Perkembangan Global pada 2023

Ekonomi global terus mengalami cabaran yang getir dan perbezaan makroekonomi. Walaupun kekal berdaya tahan, momentum pertumbuhan ekonomi global telah menyederhana dan tidak sekata di seluruh dunia dan rantau di sebalik keadaan monetari global yang lebih ketat, tekanan inflasi asas yang berterusan, serta ketidaktentuan geopolitik dan pemecahan geoekonomi yang semakin meningkat. Walaupun trend inflasi telah mereda, tekanan harga teras kekal tinggi, mendorong bank-bank pusat utama mengesahkan komitmen mereka untuk membendung inflasi sehingga ia berada dalam julat sasaran.

Walaupun dalam momentum yang menyederhana, pertumbuhan global melepasi jangkaan awal apabila keyakinan timbul daripada perkembangan seperti ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh daripada jangkaan, krisis tenaga yang semakin reda di Eropah, dan pembukaan semula ekonomi China pasca wabak.

Walaupun terdapat penguncupan berterusan dalam aktiviti pembuatan – mencerminkan keadaan permintaan global yang lebih lemah – aktiviti perkhidmatan kekal berdaya tahan, di samping pasaran buruh yang kini paling ketat dalam sejarah. Tindakan dasar yang pantas oleh pihak berkuasa AS dan Eropah juga membantu memulihkan keyakinan pasaran selepas krisis perbankan pada awal tahun, disebabkan kesan keadaan pembiayaan yang lebih ketat.

Sementara itu, pertumbuhan ekonomi China menunjukkan tanda-tanda pemulihan awal setelah keluar dari dasardasar sifar COVID, tetapi momentum telah merosot, dijejaskan oleh tekanan berterusan dalam pasaran hartanah, risiko hutang korporat yang semakin meningkat dan keyakinan yang melemah, yang terus membebani aktiviti ekonomi global. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (World Economic Outlook) pada Oktober 2023 meramalkan pertumbuhan global memperlahan kepada 3% pada 2023 daripada 3.5% pada 2022, dengan perbezaan serantau yang semakin meningkat. Bagaimanapun, Asia Pasifik dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan global, dan IMF meramalkan pertumbuhan di rantau ini akan meningkat kepada 4.6% pada 2023, daripada 3.9% pada 2022.

carta 1

Kedua-dua tahap tekanan kewangan global dan Malaysia menyederhana pada tahun 2023, mencerminkan peralihan jangkaan
bahawa bank pusat utama menghampiri kemuncak kitaran pengetatan mereka terutamanya menjelang akhir tahun

Indeks Tekanan Kewangan (FSI) Global OFR dan FSI Malaysia
Nota: FSI Global adalah daripada Office of Financial Research, US Department of Treasury, manakala Indeks Tekanan Kewangan Malaysia (MFSI) dianggarkan secara dalaman
mengikut metodologi yang sama (lihat Monin, 2017). Nilai FSI lebih sifar menunjukkan tekanan kewangan lebih tinggi daripada purata sejarah dalam ekonomi.
Sumber: US Office of Financial Research (OFR); anggaran dalaman SC.

Prestasi pasaran kewangan global berakhir dengan tinggi pada 2023, walaupun terdapat perubahan berterusan dalam sentimen pelabur di samping ketidaktentuan ekonomi global yang meningkat. Perkembangan dalam isu inflasi di ekonomi-ekonomi utama juga terus mempengaruhi jangkaan laluan dasar monetari global, yang mengakibatkan volatiliti dalam pasaran kewangan global sepanjang tahun. Tahap keseluruhan tekanan kewangan global meningkat pada Mac 2023 di tengah-tengah tekanan sistem perbankan di AS dan Eropah, tetapi kemudiannya berkurangan menjelang akhir tahun berikutan peralihan dalam jangkaan bahawa kadar faedah global telah menghampiri kemuncak (Carta 1).

Dalam pasaran ekuiti global, Indeks MSCI World meningkat sebanyak 21.8% pada 2023, manakala Indeks MSCI Emerging Markets mengekori penanda aras global dengan meningkat sebanyak 7.0%, sebahagiannya mencerminkan kebimbangan daripada pemulihan ekonomi China yang lemah. Sementara itu, indeks bon global bertambah baik, terutamanya pada akhir 2023, didorong oleh perubahan jangkaan dalam dasar monetari di tengah-tengah pengurangan secara beransur-ansur dalam tekanan inflasi global (Carta 2).

carta 2

Prestasi ekuiti global dan bon bertambah baik pada tahun 2023

Sumber: Refinitiv Eikon Datastream; pengiraan SC.
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup