eksport beras untuk kegunaan sendiri. Awal bulan lalu, Kerajaan memutuskan empat langkah segera bagi meredakan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan harga beras putih import (BPI) dan peningkatan permintaan beras putih tempatan (BPT).

  171. Kerajaan akan terus memperhebat usaha menjamin kelangsungan industri agromakanan negara yang lebih mandiri.

    • Belanjawan MADANI Kedua menyediakan 2.6 bilion ringgit bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada para pesawah dan nelayan. Peruntukan ini meningkat 600 juta ringgit ketimbang tahun ini selaras dengan keputusan Kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada 360 ringgit kepada 500 ringgit per metrik tan.

    • Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum 1,200 ringgit per metrik tan sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi. Kerajaan telah menetapkan harga lantai pada 1,200 ringgit sejak tahun 2014 lagi. Sukacita diumumkan Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada 1,300 ringgit per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah.

    • Kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh 2 tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah. Ini selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai 3 bilion ringgit.

    • Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada 40 juta ringgit kepada 50 juta ringgit dan ini antara lain akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43 ribu hektar.

    • Untuk manfaat para nelayan, Kerajaan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu 1 ringgit 65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun. Nelayan juga diberikan elaun sara hidup sehingga 300 ringgit sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga 1,000 ringgit sebulan. Kerajaan juga menyediakan 10 juta ringgit untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur.

    • Tahun hadapan, 400 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan. Tumpuan khusus adalah untuk meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan yang masih bergantung dengan import luar.

    • Antaranya, 150 juta ringgit untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimum penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan.

    • 50 juta ringgit bagi melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka untuk memberi pesawah pilihan baja yang ingin digunakan. Projek ini akan dilaksanakan secara rintis di 90 ribu hektar kawasan antaranya di Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang.

    • 50 juta ringgit untuk membekalkan 50 ribu pesawah dengan baja bio dan organik bagi meningkatkan kesuburan tanah.

    • Bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana sehingga 430 juta ringgit.

    • Kerajaan akan melindungi petani, penternak dan nelayan yang berdepan dengan musibah bencana sehingga memusnahkan hasil tanaman dan ternakan mereka.

    • 50 juta ringgit disediakan di bawah Tabung Bencana Pertanian bagi memberi pampasan sehingga 50 peratus daripada nilai kerugian akibat bencana.

    • 50 juta ringgit turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk manfaat lebih 240 ribu pesawah.

  172. Intihanya, saya menyeru penglibatan dan kerjasama sektor swasta dalam merangkul seluruh kekuatan dan kepakaran masing-masing untuk sama-sama berusaha meningkatkan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import.


    III. PENINGKATAN DARJAT HIDUP RAKYAT

  173. sebagaimana ungkapan dalam Thirukkural:

    இயற் றலும் ஈட்டலுங் காத்தலும் காத்த வகுத்தலும வல் ல தரசு

    ( Iyatralum Eettalum Kaatthalum Kaattha Vaguthalum Vallathu Arasu )

    Orang, yang berkebolehan untuk memajukan (kekayaan daripada pelbagai sumber pendapatan), menghimpunkan (kekayaan daripada pendapatan itu di suatu pusat), melindungi (kekayaan yang terhimpun itu), dan menguruskan perbelanjaan kekayaan yang terlindung itu (dengan cara- cara yang berfaedah), ialah Raja.

  174. Hasil negara yang bertambah daripada penstrukturan semula ekonomi dan fiskal akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengangkat darjat hidup rakyat ke tahap lebih bermakna. Penekanan diberikan kepada penyaluran terus bantuan tunai kepada rakyat susah di samping menyediakan pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas untuk semua.

    Ikhtiar 8: Melindungi Kebajikan Rakyat

  175. Bagi tahun 2024, 58.1 bilion ringgit disediakan untuk membiayai pelbagai bentuk pemberian Kerajaan kepada rakyat merangkumi subsidi, insentif dan bantuan. Hampir 50 peratus peruntukan ini adalah untuk mengawal harga barang dan perkhidmatan untuk manfaat rakyat.

  176. Umpamanya, 225 juta ringgit disediakan untuk membiayai kos pengedaran barangan keperluan asas seperti petrol, LPG, tepung, beras dan minyak masak ke kawasan desa serta pedalaman di bawah Program Community Drumming. Program ini akan diperluas ke kawasan baharu antaranya di zon Abai, Sandakan, Sabah dan Engkerebai, Mukah, Sarawak.

    Pertama: Program Payung Rahmah

  177. Payung Rahmah ialah manifestasi keprihatinan Kerajaan dalam membela nasib rakyat. Perjuangan menangani beban sara hidup yang dicetus Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak akan terhenti dan akan terus diperkasa.

  178. Kerajaan menyediakan 200 juta ringgit untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah.

    • Umpamanya, pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan DUN di seluruh negara.

    • Program Pasar Rahmah yang menawarkan insentif kepada
    1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani juga diteruskan bagi mengurangkan kos perniagaan sekali gus dapat menurunkan harga jualan.
    Sumbangan Tunai Rakyat (STR) & Sumbangan Asas Rahmah (SARA)

  179. Saya mendengar keluhan majoriti rakyat yang mendepani cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barangan. Isu ini sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan dalam memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.

  180. Hikmah penyasaran semula subsidi, membolehkan Kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Tahun hadapan:

    • Pemberian STR akan memanfaat 9 juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.

    • Peruntukan STR meningkat sebanyak 2 bilion ringgit atau 25 peratus iaitu daripada 8 bilion ringgit kepada 10 bilion ringgit.

    • Kadar maksimum STR juga meningkat daripada 3,100 ringgit kepada 3,700 ringgit.

    • Kadar minimum STR iaitu untuk golongan bujang juga meningkat daripada 350 ringgit kepada 500 ringgit.

    • Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum 300 ringgit. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada 500 ringgit yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan.

    • Tahun ini, kita telah perkenalkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan mengkreditkan ke dalam myKad 200 ribu penerima STR sebanyak 100 ringgit sebulan untuk tempoh enam bulan. Melalui SARA, penerima hanya perlu ke kedai-kedai runcit untuk memberi keperluan asas hanya dengan menggunakan myKad. Mengambil kira maklum balas yang amat baik, Kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat SARA kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima 100 ringgit sebulan untuk tempoh 12 bulan.

    • STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu Kerajaan akan membuka permohonan baharu seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini. Insya-Allah, bayaran pertama sehingga 500 ringgit akan dibuat pada bulan Februari 2024.

    Kedua: Pendapatan Bermakna

  181. Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diluncurkan tahun ini telah berjaya meningkatkan pendapatan bulanan kepada lebih 2,000 peserta yang terlibat. Di bawah program INSAN umpamanya, peserta telah berjaya meraih hasil jualan purata sehingga 14 ribu ringgit sebulan. Tahun hadapan, 500 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka.

  182. Usaha menoktahkan kemiskinan tegar terus menunjukkan kemajuan dengan data terkini menunjukkan kadar kemiskinan tegar telah merudum daripada anggaran 1 peratus tahun 2020 kepada 0.2 peratus atau hanya 18 ribu isi rumah sekarang. Atas segala yang diusahakan, Kerajaan yakin kemiskinan tegar akan dapat dinoktahkan.

  183. Kerajaan bersetuju untuk semua lantikan MySTEP disediakan tawaran mengikuti program peningkatan kemahiran di bawah platform MyFutureJobs. MyFutureJobs juga akan membuat padanan pekerjaan kepada mereka untuk membina kerjaya masa depan dan meraih pendapatan yang lebih tinggi. Inisiatif ini akan menawarkan 50 ribu peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC bermula Januari 2024.

  184. Kerajaan akan terus menggalakkan golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan dan warga emas mendapat pekerjaan dengan gaji bermakna.

    • Bagi menggalakkan majikan swasta menggaji golongan rentan, PERKESO akan menyediakan insentif khas sebanyak 1,500 ringgit sebulan selama enam bulan untuk menyokong kemasukan lebih 3,300 pencari kerja dengan peruntukan 30 juta ringgit.

    • Dasar 1 Peratus Peluang Pekerjaan kepada OKU akan diperluas kepada golongan bekas banduan dan warga emas melalui padanan pekerjaan MYFutureJobs dan program MySTEP. Golongan rentan yang mengikuti MySTEP akan ditawarkan penempatan secara kontrak dengan elaun 1,500 ringgit untuk tempoh enam bulan di pelbagai kementerian, GLIC dan GLC serta rakan strategik Kerajaan.

  185. Kerajaan akan meneruskan Program Bina Kerjaya PERKESO bagi memastikan pekerja tidak formal khususnya yang terlibat dalam ekonomi gig mempunyai peluang mengikuti program pembangunan kerjaya dan latihan kemahiran microcredential. 35 juta ringgit disediakan antaranya untuk membiayai yuran latihan dan insentif gantian pendapatan kepada 9,000 pekerja gig yang menghadiri program latihan.

    Ketiga: Penyaluran Bantuan Tunai

  186. Bagi tahun 2024, bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melibatkan peruntukan lebih 2.4 bilion ringgit. Ini akan memberi manfaat kepada lebih 450 ribu rakyat khususnya isi rumah miskin tegar, warga emas, kanak-kanak dan OKU. Sukacita juga dimaklumkan bahawa syarat kelayakan diperluas selaras dengan kenaikan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2023 iaitu 1,198 ringgit sebulan.

  187. Sebahagian pendapatan yang diraih hasil penjualan nombor plat khas akan dimanfaatkan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

    Pertama: Kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

    Kedua: Sebanyak 100 ribu topi keledar termasuk untuk kanak- kanak dibekalkan untuk diagih secara percuma kepada keluarga kurang mampu.

    Ketiga: Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman. Tahun hadapan, ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.

    Keempat: Perlindungan Sosial

  188. Kerajaan akan menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan sewajarnya.

    Pertama: Kadar tanggungan Kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan 100 juta ringgit. Saya menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig. Saya yakin syarikat pengendali platform amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka.

    Kedua: Had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada 500 ringgit setahun terhad kepada 5,000 ringgit seumur hidup.

    Ketiga: Had caruman padanan Kerajaan di bawah program i-Suri KWSP ditingkatkan kepada 300 ringgit setahun terhad kepada 3,000 ringgit seumur hidup.

    Keempat: Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan diteruskan dengan peruntukan 50 juta ringgit memanfaatkan lebih 400 ribu suri rumah wanita yang berdaftar di bawah e- Kasih.

    Kelima: Atas dasar kasih dan sayang, program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan 2 peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami.

  189. Selanjutnya, Kerajaan akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO daripada 5,000 kepada 6,000 ringgit. Peningkatan ini akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

  190. Akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasa simpanan persaraan. Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

    Ikhtiar 9: Menyokong Pemerkasaan Golongan Tumpuan

  191. Selaras dengan pembangunan terangkum, usaha akan terus dipertingkatkan supaya memastikan kesaksamaan peluang antara rakyat dan menyediakan bantuan khusus untuk golongan tertentu, terutamanya golongan rentan dan mereka yang memerlukan bantuan.

    Pertama: Agenda Bumiputera

  192. Kita harus mengambil ikhtibar dari pengalaman lampau yang membenarkan keterlanjuran dan kecuaian berlaku hingga akhirnya merugikan agensi Bumiputera.

    • Institusi utama negara tidak boleh lari daripada matlamat asal penubuhan. Salah tadbir urus lampau juga memaksa Kerajaan menanggung kerugian Tabung Haji (20 bilion ringgit), FELDA (10 bilion ringgit) dan LTAT (2 bilion ringgit). Dalam berdepan masalah, amatlah tidak wajar institusi utama membuat penyelesaian menjual aset strategik. Maka, institusi utama harus punyai pertanggungjawaban mengurus secara hemah dan profesional serta merealisasikan potensi pelaburan jangka panjang demi kepentingan pemegang taruh.

    • Melangkah ke hadapan, institusi pelaburan Bumiputera akan dipusatkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB). Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan digabungkan di bawah PNB dan diperkukuh melalui suntikan tanah strategik Kerajaan khususnya di Kuala Lumpur bagi projek pembangunan perumahan. Ekuinas juga akan diletakkan di bawah payung YPB bagi memperkukuh pengembangan perniagaan bumiputera dengan kerjasama PNB dan PUNB.

    • Insitutusi Pendidikan di bawah MARA termasuklah UiTM hendaklah menumpukan kepada latihan dan peningkatan kemahiran bakat-

    bakat baharu tempatan Bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi seperti ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.

    • Tahun hadapan, 1.6 bilion ringgit nilai kemudahan pinjaman dan jaminan disediakan khusus untuk usahawan PMKS Bumiputera meningkatkan kapasiti dan daya saing termasuklah penyediaan pembiayaan modal teroka kepada syarikat pemula Bumiputera.

    • Kerajaan akan menyediakan dana khas Skim CAKNA 2 bagi membantu kontraktor kecil G1 – G4 Bumiputera menyiapkan projek berskala kecil Kerajaan yang berjumlah 2.4 billion ringgit. Skim CAKNA 1, dengan ciri bukan hutang bagi membantu vendor Kerajaan, diperluaskan pelaksanaan untuk semua agensi Kerajaan.

    Kedua: Golongan Wanita & Kanak-kanak

  193. Kerangka Ekonomi MADANI menetapkan penanda aras supaya kadar penyertaaan wanita dalam tenaga buruh ditingkatkan kepada 60 peratus. Bagi terus menggalakkan wanita untuk kembali bekerja, galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027.

  194. Kerajaan mencadangkan bahawa had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada 2,400 ringgit kepada 3,000 ringgit.

  195. Pusat tahanan imigresen bukannya tempat untuk kanak-kanak. Tidak perlupun kita rujuk kepada konvensyen antarabangsa supaya kita sedar perihal tersebut dan cukup dengan secebis ihsan di sudut hati. Kerajaan telah memperintis program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia bagi menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak ini. Bagi tahun 2024, Kerajaan akan memperluas program ini di tiga lagi pusat penempatan sementara masing-masing 1 di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan 10 juta ringgit.

  196. Pendidikan awal kanak-kanak akan terus diberi perhatian. Bagi tahun hadapan, KEMAS akan diperuntukkan sebanyak 586 juta ringgit.

    • Sebanyak 10 buah TABIKA dan TASKA baharu dengan kos 31 juta ringgit akan dibina antaranya di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu; Felda Jelai 1, Tampin, Negeri Sembilan dan Taman Kota Masai, Johor Bahru, Johor.

    • Sejumlah 20 juta ringgit turut disediakan bagi menaik taraf premis Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS

  197. Tahun hadapan juga, 26 buah prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos 82 juta ringgit. Ini termasuklah pembinaan bangunan prasekolah di:

    • Sekolah Kebangsaan Abang Kadir Gedong, Simunjan, Sarawak;
    • Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan, Pahang; dan
    • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chabau, Melaka.

  198. Penghayatan pendidikan Islam dan ilmu al-Quran akan terus diperkasakan sejak awal usia. Kerajaan akan melaksanakan Program Pra Tahfiz KEMAS dengan peruntukan 20 juta ringgit dengan sasaran untuk melahirkan 100 ribu hufaz cilik menjelang 2026.

    Kedua: Golongan Belia

  199. Bagi membudaya semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia 18 hingga 20 tahun, Kerajaan akan menerapkan konsep “pay it forward”. Kerajaan akan menyediakan ganjaran 500 ringgit kepada golongan belia yang berjaya melakukan aktiviti kesukarelawanan dengan badan yang diiktiraf oleh Kerajaan.

  200. Selain itu, Program Rakan Muda telah diberi nafas baharu dalam usaha membentuk jati diri dan keperibadian anak muda Malaysia. 20 juta ringgit disediakan untuk Rakan Muda memperbanyak pengisian program-program belia.

  201. Sejak dilaksanakan, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah melahirkan lebih 7,000 usahawan belia Bumiputera dan mewujudkan hampir 14 ribu peluang pekerjaan. Program ini akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit. Skim TEKUN Belia Mobilepreneur turut diteruskan dengan peruntukan 10 juta ringgit bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

  202. Bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e- sukan, 30 juta ringgit diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama-sama bakat tempatan.

    Ketiga: Komuniti Tumpuan

    (a) Orang Asli

  203. Komuniti Orang Asli diperuntukkan 333 juta ringgit ketimbang 305 juta ringgit tahun ini. Peruntukan mencakupi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi, prasarana di perkampungan Orang Asli dan pemberian bantuan sosial.

  204. Umpamanya, sejumlah 28 juta ringgit diperuntukkan bagi mempergiat program pembangunan usahawan Orang Asli serta penanaman semula ladang Orang Asli antaranya di Batang Padang, Perak dan Hulu Langat, Selangor.

    (b) Orang Kurang Upaya (OKU)

  205. Kerajaan akan terus melindungi kesejahteraan dan mendaya upaya Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mandiri.

    • Sejumlah 1.2 bilion ringgit disediakan antaranya untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti penjagaan OKU kronik terlantar, OKU tidak upaya berkerja dan elaun pekerja OKU.

    • Tahun hadapan, kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti akan ditingkatkan kepada 300 ringgit sebulan ketimbang 150 ringgit. Peningkatan ini akan memanfaatkan lebih 18 ribu pelatih OKU dengan tambahan peruntukan 30 juta ringgit.

    • Bagi memberikan manfaat kepada usahawan OKU mikro, kemudahan pembiayaan khas oleh BSN disediakan sebanyak 50 juta ringgit.

    (c) Warga Emas

  206. Bagi tahun 2024, sejumlah 1 bilion ringgit diperuntukkan untuk melindungi kesejahteraan warga emas. Ini antaranya untuk membiayai bantuan tunai dan penyaluran dana bagi institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas.

  207. Kerajaan mencadangkan supaya Elaun Bangunan Industri diberikan kepada Rumah Jagaan Kejururawatan Swasta Warga Emas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kadar 10 peratus daripada kos bangunan yang dibina atau dibeli, termasuk kos pengubahsuaian bagi setiap tahun taksiran. Elaun ini diberi bagi perbelanjaan yang layak dilakukan mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

    (d) Golongan Banduan dan Pelarian

  208. Program PEKA (Peluang Kedua Anda) oleh Jabatan Penjara telah berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada para pesalah yang mengakhiri tempoh hukuman. Tahun hadapan, selain meneruskan kerjasama dengan syarikat untuk menjayakan program PEKA, sebanyak 10 juta ringgit turut disediakan bagi melaksanakan Program PEKA TVET untuk menyediakan latihan kompetensi yang diakreditasi oleh CIDB kepada para pesalah.

  209. Dalam semangat memberi peluang kedua, Kerajaan juga akan membentangkan pindaan bagi Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi membolehkan penagih dadah menerima rawatan dan pemulihan tanpa dimasukkan ke institusi penjara.

  210. Malaysia tidak terkecuali menerima limpahan tempias akibat krisis kemanusiaan dari negara serantau. Kebanyakan pelarian dan pencari suaka di Malaysia adalah dari Myanmar yang tertindas di negara asal. Kerajaan bersedia mempertimbangkan akses yang terkawal kepada keperluan asas termasuk pekerjaan, perkhidmatan serta pendidikan.

    Ikhtiar 10: Menyediakan Kemudahan Asas Terbaik

    “Without education and liberty, that soil and the sun of mankind, no reform is posibble, no measure can give the result desired.” (Jose Rizal)

  211. Kerangka Ekonomi MADANI menetapkan penanda aras untuk Malaysia berada di kedudukan ke-25 dunia dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara kriteria yang mengukur HDI termasuklah tahap pendidikan dan kesihatan rakyat sesebuah negara.

    Pertama: Pendidikan & Pendidikan Tinggi

    (a) Pendidikan Arus Perdana

  212. Pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan MADANI Kedua. Kementerian Pendidikan khususnya akan diperuntukkan 58.7 bilion ringgit ketimbang 55.2 bilion ringgit tahun 2023.

  213. Tahun hadapan sejumlah 1.9 bilion ringgit disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

    • Ini merangkumi 930 juta ringgit bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

    • Sebanyak 1 bilion ringgit pula adalah untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah tamil dan cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.

  214. Sebanyak 26 buah sekolah baharu akan mula dibina dengan kos keseluruhan projek berjumlah 2.5 bilion ringgit. Antaranya termasuklah:

    • SMK Laya-laya, Tuaran Sabah;
    • SMK Baie, Bintulu, Sarawak;
    • SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang;
    • SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak; dan
    • SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan.

  215. Mulai tahun hadapan, Kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) 2,589 ringgit berbanding 1,500 ringgit sebelum ini. Peluasan syarat ini akan memberi peluang kepada tambahan 35 ribu lagi anak bangsa daripada keluarga kurang mampu untuk mendapat BKP.

  216. Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, Kerajaan turut bersetuju memperluas pemberian bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid sehingga tingkatan 3 berbanding sehingga tingkatan 1 sebelum ini. Keseluruhannya, 1 juta murid akan menerima manfaat dengan peruntukan 150 juta ringgit.

  217. Kementerian Pendidikan telah merekodkan penurunan penyertaan murid menengah atas dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada 40.94 peratus tahun 2022 ketimbang 45.2 peratus tahun 2017.

    • Bagi memperkasa STEM, sebuah Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan antaranya untuk menetapkan sasaran serta langkah bagi meningkatkan penyertaan bidang STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

    • Kerajaan menyediakan 100 juta ringgit untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM. Wakil industri juga akan turut terlibat sebagai tenaga pengajar dan membekalkan peralatan dalam meningkatkan minat murid mempelajari STEM.

  218. Kerajaan akan terus memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas.

    • 18 blok baharu pendidikan khas akan dibina dengan kos 180 juta ringgit. Ini antaranya melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; SK Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis.

    • 30 juta ringgit juga disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.

  219. Penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah akan diperluas untuk melaksanakan program pembentukan karakter murid yang menumpukan kepada nilai kepimpinan, sahsiah diri, adab dan integriti.

  220. Malaysia merekodkan penutupan sekolah tertinggi berbanding negara serantau ketika pandemik COVID-19. Rentetan itu, ada sebilangan murid yang masih tercicir dan memerlukan bimbingan lanjut. Untuk itu, 100 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terkesan.

  221. Bagi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara yang sedang dirangka turut mengambil kira cadangan dan kekhuatiran ibu bapa, warga pendidik dan industri, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara.

    (b) Pendidikan Tinggi

  222. Kecemerlangan pendidikan tinggi diukur pada kejayaan melahirkan bakat-bakat muda yang berjaya. Universiti sebagai gudang ilmu perlu siap siaga membekalkan mahasiswa dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan pasaran pekerjaan. Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan 16.3 bilion ringgit ketimbang 15.3 bilion ringgit pada tahun ini.

  223. Aduan yang acap kali saya terima dalam Siri Temu Anwar bersama mahasiswa ialah masalah capaian internet yang lemah di universiti. Ini harus ditangani segera. Belanjawan MADANI Kedua menyediakan 250 juta ringgit untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua universiti awam. Ini termasuk 5 juta ringgit untuk melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.

  224. Bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan di institusi pendidikan tinggi (IPT), 300 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara dan membaiki prasarana di IPT serta menggantikan peralatan lama yang usang. Ini termasuk 50 juta ringgit bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.

  225. Kerajaan akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti. Sejumlah 5 juta ringgit disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara.

  226. Bagi meningkatkan tahap sosioekonomi dan mendaya upaya usahawan setempat, Kerajaan menyediakan 1 juta ringgit kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.

  227. Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global. Inovasi dan bakat digital perlu diperkasakan khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan. Bagi memperhebat penerokaan bidang AI rentas disiplin ilmu, sukacita saya mengumumkan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia dengan peruntukan awal 20 juta ringgit.

  228. Hutang mesti dibayar. Bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam, Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar berikut:

    Pertama: Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;

    Kedua: Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan

    Ketiga: Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.

  229. Akhir sekali, kesempatan ini saya ingin tegaskan terkait kebajikan pelajar universiti. Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian. Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan.

    • Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi 1,500 ringgit. Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah 1,500 ringgit kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.

    • Pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek. Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.

    • Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran.

    Kedua: Perkhidmatan Kesihatan

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  230. Kertas Putih Kesihatan yang dihamparkan di Dewan yang mulia ini pada Jun lalu telah menggariskan beberapa tantangan utama sistem kesihatan negara yang perlu segera ditaakul termasuklah mengintegrasi sektor kesihatan awam dan swasta yang selama ini dikotomi. Belanjawan MADANI Kedua akan mula menelusuri empat tonggak dan strategi reformasi kesihatan negara.

  231. Tahun hadapan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan 41.2 bilion ringgit ketimbang 36.3 bilion ringgit tahun ini, iaitu peningkatan terbesar daripada kalangan kementerian. Sejumlah 5.5 bilion ringgit daripadanya adalah untuk memperoleh bekalan ubat, bahan guna habis, reagen dan vaksin. Ini termasuk pembelian ubat dari rantau ASEAN bagi mendapatkan harga yang berpatutuan dan memastikan kualiti terjaga dan tidak hanya bergantung pada ubatan dari negara Barat.

  232. Malaysia masih belum memenuhi nisbah seorang doktor kepada 400 pesakit. Ke arah itu, ketercapaian kemudahan kesihatan akan terus ditingkatkan bagi menyurai kesesakan.

    • Tahun hadapan, beberapa projek pembangunan baharu akan mula dilaksanakan antaranya:

    • Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos 938 juta ringgit;

    •  Kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor;

    • Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos 175 juta ringgit;

    • Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor; serta

    • Lima buah klinik kesihatan baharu antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos 150 juta ringgit.

    • Kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak.

    • Bagi terus mengawal kesesakan di hospital KKM, Kerajaan juga akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan menyumber luar pesakit ke hospital lain termasuklah hospital tentera, universiti dan swasta dengan peruntukan 200 juta ringgit.

  233. Komitmen Kerajaan Perpaduan untuk membaik pulih klinik-klinik daif akan terus diperhebat. Sejumlah 300 juta ringgit disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang.

  234. Sejumlah 766 juta ringgit turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu. Ini termasuk 200 juta untuk perolehan bagi memastikan kesiagaan perkhidmatan kesihatan dalam memberi respons kepada panggilan kecemasan.

  235. Hanya 3 peratus klinik kesihatan negara dilengkapi rekod kesihatan digital. Rekod digital amat penting bagi mewujudkan capaian data pesakit dengan pantas dan boleh dikongsi dengan semua prasarana kesihatan Kerajaan. Kerajaan menyediakan 150 juta ringgit untuk menyenggara sistem teknologi maklumat di bawah KKM termasuk menyediakan Clinic Management System Subscription (CCMS) di 100 klinik kesihatan.

  236. Bagi melindungi rakyat supaya kekal afiat, perkhidmatan kesihatan hendaklah beralih daripada merawat pesakit kepada memperhebat aktiviti pencegahan penyakit dan Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan peruntukan sekurang-kurangnya 130 juta ringgit termasuk saringan sihat, saringan awal bayi baru lahir, membekal vaksin kepada ibu hamil.

  237. Pada masa yang sama, sebagai usaha membendung risiko kesihatan, langkah berikut akan dilaksanakan:

    • Mengenakan duti eksais ke atas produk tembakau kunyah pada kadar 5 peratus ditambah 27 ringgit sekilogram, sepertimana duti eksais yang dikenakan ke atas tembakau snuff.

    • Kadar duti eksais semasa bagi minuman bergula dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen seliter. Hasil duti eksais ini akan disalurkan semula khusus untuk menangani dan merawat penyakit kencing manis termasuk sokongan kepada pusat dialisis.

  238. Skim Perubatan MADANI akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan 100 juta ringgit yang akan memanfaatkan 700 ribu rakyat, dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi. 50 juta ringgit disediakan untuk tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung.

    Ketiga: Pembangunan Desa

  239. Hari ini, naskah Belanjawan 2024 yang saya jinjing kemas di dalam beg ini hasil usaha komuniti kraf tempatan. Saya yakin, kita sebenarnya boleh mengangkat martabat ekonomi komuniti setempat supaya menghasilkan pendapatan bermakna buat mereka.

  240. Bagi mendokong usaha memartabat ekonomi komuniti, Kerajaan akan memperkenalkan Program Komuniti MADANI di bawah seliaan ICU, Jabatan Perdana Menteri. Program ini bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

  241. Setiap komuniti, baik di kampung mahupun di bandar, akan diberi kebebasan bermusyawarah untuk memutuskan sektor tumpuan pilihan mereka. Kerajaan akan menyediakan peruntukan 1 bilion ringgit di bawah Dana Komuniti MADANI (DKM) bagi menyediakan geran antara 50 ribu ringgit hingga 100 ribu ringgit kepada komuniti untuk menjayakan Program Komuniti MADANI.

  242. Bagi merapatkan kesenjangan antara wilayah, penambahbaikan infrastruktur penduduk desa akan terus diberi keutamaan.

    Pertama: 1.63 bilion ringgit disediakan bagi membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa termasuk di Bachok, Kelantan; Tambun Tulang, Perlis; dan Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson, Negeri Sembilan.

    Kedua: 939 juta ringgit untuk menyediakan bekalan air kepada 5,150 buah rumah dan bekalan elektrik kepada 2,200 buah rumah.

    Ketiga: 134 juta ringgit bagi memasang 60 ribu unit Lampu Jalan Kampung dan menyelenggara lebih 500 ribu unit Lampu Jalan Kampung.

    Keempat: 57 juta untuk melaksanakan 115 projek termasuk 54 projek baharu naik taraf jambatan uzur dan bina jambatan baharu.

    Kelima: 100 juta ringgit bagi menaik taraf, membina dan membaik pulih kemudahan asas seperti dewan, balai raya, dataran kejat serta laluan berbumbung di kawasan desa dan pedalaman di bawah Projek Ameniti Sosial.

  243. Kerajaan Perpaduan berikrar bahawa isu bekalan air bersih harus dinoktahkan terutamanya di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan bagi melaksanakan penyelesaian isu bekalan air.

    • Bagi negeri Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air. Paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor. Sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan.

    • Bagi mengatasi isu bekalan air khususnya di Kota Kinabalu, Sabah, tumpuan adalah untuk memulih dan menggantikan infrastruktur serta peralatan bagi meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

    • Bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula, usaha ditumpukan kepada penggantian paip-paip yang usang serta membaik pulih infrastruktur air sedia ada.

  244. Kerajaan bersetuju memperkenalkan Program Kampung Angkat MADANI. Program ini memberi tumpuan kepada melengkapkan kemudahan asas termasuk internet di kawasan desa yang terpinggir. Bagi memastikan ketangkasan jentera Kerajaan agar tidak bertindak secara silo, saya mengarahkan semua Ketua Setiausaha dan Ketua Perkhidmatan untuk menggembleng tenaga rentas kementerian serta bekerjasama dengan GLC, GLIC dan badan swasta untuk menjayakan Program ini.

    Keempat: Ketersambungan Digital

  245. Setakat September 2023, Digital Nasional Berhad (DNB) telah berjaya membangunkan rangkaian 5G dengan liputan di kawasan berpenduduk 70.2 peratus. Sebagaimana dijanjikan, rangkaian 5G akan mencapai kira-kira 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini. Rakyat kini boleh menikmati perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh semua syarikat telekomunikasi pada tahap kualiti yang amat baik. Bagi melonjakkan penerimagunaan 5G, usaha gigih akan diperhebat dengan kerjasama syarikat telekomunikasi supaya lebih ramai pengguna dan perusahaan mendapat manfaat.

  246. Pada masa yang sama, CyberSecurity akan membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Siber 5G serta Kepakaran Tempatan Terhadap Teknologi 5G bagi meningkatkan kesiapsiagaan terhadap ancaman serangan siber. 60 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan ini.


    Kelima: Jaringan Jalan & Pengangkutan Awam

  247. Ketersambungan jaringan jalan yang baik memudahkan pergerakan rakyat di samping melancarkan aktiviti para pedagang dan menjana ekonomi setempat. Karang, projek-projek infrastruktur utama jalan raya akan terus diperhebat.

    • Insya-Allah, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya tahun hadapan. Sementara itu, proses tender bagi 19 pakej kerja untuk projek Pan Borneo Sabah Fasa 1b dengan jajaran 366 kilometer melibatkan kos 15.7 bilion ringgit akan diselesaikan bulan November ini.

    • Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dengan jajaran lebih 320 kilometer melibatkan kos hampir 7.4 bilion ringgit juga mula dilaksanakan penghujung tahun ini.

    • Mengambil kira keperluan peningkatan kenderaan, projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos 931 juta ringgit.

  248. Subsidi pengangkutan awam seperti bas, rel dan perkhidmatan udara akan terus disediakan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    • 96 juta ringgit Dana Sokongan Bas Henti-henti disediakan bagi membantu menampung kos operasi harian pengendali bas henti- henti yang perlu meneruskan perkhidmatan di laluan kurang penumpang di kawasan desa.

    • 150 juta ringgit juga diperuntukkan bagi meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti termasuk meluaskan manfaatnya ke tiga lokasi baharu iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kota Setar.

    • Kerajaan akan terus mensubsidi pengangkutan udara sebanyak 209 juta ringgit untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.

    • Kepada lebih 180 ribu penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel PRASARANA untuk ulang-alik mencari rezeki, manfaat pas bulanan My50 akan diteruskan.

  249. Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik. Pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk dengan kos sebanyak 4.7 bilion ringgit.

  250. Anggaran awal, LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai seperti yang dirancang Kerajaan Negeri berjumlah 10 bilion ringgit menurut kaedah kerjasama awam-swasta (PPP).

    Keenam: Rumah Kediaman

  251. Tahun ini, Kerajaan telah menggerakkan pasukan khas di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menyelesaikan isu projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai yang menghimpit pembeli rumah. Setakat Ogos, 256 projek sakit atau lebih 28 ribu unit rumah telah dipulihkan melibatkan Nilai Pembangunan Kasar 23.37 bilion ringgit.

  252. Secara keseluruhan, 2.47 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan projek perumahan rakyat bagi tahun 2024.

    • dana jaminan khas berjumlah 1 bilion ringgit bagi menggalakkan pemaju yang berwibawa memulihkan projek terbengkalai yang telah dikenal pasti;

    • 546 juta ringgit disediakan bagi meneruskan 36 Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk satu projek baharu di Kluang, Johor. Insya-Allah, 15 buah PPR dijangka siap tahun hadapan untuk manfaat 5,100 bakal penghuni baharu.

    • Sebanyak 14 Program Rumah Mesra Rakyat diteruskan bagi membina 3,500 unit rumah dengan peruntukan 358 juta ringgit.

    • Kerajaan memperuntukkan 460 juta ringgit bagi menyediakan bantuan kepada kira-kira 65 ribu rakyat susah di desa untuk membina baharu atau membaik pulih rumah yang telah daif.

    • 100 juta ringgit untuk menyelenggara perumahan berstrata kos rendah dan sederhana awam dan swasta seluruh negara. Ini termasuklah kerja-kerja membaiki tangki air, bumbung, dan sistem pendawaian serta memasang kamera litar tertutup.

  253. Kerajaan akan menambah Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga 10 bilion ringgit untuk SJKP bagi memanfaatkan 40 ribu peminjam.

  254. Kerajaan Perpaduan menghargai usaha Kerajaan negeri Pahang yang menyelamatkan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA yang terbengkalai sejak 2014 melibatkan 1,840 unit rumah di 10 tapak projek seluruh Pahang. Usaha murni ini wajar dicontohi oleh Kerajaan Negeri lain dalam membantu FELDA menyiapkan projek perumahan yang masih terbengkalai.

  255. Bagi memudahkan pembangunan semula skim strata, ambang persetujuan penduduk untuk jualan en-bloc akan dikurangkan daripada 100 peratus kepada tahap yang konsisten berdasarkan amalan antarabangsa seperti di Singapura. Ini akan menggalakkan pembaharuan semula bandar dan menggalakkan pembangunan semula bangunan usang di bandar.

  256. Di bawah Pentadbiran Perpaduan, Kerajaan telah mengambil alih pembangunan Bandar Malaysia bagi memastikan tanah-tanah strategik dimanfaatkan sebaiknya untuk projek rakyat berteraskan nilai MADANI. Ini termasuk projek pembinaan rumah mampu milik untuk golongan veteran, mengambil kira kepentingan Bumiputera di Wilayah Persekutuan selain penyediaan taman-taman dan ruang hijau yang boleh dimanfaatkan oleh semua penduduk Lembah Klang.

  257. Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kampung Baru Cina bagi menyediakan kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan sosial bagi memastikan kesejahteraan penduduk kampung.

  258. Sebagai langkah mengawal harga harta tanah, Kerajaan bercadang untuk mengenakan duti setem pada kadar rata 4 peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh individu bukan warganegara dan syarikat milik asing kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia.

  259. Sementara itu, mulai tahun 2024, Kerajaan turut bercadang supaya surat cara pindah milik harta tanah melibatkan benefisiari melepaskan hak kepada benefisiari yang layak mengikut wasiat atau faraid atau Akta Pembahagian 1958 hanya dikenakan duti setem sebanyak 10 ringgit ketimbang kadar ad-valorem sebelum ini.

    Ikhtiar 11: Memperkukuh Perpaduan & Keselamatan

  260. Kembara Kenali Borneo oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri telah mendapat sambutan yang penuh semangat Kebangsaan daripada rakyat Sabah dan Sarawak. Tidak dinafikan bahawa wajah sebenar Malaysia jelas digambarkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

    Pertama: Keselamatan Dalam Negeri & Pertahanan

  261. Mutakhir ini, sempadan tanah air terancam dek cubaan ganggu-gugat anasir luar. Keselamatan negara diasak dengan isu agama, raja dan kaum dijadikan bahan hasutan. Benteng sempadan dan perairan negara perlu dipertahankan bagi menjamin keamanan. Keselamatan dalam negara perlu dipelihara bagi mengekalkan keharmonian.

  262. Bagi tahun hadapan, Kementerian Pertahanan diperuntukkan 19.7 bilion ringgit, meningkat 2 bilion ringgit ketimbang tahun ini. Sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukkan 19 bilion ringgit, juga bertambah 500 juta ringgit ketimbang tahun ini.

  263. Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, Kerajaan akan memulakan proses perolehan aset- aset baharu. Ini termasuklah:

    • perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia;

    • perolehan aset-aset utama Tentera Darat Malaysia seperti 60 kereta perisai infantri, 50 High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV), 6 Hovercraft Integrated Fast Interceptor serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis;

    • kerja-kerja memasang pulih 2 aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia; serta

    • perolehan bagi menggantikan aset lama dengan 7 buah pesawat kapal terbang twin engine dan 5 buah helikopter ringan PDRM.

  264. Situasi tegang di Laut China Selatan perlu ditangani secara musyawarah. Malaysia mengulangi komitmen penyelesaian secara aman menerusi Deklarasi Kod Tatalaku dalam soal pertikaian Laut China Selatan. Namun, ini tidaklah bermakna kita boleh menggadaikan kedaulatan negara.

  265. Arakian, keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa. Bagi tahun hadapan:

    • Kerajaan akan menambah aset-aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta 9 buah kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

    • Kerajaan juga akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik, Sabah serta kerja awalan pembinaan dua ICQS di Nabawan dan Kalabakan, Sabah.

    • Kerajaan akan wujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara atau single border agency (SBA). 20 juta ringgit turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara.

  266. Kesejahteraan anggota beruniform dan para pesara akan terus dipelihara.

    • 400 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara dan membaik pulih semua Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

    • 20 juta ringgit turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembetungan Kem Tentera Darat secara berfasa.

    • Kerajaan akan terus menggiatkan inisiatif PROTEGE-RTW yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak Kerajaan dan meluaskan skop kepada golongan veteran ATM di bawah kontrak yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan.

    • Bagi melindungi kebajikan dan pembangunan sosioekonomi anggota veteran, setiap program Kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan.

    Kedua: Syiar Islam

  267. Tahun hadapan, Kerajaan mengkhususkan 1.9 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

  268. Pendidikan ilmu Islam akan terus berkembang untuk dihayati dan dimaknai oleh seluruh umat Islam di Malaysia. Tahun hadapan:

    • Dua buah institusi pendidikan islam akan dibina dengan kos 220 juta ringgit iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan.

    • Sejumlah 150 juta ringgit disediakan kepada JAKIM untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

    • Insya-Allah, penganjuran majlis ilmu oleh tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara khususnya di Kompleks Seri Perdana akan diteruskan dan diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan ilmu agama kepada umat Islam.

    • Menghargai jasa dan peranan besar lebih 70 ribu guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, Kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas ditambah menjadi 700 ringgit yang akan disalurkan terus kepada mereka dengan peruntukan disediakan lebih 50 juta ringgit.

  269. Sejak 2003, Kerajaan ketika itu telah memberhentikan bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul. Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak 20 ribu ringgit kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah JAKIM. Pemberian ini diharap dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka.

    Ketiga: Sukan & Budaya Wahana Perpaduan

    (a) Sukan

  270. Selain untuk menjadi aktif dan cergas, sukan juga ialah medan penting yang membina keakraban rakyat Malaysia. Walau berbeza kaum dan agama, kebhinekaan kita tidak sedikitpun memadam kemarakan semangat kesukanan.

  271. Besok ialah Hari Sukan Negara. Kerajaan akan terus memperbanyak program sukan dan riadah untuk rakyat antaranya termasuklah:


    • Program Kemahiran Sukan Renang untuk kanak-kanak, OKU dan warga emas daripada keluarga kurang berkemampuan;

    • Penganjuran aktiviti sukan dan riadah untuk membentuk warga emas yang aktif dan cergas; dan

    • Program Perkhemahan Keluarga dengan merakyatkan fasiliti Kementerian Belia dan Sukan untuk tujuan perkhemahan dengan kadar minimum di enam Kem Wawasan Negara seperti di Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan dan Ulu Kenas, Kuala Kangsar, Perak.

  272. Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga 1,000 ringgit. Pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

  273. Kita meraikan kejayaan wira-wira tanah air yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dengan menggenggam 32 pingat. Tahun hadapan, Kerajaan memperuntukkan 72 juta ringgit bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium. Ini termasuklah 20 juta ringgit di bawah inisiatif Road to Gold sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

  274. Saya pasti semua telah menyaksikan kisah inspirasi adik Aqil Naufal, pelajar Sekolah Kebangsaan Felda Lepar Utara 1, Pahang yang mempamerkan semangat kesukanan walau dalam kekurangan. Impian Adik Aqil untuk bermain boleh sepak tercapai setelah mendapat bantuan Kerajaan dan dorongan daripada Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA).

  275. Bagi memperkasa ekosistem atlet para, 12 juta ringgit disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

  276. Sejumlah 50 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif.

  277. Susulan sambutan tahun ini yang amat menggalakkan, Kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan 50 juta ringgit bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta.

  278. Bagi melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berbakat dalam sukan, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan.

    (b) Budaya, Bahasa dan Kesusasteraan

  279. Sastera dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik cintakan negara sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai-nilai murni dalam jiwa bangsa. Bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera Kebangsaan, Kerajaan dengan ini menyediakan 50 juta ringgit kepada agensi yang berpotensi untuk mengetengahkan karya seni dan sastera negara, mempergiatkan persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan belia.

  280. Kerajaan juga menyediakan 10 juta ringgit untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri antaranya untuk:

    • mempergiat aktiviti kebudayaan Sabah dan Sarawak;
    • memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam;
    • mewujudkan Pusat Etnik dan Budaya Perak; serta
    • membaik pulih Pusat Tenunan Songket di Kompleks Tuanku Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Desa Ukiran Kayu, Besut, Terengganu.

  281. Bagi mendukung hasil kraftangan tempatan, Kerajaan akan memberi kelonggaran khas bagi perolehan sehingga 200 ribu ringgit untuk setiap pesanan kepada usahawan kraftangan yang berdaftar dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

  282. Bagi memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti, 20 juta ringgit disediakan untuk memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan rakyat dan penyebaran maklumat. Kerajaan juga menyediakan 20 juta ringgit sebagai Geran Pertubuhan MADANI untuk manfaat penduduk setempat bagi melaksanakan program-program kesukarelaan, perpaduan serta aktiviti pencegahan jenayah dan bencana.

  283. Sejumlah 50 juta ringgit juga disediakan sebagai bantuan kewangan kepada pengurusan rumah-rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar bagi kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara rumah ibadat.

    Ikhtiar 12: Kesejahteraan Penjawat Awam

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  284. Sebagai langkah menggalakkan penghasilan batik Malaysia yang berkualiti tinggi, Kerajaan bersetuju memperluas Kemudahan Bantuan Bayaran Pakaian Menghadiri Upacara Rasmi untuk meliputi pakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam yang layak.

  285. Bagi memastikan nasib penjawat awam terbela, Kerajaan bersetuju supaya liputan Skim Ex-Gratia Bencana Kerja ditambah baik dan had siling gaji ditingkatkan daripada 4,000 ringgit kepada 6,000 ringgit selaras dengan pindaan Skim PERKESO bagi sektor swasta. Kenaikan had siling gaji ini membolehkan kadar bayaran faedah di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja meningkat sehingga 50 peratus atau sekitar
    1.6 juta ringgit. Dengan kata lain, penjawat awam atau waris akan menikmati tuntutan pampasan yang lebih tinggi sekiranya berlaku kemalangan semasa bertugas.

  286. Akhir sekali, Kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012. Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.

  287. Sementara menunggu Kajian ini lengkap, sukacita diumumkan, Kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak 2,000 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan 1,000 ringgit kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

  288. Bayaran Insentif 1,000 ringgit turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak- anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.

  289. Kerajaan menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa. Tahun hadapan, Kerajaan akan mula mempergiat sesi libat urus. Saya menyeru untuk pihak swasta untuk memberi ganjaran terutamanya syarikat yang mempunyai keuntungan yang munasabah.

  290. Perkembangan mutakhir di Semenanjung Gaza kini bertambah gawat tatkala Israel kini telah mengepung warga Gaza dan Israel telah secara ganas dan biadab ingin menghalau mereka ke selatan semenanjung tersebut. Malaysia akan meluncurkan tabung kemanusiaan bagi menampung serta membantu warga Palestin dengan dana sebanyak 10 juta ringgit dan menggesa syarikat-syarikat serta orang ramai untuk ikut serta demi prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.

    PENUTUP

    Tan Sri Yang di-Pertua,

  291. Maka terlunaslah suatu amanah besar merangka belanjawan demi kepentingan rakyat. Sedari awal menjawat jawatan ini, saya sering berpesan kepada diri dan rakan sepasukan, bahawa taklif wa la tashrif, tanggungjawab bukan keistimewaan. Negara harus dikembalikan ke landasannya demi memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diberhasilkan.

  292. Suatu kisah menarik antara Khalifah Umar Abdul Aziz dan anakandanya Abdul Malik yang memberikan gambaran pentingnya kaedah berhemah dan berhati-hati dalam melakukan perubahan. Seraya nasihat Umar tatkala Abdul Malik menggesa ayahnya bertindak dengan lebih tegas dan pantas segera dengan teguran, “Ayahanda, mengapa tidak dilaksanakan (perubahan yang lebih pantas)? Demi Allah, aku sedia seandainya kita berdua terkorban demi menegakkan kebenaran!” Dan Khalifah ‘Umar Abdul Aziz menjawab:

    فإن هللا ذم الخمر في القرآن مرتين وحرمها في الثالثة. وإني أخاف ال تعجل يا بني.

    فتنة من ذا أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون أن


    Wahai anakanda, jangan kamu bersikap gopoh. Allah menyelar arak dua kali di dalam Al Quran dan mengharamkannya hanya pada ketiga kalinya.
    Aku bimbang, seandainya aku paksakan semua kebenaran ke atas manusia (sekaligus), mereka akan menolak keseluruhannya, (dan) ini bermakna akulah akan menjadi penyebab kerosakan lebih besar.

    (Penegasan dari Imam al-Shatibi dalam kitab al-Muwafaqat yang menukilkan jawapan Khalifah Umar Abdul Aziz)

  293. Belanjawan ini merupakan suatu pernyataan iltizam Kerajaan bagi memulihkan ekonomi dalam marcapada yang serba mencabar. Kerajaan terbuka mendengar pandangan dan kritikan dari segenap pihak, namun tidak bermakna sewenangnya bebas melemparkan fitnah. Ditambah dengan cabaran ekonomi global dan geopolitik yang menggusarkan, sikap ini sedikit sebanyak menghambat kemajuan bangsa kita.

  294. Justeru, saya mengajak semua agar kita kembali kepada politik yang membina, memupuk semangat segulai sejalai membangunkan semula negara kita. Kita semua cintakan negara ini. Malaysia punyai potensi yang hebat, kekayaan hasil mahsul dan tenaga pekerja serta profesional dan rakyatnya yang berdaya saing mampu meletakkan kita pada kedudukan strategik sebagai peneraju ekonomi Asia sebagaimana yang dicita-citakan.

  295. Justeru, saya menyeru agar kita mengutamakan masa depan negara. Perpaduan rakyat yang berteraskan sikap ihsan dan saling menghormati, akan menghasilkan kestabilan buat negara, dan ini penting agar Kerajaan mampu menjana kemakmuran buat seluruh rakyat. Setelah enam dekad negara kita berdaulat, inilah masanya kita memperbetul keadaan dan memastikan bahawa setiap rakyat dapat mengecapi rasa bahagia dan aman hidup di negara ini tanpa sesekali merasa disisihkan.

    Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup