Di bawah rejim pelesenan tunggal CMSA, pengantara pasaran modal yang layak dan sesuai diberikan satu lesen sahaja yang membolehkan mereka menjalankan satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia.
SC diberi tanggungjawab untuk memastikan proses pelesenan yang cekap dan telus serta pengantara berlesen dan wakilnya adalah berwibawa dan mahir dalam menyediakan perkhidmatan mereka kepada para pelabur. Jabatan Kebenaran & Pelesenan SC yang ditauliahkan sebagai Jabatan ISO 9001: 2008, menjalankan penilaian permohonan lesen di bawah bidang kuasanya dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut piawaian prestasi ISO.
Terdapat dua jenis permohonan pelesenan iaitu-- Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) baharu – diberikan kepada syarikat prinsipal
- Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) baharu – diberikan kepada wakil untuk membolehkannya menjalankan satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia bagi pihak prinsipalnya.
Proses penilaian untuk permohonan tersebut dinyatakan di sini.
Pemegang CMSL dikehendaki menyerahkan borang melalui Sistem Permohonan Pelesenan Elektronik (ELA) bagi:
- Pelaporan Tahunan untuk Pemberian Kebenaran bagi Aktiviti (ARAA); dan
- Laporan Pematuhan Layak dan Sesuai oleh Syarikat Berlesen.
Borang-borang lain yang perlu diserahkan melalui Sistem ELA untuk permohonan masing-masing dinyatakan dalam Buku Panduan Pelesenan SC. Akses kepada Sistem ELA hanya diberikan kepada pemegang CMSL berlesen.
Kit Permohonan Pelesenan boleh diperolehi di laman sesawang SC. Untuk membolehkan permohonan dinilai dan diluluskan menurut piagam pelanggan SC, penyerahan permohonan hendaklah dilakukan dengan tepat, lengkap dan memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam Buku Panduan Pelesenan. SC memantau pematuhan berterusan pemegang lesen terhadap peruntukan undang-undang sekuriti, keperluan pelesenan dan syarat-syarat lain.