Speaker: Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Chairman, Securities Commission Malaysia
Location: Securities Commission Malaysia
Delivered: 10 April 2023
1. Yang Berhormat, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pendidikan Tinggi
2. Yang Berhormat Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
Kementerian Pendidikan Tinggi;
3. Yang Berbahagia Datin Rashidah Mohd Sies
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Mewakili
Kementerian Kewangan; merangkap Ahli Lembaga Pengarah SC
4. Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar)
Kementerian Pendidikan Tinggi;
5. Yang Berusaha Encik Ahmad Rizal bin Adnan
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Penyelidikan dan Antarabangsa)
Yang Menjalankan Tugas sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi;
6. Naib-naib Canselor Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan IPT;
7. Ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu CMGP;
8. Ahli-ahli Pemegang Amanah CMDF;
9. Pemimpin-pemimpin Mahasiswa;
10. Rakan-rakan media;
11. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
1. Saya bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri dan semua tetamu ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), pada pagi ini.
2. Kami amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Majlis ini mempunyai harapan yang besar untuk membantu pembangunan dan kemajuan pasaran modal negara melalui usaha membekal tenaga mahir yang mencukupi, bagi menampung keperluan yang semakin meningkat. Semoga usaha kita ini, di bulan Ramadan yang mulia, mendapat keberkatan Allah SWT.
3. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri, bukan sahaja kerana sudi hadir sebagai tetamu kehormat pagi ini, tetapi juga atas sokongan kuat beliau untuk melihat program CMGP ini berjaya dan dilaksanakan dengan segera. Sebagai Menteri Pendidikan Tinggi 2.0, kerana dua kali menyandang jawatan ini, saya cukup yakin tidak ada orang yang lebih arif mengenali kemampuan dan juga cabaran yang dihadapi oleh graduan dalam mendapat pekerjaan yang sesuai untuk mereka. Kadang-kadang bantuan ‘last mile’ untuk menyediakan graduan menjadi lebih ‘market-ready’ adalah penting.
4. Sejurus selepas saya memulakan tugas sebagai Pengerusi SC pada bulan Jun 2022, saya telah bertemu dengan wakil-wakil industri pasaran modal melalui dialog tahunan antara SC dan industri, sepertimana yang lazimnya diadakan pada tahun-tahun sebelumnya. Dalam pertemuan tersebut, salah satu isu yang paling penting yang dikemukakan, ialah kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal. Dirasakan sekiranya tidak ada satu-satu tindakan diambil untuk mengatasi masalah ini, pertumbuhan pasaran modal boleh terbantut. Ini adalah sesuatu yang membimbangkan.
5. Rupanya, manakala terdapat ramai graduan yang ingin mendapat pekerjaan, pada masa yang sama pula terdapat kekurangan tenaga mahir yang getir dalam pasaran. Seolah-olah ada ‘supply and demand mismatch’. Sehubungan ini, adalah diharapkan Program CMGP juga boleh dijadikan sebagai pengantara atau ‘matchmaker’ diantara graduan dan pasaran modal.
6. Program ini yang mengembeling kerjasama dan kolaborasi antara institusi pasaran modal dan universiti, akan membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal. Ini akan mengurangkan defisit tenaga mahir di pasaran modal, pada masa yang sama, mempertingkatkan kebolehpasaran graduan atau employability.
7. Mengikut kajian ‘Malaysia’s 100 Leading Graduate Employers 2022’, pada pandangan pelajar-pelajar universiti, institusi pasaran modal tidak disenaraikan di tempat yang tinggi sebagai majikan pilihan mereka. Agak mengejutkan bagi kita di SC, apabila melihat SC sendiri disenaraikan sebagai majikan yang ke-96, berbanding dengan Bank Negara pada tangga ke-6. Padahal SC dan Bank Negara tidaklah terlalu banyak beza sebagai regulator. Tapi persepsi pelajar mengenai SC sebagai majikan amat berbeza sekali.
8. Saya merasakan salah satu sebab institusi pasaran modal tidak mendapat ‘ranking’ yang baik dalam kajian ini, adalah kerana pelajar-pelajar universiti tidak banyak mengetahui tentang pasaran modal dan jarang terdedah mengenainya sepanjang pengajian mereka di universiti. Ini kerana bidang pasaran modal adalah lebih khusus dan lebih ‘specialised’ yang tidak diajar dalam kursus-kursus asas.
9. Sebagai bekas pensyarah universiti dalam bidang ekonomi, dan sekarang ini memegang jawatan pengerusi Universiti Sains Malaysia, saya merasakan bahawa pengetahuan mengenai pasaran modal adalah begitu terhad dikalangan pelajar dan juga pensyarah. Oleh itu, untuk menimbulkan minat dan kesedaran mengenai pasaran modal di kalangan mahasiswa universiti, pihak SC merasakan perlu diwujudkan satu program yang tersusun, terancang dan konsisten untuk beberapa tahun, bagi membolehkan graduan mendapat pekerjaan dalam pasaran modal. Inilah yang menjadi punca kepada pembentukan Capital Market Graduate Programme (CMGP). Program ini akan disediakan untuk tempoh tiga tahun dengan peruntukan sebanyak RM30 juta daripada tabung Capital Market Development Fund (CMDF).
10. Saya berterima kasih kepada wakil-wakil industri pasaran modal kerana menyambut baik penyediaan program CMGP ini dan menyokong pelaksanaannya melalui peruntukan CMDF. Pihak SC juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan yang telah meluluskan pelaksanaan CMGP dan mengumumkannya dalam pembentangan Bajet 2023. Tidak lupa saya menyatakan terima kasih kita kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Timbalan-Timbalan KSP di atas sokongan mereka. Program ini sudah tentu tidak dapat dilaksanakan tanpa kelulusan bersama Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi serta penglibatan KPT dan universiti.
11. Saya mengambil kesempatan di sini juga untuk menyatakan penghargaan kepada ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang banyak membantu SC dalam pelaksanaan program ini.
12. Kepada semua mereka yang saya sebut ini, SC bagi pihak seluruh industri pasaran modal mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih. Semoga sumbangan kalian semua diterima sebagai amal jariah dalam bulan Ramadan ini. Iaitu amal untuk memanfaatkan ilmu yang berfaedah, disamping membuka peluang rezeki kepada graduan untuk memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga. Sekaligus lebih menjamin kelestarian, sustainability, pasaran modal negara, insyaallah.
Sekian, terima kasih.