Tinjauan dan Prospek Pasaran Modal

Ekonomi global mengalami cabaran yang besar pada tahun 2022, disebabkan oleh perang di Ukraine, tekanan inflasi global yang semakin meningkat, keadaan kewangan global yang semakin mengetat dan kelembapan ekonomi di China. Di peringkat domestik, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan terus pulih berikutan pembukaan semula ekonomi, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh. Berlatarbelakangkan volatiliti pasaran kewangan global yang lebih tinggi, keadaan pasaran modal domestik kekal teratur dan terus memainkan peranan pentingnya dalam membiayai aktiviti ekonomi dan menggerakkan tabungan, dengan peningkatan ketara dalam aktiviti pengumpulan dana pada tahun 2022. Melangkah ke hadapan, ekonomi Malaysia dijangka terus pulih pada 2023, walaupun pada kadar yang lebih sederhana, memandangkan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar. Pasaran modal domestik akan terus dipengaruhi oleh perkembangan utama di peringkat global dan dijangka kekal berdaya tahan dan teratur, didorong oleh asas makroekonomi Malaysia yang teguh dan persekitaran dasar yang menyokong.

Ekonomi global menghadapi beberapa siri kejutan yang menggugat kestabilan dan menjejaskan pemulihan ekonomi global pada tahun 2022. Hala tuju ke arah pemulihan telah berubah, terutamanya disebabkan oleh perang di Ukraine, yang membawa kepada ketidakseimbangan rantaian bekalan yang berpanjangan, kejutan harga komoditi, krisis tenaga di Eropah dan kadar inflasi yang tinggi sejak berdekad-dekad, merentasi kebanyakan ekonomi maju.

Ekonomi Malaysia pulih dengan kukuh pada 2022, di sebalik persekitaran luaran yang semakin mencabar. Pertumbuhan disokong oleh momentum permintaan domestik yang menggalakkan, pengembangan yang stabil dalam sektor luaran dan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh.

Pertumbuhan ekonomi global dijangka terus perlahan pada 2023, tertakluk kepada ketidaktentuan yang ketara. Selain daripada kebimbangan berterusan berkaitan dengan pandemik, terutamanya di China, interaksi antara pemecahan geopolitik, tekanan inflasi yang meningkat dan kadar normalisasi dasar monetari dalam ekonomi utama, akan menjadi penentu utama kepantasan aktiviti ekonomi global. Sementara itu, perkembangan dalam pasaran modal global dijangka selari dengan prospek ekonomi ini.

Pautan berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami |Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup