Penyelesaian Kawal Selia pada 2021

Penyelesaian Kawal Selia dengan Chan Choo Sing

Pada 27.10.2021, Chan Choo Sing (“Chan”) mengadakan persetujuan penyelesaian kawal selia dengan SC untuk menyelesaikan tuntutan sivil yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana dagangan orang dalam saham HPI Resources Bhd (HPI).

SC mendakwa Chan memperdagangkan 118,000 saham HPI antara 15.3.2011 dan 5.5.2011 ketika memiliki maklumat dalaman berkaitan dengan pemerolehan HPI oleh Oji Paper Co. Ltd, seperti yang diumumkan oleh HPI pada 15.6.2011, yang melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (“CMSA”).

Chan turut didakwa telah menyampaikan maklumat dalaman sedemikian kepada Tan Sri Dato’ Tan Seng Leong pada 27.4.2011 yang menyalahi seksyen 188(3) CMSA.

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC pada 9.8.2021 berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti. Penyelesaian tersebut termasuk, antara lain, terma-terma berikut:

  • Chan perlu membayar SC sebanyak RM1,011,157.20 yang bersamaan dengan tiga kali ganda perbezaan antara harga ketika dia memperoleh saham tersebut dengan harga saham yang sepatutnya diperoleh pada waktu pemerolehan, sekiranya maklumat tersebut tersedia secara umum;
  • Chan perlu menghentikan dagangan dalam mana-mana saham dan sekuriti mana-mana syarikat awam tersenarai di Bursa Malaysia bagi tempoh satu (1) tahun dari tarikh Persetujuan Penyelesaian termasuk tetapi tidak terhad kepada saham dan sekuriti sedia ada dan masa hadapan yang dipegang dan/atau akan dipegang atas namanya secara langsung dan/atau dipegang oleh mana-mana ejen, pekerja, ahli gabungannya dalam apa jua cara sekalipun;
  • Chan perlu mengundur diri daripada semua jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, pengarah dan/atau pengurusan dalam syarikat  awam tersenarai di Bursa Malaysia selewat-lewatnya dalam tempoh dua (2) tahun dari tarikh Persetujuan Penyelesaian. Dia juga berjanji untuk tidak menerima sebarang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif atau pengarah atau terlibat dalam pengurusan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mana-mana syarikat  awam tersenarai di Bursa Malaysia bagi tempoh satu (1) tahun selepas itu; penyelesaian kawal selia ini dibuat tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Dato’ Jamal Bin Mohd Aris

Pada 1 November 2021, SC mengadakan  persetujuan penyelesaian dengan Dato’ Jamal Bin Mohd Aris (‘Dato’ Jamal’) berjumlah RM1,644,152.80 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti, untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana dagangan orang dalam saham Perak Corporations Bhd (‘Perak Corp’) antara 4 Oktober 2013 dan 3 Januari 2014, yang menyalahi seksyen 188(2)(a) dan/atau sebagai alternatif, seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Maklumat dalaman tersebut adalah berkaitan atau berkenaan dengan pengumuman yang dibuat oleh Perak Corp kepada Bursa Malaysia Bhd bahawa Lembaga Pengarahnya telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Fast Continent Sdn Bhd, Cherry Blossom Sdn Bhd dan Perak Equity Sdn Bhd, meminta Perak Corp untuk melaksanakan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (‘Cadangan SCR’) menurut Seksyen 64 Akta Syarikat 1965 di mana menurut Cadangan SCR tersebut, pemegang saham Perak Corp yang berhak akan menerima bayaran tunai berjumlah kira-kira RM183,696,228.00 yang mewakili amaun tunai sebanyak RM3.90 sesaham Perak Corp. Pengumuman tersebut dibuat di Bursa Malaysia pada 6 Januari 2014.

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti, di mana jumlah yang perlu dikembalikan oleh Dato’ Jamal adalah bersamaan dengan 2 kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu diperoleh dan harga yang sepatutnya saham itu diperoleh ketika pemerolehan, sekiranya maklumat tersedia secara umum. Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(7) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Dato’ Sreesanthan a/l Eliathamby

Pada 13 Oktober 2021, SC mengadakan persetujuan penyelesaian dengan Dato’ Sreesanthan a/l Eliathamby (‘Sreesanthan’) berjumlah RM900,000.00 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti berkaitan dengan saham yang diperoleh dalam:

  • Sime Darby Bhd (‘Sime’) pada 9 Oktober 2006, 10 Oktober 2006 & 14 November 2006;
  • Maxis Communications Bhd (‘Maxis’) pada 25 April 2007 & 27 April 2007;
  • UEM World Bhd (‘UEM’) pada 13 Februari 2008; dan
  • VADS Bhd (‘VADS’) pada 18 September 2008;

seperti yang dirujuk dalam pertuduhan jenayah lihat Pertuduhan Jenayah No.: 62SC-(575-577)-07/2012 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan rayuan jenayah lihat Rayuan Jenayah No. WA-42LB-1-01/2021 di Mahkamah Tinggi

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat perwakilan Sreesanthan kepada Yang Berhormat Peguam Negara Malaysia.

Sebelum itu, Sreesanthan menghadapi pertuduhan jenayah berkaitan dengan pemerolehan saham dalam Sime, Maxis, UEM dan VADS.

Berikutan penyelesaian ini, pertuduhan jenayah terhadap Sreesanthan telah dihentikan atas arahan Jabatan Peguam Negara. Rayuan jenayah juga telah ditarik balik berikutan penyelesaian ini. Butiran tindakan jenayah boleh didapati di pautan ini:

https://www.sc.com.my/bm/kawal-selia/penguatkuasaan/tindakan/kemas-kini-pendakwaan-jenayah-pada-2021

Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(7) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Chin Yong Shya

Pada 16 September 2021, SC mengadakan persetujuan penyelesaian dengan Chin Yong Shya (‘Jasmine’) berjumlah RM45,976.18 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti, untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana dagangan orang dalam saham INS Bioscience Bhd pada 29 Ogos 2012, yang melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Maklumat dalaman itu adalah berkaitan atau berkenaan dengan INS Bioscience Bhd (‘INSBIO’) sebagai Penerbit Tersenarai Terjejas kerana INSBIO menyalahi Nota Panduan 3 (‘GN3’) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE. Pengumuman itu dibuat di Bursa Malaysia pada 30 Ogos 2012 (‘Pengumuman GN3’).


Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti, di mana jumlah yang perlu kembalikan oleh Jasmine adalah bersamaan dengan 1 kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu dijual dan harga yang sepatutnya ia dijual ketika waktu penjualan, sekiranya maklumat tersedia secara umum. Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(7) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Oh Kok Boon

Pada 21 Julai 2021, SC mengadakan persetujuan penyelesaian dengan Oh Kok Boon (‘Oh’) berjumlah RM354,358.62 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti, untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana dagangan orang dalam saham INS Bioscience Bhd antara 24 Ogos dan 29 Ogos 2012, yang melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Maklumat dalaman itu adalah berkaitan atau berkenaan dengan INS Bioscience Bhd (‘INSBIO’) sebagai Penerbit Tersenarai Terjejas kerana INSBIO menyalahi Nota Panduan 3 (‘GN3’) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE. Pengumuman itu dibuat di Bursa Malaysia pada 30 Ogos 2012 (‘Pengumuman GN3’).

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti, di mana jumlah yang perlu dikembalikan oleh Oh Kok Boon adalah bersamaan dengan 1.5 kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu dijual dan harga yang sepatutnya saham itu dijual ketika waktu penjualan, sekiranya maklumat tersedia secara umum. Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(7) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Wong Seng Tong

Pada 21 Julai 2021, SC mengadakan persetujuan penyelesaian dengan Wong Seng Tong (‘Wong’) berjumlah RM413,469.53 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti, untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana:Pada 21 Julai 2021, SC mengadakan persetujuan penyelesaian dengan Wong Seng Tong (‘Wong’) berjumlah RM413,469.53 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti, untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana:

  • Menyampaikan maklumat dalaman yang berkaitan atau berkenaan dengan INS Bioscience Bhd (‘INSBIO’) sebagai Penerbit Tersenarai Terjejas kerana INSBIO menyalahi Nota Panduan 3 (‘GN3’) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE. Pengumuman itu dibuat di Bursa Malaysia pada 30 Ogos 2012 (‘Pengumuman GN3’). Maklumat dalaman berkaitan dengan Pengumuman GN3 telah dimaklumkan kepada Yeat Siaw Ping (‘Yeat’) dan Oh Kok Boon (‘Oh’), yang melanggar seksyen 188(3)(a) Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007; dan/atau
  • Mempengaruhi Yeat dan Oh untuk menjual saham antara 24 Ogos 2012 dan 30 Ogos 2012, yang manyalahi seksyen 188(2)(b) CMSA.

Wong Seng Tong merupakan Pengarah Eksekutif INBIO pada masa itu.

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti. Jumlah yang perlu dikembalikan oleh Wong adalah bersamaan dengan 1 kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu dijual dan harga yang sepatutnya saham itu dijual ketika waktu penjualan, sekiranya maklumat tersedia secara umum . Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(7) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Yeat Siaw Ping

Pada 26 Julai 2021, SC mengadakan persetujuan penyelesaian dengan Yeat Siaw Ping berjumlah RM265,845.68 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti, untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana dagangan orang dalam saham INS Bioscience Bhd antara 27 Ogos dan 30 Ogos 2012, yang melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). Maklumat dalaman itu adalah berkaitan atau berkenaan dengan INS Bioscience Bhd (‘INSBIO’) sebagai Penerbit Tersenarai Terjejas kerana INSBIO menyalahi Nota Panduan 3 (‘GN3’) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE. Pengumuman itu dibuat di Bursa Malaysia pada 30 Ogos 2012 (‘Pengumuman GN3’).

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti, di mana jumlah yang perlu dikembalikan oleh Yeat Siaw Ping adalah bersamaan dengan 1.5 kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu dijual dan harga yang sepatutnya saham itu dijual ketika waktu penjualan, sekiranya maklumat tersedia secara umum. Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(7) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Ng Kok Choon

Pada 15 April 2021, Ng Kok Choon (“Ng”) mengadakan persetujuan penyelesaian dengan SC berjumlah RM164,460.00 apabila dia bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana menjual 37,000 saham Globetronics Technology Bhd (“GTB”) melalui akaunnya dan akaun isterinya, Yap Pheng Pheng antara 6 April 2016 dan 22 April 2016 ketika memiliki maklumat dalaman yang melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (“CMSA”). Maklumat dalaman itu adalah berkaitan atau berkenaan dengan penurunan dalam pendapatan kumpulan dan keuntungan sebelum cukai GBT masing-masing sebanyak 24% dan 69% bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2016 berbanding suku tahun sebelumnya.

Laporan Suku Pertama Belum Diaudit GBT mengenai Keputusan Digabungkan bagi Tempoh Kewangan berakhir 31 Mac 2016 telah diumumkan oleh GBT kepada orang ramai melalui Pengumuman Bursa bertarikh 26 April 2016. Pada masa itu, Ng merupakan Ketua Pegawai Kewangan GTB.

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti. Jumlah yang perlu dikembalikan oleh Ng adalah bersamaan tiga kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu dijual dan harga yang sepatutnya saham itu dijual ketika waktu penjualan, jika maklumat tersedia secara umum. Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(6) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan Choong Lai Kwan

Pada 15 April 2021, Choong Lai Kwan (“Choong”) mengadakan persetujuan penyelesaian dengan SC berjumlah RM43,800.00 apabila beliau bersetuju tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti untuk menyelesaikan tuntutan yang dicadangkan oleh SC ke atasnya kerana menjual 10,000 saham Globetronics Technology Bhd (“GTB”) melalui akaunnya pada 21 April 2016 ketika memiliki maklumat dalaman, yang melanggar seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (“CMSA”). Maklumat dalaman itu adalah berkaitan atau berkenaan dengan penurunan dalam pendapatan kumpulan dan keuntungan sebelum cukai GBT masing-masing sebanyak 24% dan 69% bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2016 berbanding suku tahun sebelumnya.

Laporan Suku Pertama Belum Diaudit GBT mengenai Keputusan Digabungkan bagi Tempoh Kewangan berakhir 31 Mac 2016 telah diumumkan oleh GBT kepada orang ramai melalui Pengumuman Bursa bertarikh 26 April 2016.  Pada masa itu, Choong merupakan Pengurus Kewangan Kanan ISO Technology Sdn Bhd (“Teknologi ISO”), yang merupakan sebuah subsidiari GTB.

Penyelesaian itu dicapai berikutan surat permintaan yang dihantar oleh SC berdasarkan kepada kuasa penguatkuasaan sivilnya di bawah undang-undang sekuriti. Jumlah yang perlu dikembalikan oleh Choong adalah bersamaan tiga kali ganda perbezaan antara harga ketika saham itu dijual dan harga yang sepatutnya saham itu dijual ketika waktu penjualan, sekiranya maklumat tersedia secara  umum. Wang yang diperoleh semula akan digunakan mengikut seksyen 201(6) CMSA.

Penyelesaian Kawal Selia dengan AMMB Holdings Berhad

Pada 26 Februari 2021, dilaporkan bahawa AMMB Holdings Bhd bagi pihak AmBank (M) Bhd (“AmBank”), AmInvestment Bank Bhd (“AmInvestment”) dan AmBank Islamic Bhd (dirujuk sebagai “AmBank Group”) bersetuju untuk mengadakan penyelesaian global dengan Kerajaan Malaysia (“GOM”) dan 1Malaysia Development Bhd (“1MDB”) bagi semua tuntutan dan tindakan tertunggak berkaitan dengan penglibatan AmBank Group dalam kes 1MDB dalam bentuk bayaran tunai berjumlah RM2,830,000,000.00.

Sejajar dengan penyelesaian global yang dimeterai antara GOM, 1MDB dan AmBank Group, SC juga telah mengadakan perjanjian dengan AmBank Group untuk menyelesaikan semua tindakan kawal selia yang belum selesai, berkaitan atau berkenaan dengan urusan AmBank Group dengan 1MDB termasuk terbitan RM5 bilion Nota Jangka Sederhana Islam oleh Terengganu Investment Authority Bhd (sebagaimana 1MDB dikenali ketika itu) (“TIA IMTN”) dan terbitan RM2.4 bilion Sukuk Murabahah oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (“BMSB Sukuk Murabahah”).

Penyelesaian TIA IMTN dibuat atas dasar tanpa pengakuan atau penolakan liabiliti oleh AmBank Group. AmInvestment mengakui pelanggaran undang-undang sekuriti yang dikenal pasti oleh SC dalam hal yang berkaitan dengan BMSB Sukuk Murabahah.

Sebagai sebahagian daripada terma penyelesaian SC, AmInvestment dikehendaki mengambil langkah pembetulan, termasuk menyediakan sistem dan proses untuk mengukuhkan rangka kerja ketekunan wajar bagi pengemukaan cadangan korporat berkaitan debentur dan sukuk.

 

 
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup