Fungsi dan kemampuan pemantauan dan penyeliaan yang proaktif dan mantap adalah penting untuk memastikan tatalaku dan amalan yang wajar oleh peserta pasaran di samping mengekalkan kepercayaan dalam pasaran modal. Berikutan risiko baru muncul dan kebimbangan yang dikenal pasti, SC menjalankan aktiviti kawal selia dan inisiatif yang bermatlamat untuk mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan penyeliaan dan pemantauan.
Memupuk Ketahanan Pasaran, Infrastruktur dan Institusi Melalui Penyeliaan dan Pengawasan Berterusan
Memastikan dagangan yang adil dan teratur melalui pemantauan proaktif
Pada 2021, salah laku berpotensi yang dikesan oleh SC termasuk kemungkinan penzahiran mengelirukan dilakukan oleh syarikat tersenarai, yang mungkin telah mendorong aktiviti dagangan sekuriti atau mempengaruhi harga pasaran sekuriti. Dengan meningkatnya pengumuman mengenai COVID-19 atau usaha niaga berkaitan penjagaan kesihatan, SC memantau dan menilai dengan teliti penzahiran yang dibuat untuk memastikan mereka tidak mengambil kesempatan daripada wabak semasa dengan membuat mana-mana kenyataan palsu atau mengelirukan yang mungkin mempengaruhi pelabur dalam membuat keputusan pelaburan.
Pengawasan Terhadap Pengantara Pasaran Modal
Nota Panduan dan komunikasi ini menetapkan amalan terbaik, penjelasan serta bidang yang harus diberi perhatian lebih tinggi oleh pengantara atau meningkatkan pemantauan mereka.