Memperluaskan Pasaran Kepada Pihak Berkepentingan Dalam Ekonomi

Konsep ekonomi pihak berkepentingan menekankan penciptaan nilai jangka panjang – yang mana perniagaan memikul tanggungjawab yang lebih besar melangkaui keuntungan jangka pendek dan mengambil kira keperluan pihak berkepentingan, daripada pemegang saham, pekerja dan rakan kongsi perniagaan kepada alam sekitar, masyarakat dan komuniti. Dalam pasaran modal, penciptaan nilai jangka panjang boleh dicapai dengan menggalakkan perniagaan yang bertanggungjawab dan memudahcarakan perantaraan modal kepada perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab, meluaskan jangkauannya kepada pihak berkepentingan yang lebih luas dalam ekonomi.

Memandangkan SRI memainkan peranan penting dalam memudahcarakan akses kepada kewangan mampan dalam semua spektrum penerbit, pelabur dan pengantara, beberapa langkah telah diperkenalkan pada 2021, bertujuan mendalamkan dan memperluaskan segmen SRI.

Memperluas dan Mengembangkan Ekosistem SRI

  • Memberi akses yang lebih besar kepada kewangan mampan

    Syarikat terus memanfaatkan instrumen pembiayaan berasaskan pasaran seperti sukuk SRI dan bon untuk membiayai projek yang mampan di tengah-tengah situasi ekonomi yang mencabar. Perluasan Skim Geran Sukuk SRI dan Bon3 , telah menggalakkan lebih banyak syarikat membiayai projek hijau, sosial dan kemampanan melalui sukuk SRI dan bon.

    Sejumlah RM8.3 bilion sukuk SRI telah diterbitkan secara kumulatif di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI4 sejak diperkenalkan pada tahun 2014 hingga 31 Disember 2021. Daripada jumlah terbitan sukuk SRI, RM6 bilion telah diiktiraf sebanyak dua kali di bawah Piawaian Bon Hijau ASEAN dan Piawaian Bon Kelestarian ASEAN. Sehingga 31 Disember 2021, terbitan dari Malaysia menyumbang 18% daripada jumlah terbitan yang dilabel di bawah Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kelestarian ASEAN.
  • Memudahcarakan penerbitan Dana SRI melalui Kejelasan yang Dipertingkat

    Pada 2021, Guidelines on Sustainable and Responsible Investment Funds (Garis Panduan Dana SRI) telah disemak semula untuk memudahcarakan dan menggalakkan lebih banyak penerbitan dana SRI di Malaysia. Agar lebih jelas, beberapa peningkatan telah dibuat dengan mengenakan keperluan penzahiran tambahan ke atas dana feeder, serta memasukkan keperluan pengesahan bagi pengecualian cukai dana SRI. Sehingga 31 Disember 2021, sebanyak 34 dana SRI telah ditawarkan di Malaysia.

  • Memacu pertumbuhan lebih pesat dalam SRI melalui Pembangunan Taksonomi SRI

    Salah satu asas utama untuk menggerakkan pelaburan sektor swasta ke arah mencapai matlamat kemampanan ialah pembangunan taksonomi untuk pelaburan mampan. Taksonomi SRI ini akan memberi panduan mengenai klasifikasi aktiviti ekonomi dan menggalakkan penggunaan istilah yang sama berkaitan pembiayaan aktiviti mampan, termasuk menangani risiko strategi greenwashing. Pada 2021, SC, bersama-sama dengan Kumpulan Kerja Industri (IWG), membangunkan Taksonomi SRI berasaskan prinsip untuk pasaran modal Malaysia yang terdiri daripada komponen alam sekitar, sosial dan kemampanan.

    Taksonomi SRI bertujuan untuk memudahcarakan lebih kepelbagaian produk dan mempercepatkan pembangunan SRI sebagai satu kelas aset. Ia juga akan memberi panduan kepada penerbit, pelabur, pengantara dan pemilik aset agar lebih jelas dalam mengenal pasti aset atau aktiviti pelaburan yang mampan.

    Taksonomi SRI dikeluarkan untuk perundingan awam pada penghujung tahun 2021. Selepas tempoh perundingan, SC akan berusaha untuk mengeluarkan dokumen akhir Taksonomi SRI pada 2022.
  • Mempercepatkan kesediaan sektor kewangan untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon

    Sektor perkhidmatan kewangan memainkan peranan penting dalam menyokong aktiviti perniagaan yang mampan. SC dan BNM telah mengorak langkah positif dalam mempercepatkan pembangunan mampan dan menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

    Selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Bersama mengenai Perubahan Iklim (JC3), SC dan BNM bersama-sama mempengerusikan tiga mesyuarat pada Februari, Ogos dan Disember 2021. Sebagai sebahagian daripada fokus utamanya pada 2021, JC3 membincangkan kemajuan inisiatif dan keutamaan semasa bagi tahun 2022 di bawah jawatankuasa kecilnya, termasuk Jawatankuasa Kecil Merapatkan Jurang Data yang baru ditubuhkan, untuk memperkukuhkan lagi kapasiti sektor kewangan Malaysia dalam menangani risiko iklim.

    Penyampaian utama pada 2021 termasuk:
    • Memuktamadkan panduan rujukan mengenai pengurusan risiko iklim dan analisis senario;
    • Pembangunan panduan aplikasi bagi penzahiran mengenai risiko berkaitan iklim; dan
    • Penyelesaian program latihan Peringkat Asas berkaitan risiko iklim.

    Pada Jun 2021, SC dan BNM bersama-sama menganjurkan Persidangan Perdana JC3 `FinanceforChange’ untuk berkongsi pengetahuan, amalan terbaik dan penyelesaian dalam menangani perubahan iklim. Berikutan kejayaan persidangan selama tiga hari itu, SC dan BNM bersama-sama menerbitkan laporan mengenai pandangan utama, perbincangan dan seruan untuk bertindak hasil daripada persidangan tersebut.

    Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil 3 (SC3) JC3 mengenai produk dan inovasi, SC mengawasi pembangunan satu kaji selidik mengenai persekitaran semasa produk dan penyelesaian kewangan berkaitan kemampanan di Malaysia, yang telah dijalankan pada 2021 untuk ahli JC3. Di samping itu, SC3 mengetuai enam sesi libat urus pada 2021 bersama komuniti perniagaan untuk memahami keperluan pembiayaan mereka dan untuk menyokong peralihan mereka ke arah kemampanan. 

  • Inisiatif kewangan mampan ASEAN

    SC telah lama memperjuangkan inisiatif kewangan mampan di ASEAN melalui penglibatannya sebagai pengerusi bersama Kumpulan Kerja Kewangan Mampan dalam Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) dan pengerusi Kumpulan Kerja Kewangan Infrastruktur dalam Jawatankuasa Kerja ASEAN mengenai Pembangunan Pasaran Modal (WC-CMD).

    Salah satu inisiatif pertama kewangan mampan ACMF ialah pelancaran Piawaian Bon Hijau ASEAN pada tahun 2017, diikuti oleh Piawaian Bon Sosial ASEAN dan Piawaian Bon Kelestarian ASEAN pada tahun 2018. Sehingga kini, terdapat tarikan yang menggalakkan bagi bon yang dilabelkan di bawah Piawaian ini, dengan jumlah AS$20.9 bilion diterbitkan setakat 31 Disember 2021. Susulan daripada inisiatif ini, ACMF mengeluarkan Roadmap for ASEAN Sustainable Capital Markets (Pelan Hala tuju) pada tahun 2020 untuk menetapkan hala tuju ASEAN bagi kewangan mampan dalam bidang pasaran modal yang lain, dan 2021 merupakan tahun pertama pelaksanaan penuh cadangan di bawah Pelan Hala Tuju tersebut.

    Salah satu cadangan utama yang dimulakan adalah pembangunan ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance (ASEAN Taxonomy) – Version 1 (Taksonomi ASEAN Bagi Kemampanan Kewangan (Taksonomi ASEAN) - Versi 1), yang dikeluarkan pada 10 November 2021. Ia menyediakan rangka perbincangan dengan pihak berkepentingan sektor awam dan swasta untuk membangunkan lagi Taksonomi ASEAN.
  • Pasukan Petugas Kemampanan IOSCO

    Pasukan Petugas Kemampanan IOSCO (STF) memberikan tumpuan pada penzahiran berkaitan kemampanan bagi penerbit dan pengurus aset, penarafan ESG dan penyedia data ESG. Sebagai ahli STF, SC telah menyumbang kepada Laporan IOSCO mengenai Penzahiran Penerbit berkaitan Kemampanan. Laporan itu menetapkan visi IOSCO bagi garis asas global bagi piawaian kemampanan tertumpu pelabur di bawah Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) untuk meningkatkan ketekalan, kebolehbandingan dan kebolehpercayaan global bagi pelaporan kemampanan. Visi tersebut disokong melalui penubuhan Lembaga Piawaian Kemampanan Antarabangsa dan penerbitan prototaip bagi piawaian Penzahiran Iklim oleh Yayasan IFRS, ketika Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26).

Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami | Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup