Perkembangan Pasaran Modal Malaysia pada 2023

Ekonomi Malaysia terus berkembang pada 2023, walaupun pada kadar yang sederhana, disokong oleh aktiviti sektor swasta domestik yang berdaya tahan berlatarkan perdagangan global yang mencabar. Pasaran buruh terus mengukuh, dengan kadar pengangguran bertambah baik kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun dan menyokong pertumbuhan upah. Berdasarkan aktiviti ekonomi, sektor perkhidmatan terus menerajui pertumbuhan dipacu oleh aktiviti pelancongan yang lebih tinggi dan perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan. Walaupun inflasi utama telah menyederhana, inflasi teras kekal tinggi, mencerminkan tekanan harga asas yang berterusan. Bagi tahun penuh 2023, KDNK sebenar berkembang sebanyak 3.7%, disokong oleh pertumbuhan permintaan dalam negeri yang kukuh (Carta 3).

carta 3

Ekonomi Malaysia terus berkembang pada 2023 bersandarkan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan di sebalik keadaan perdagangan global yang mencabar

Sumber: Jabatan Statistik Malaysia, pengiraan SC.

Pasaran Modal Tempatan Terus Menyokong Ekonomi Sebenar

Pasaran modal Malaysia kekal teratur, di samping terus memainkan peranan asasnya dalam membiayai aktiviti ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan dengan berkesan. Tahap tekanan kewangan Malaysia menurun pada 2023, dan umumnya kekal di bawah purata sejarahyna, walaupun terdapat kebimbangan tentang krisis perbankan di AS dan Eropah pada bulan Mac, dan peningkatan konflik di Timur Tengah pada bulan Oktober. Bagaimanapun, prestasi pasaran modal bercampur aduk, berlatarbelakangan ketidaktentuan ekonomi berterusan yang berpunca daripada peningkatan ketegangan geopolitik, pemulihan ekonomi negara China yang bawah jangkaan, dan pergerakan ringgit Malaysia berbanding mata wang utama dalam pasaran mata wang asing.

Saiz pasaran modal meningkat kepada RM3.8 trilion pada 2023 (2022: RM3.6 trilion), didorong oleh pertumbuhan yang meluas dalam kedua-dua jumlah permodalan pasaran Bursa dan bon serta sukuk belum tebus. Begitu juga pengurusan dana industri berkembang pada 2023, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada rekod tertinggi berjumlah RM975.5 bilion (2022: RM906.5 bilion), di tengah-tengah peningkatan dalam nilai pasaran dan peruntukan aset yang lebih besar dalam pasaran maju (Carta 4). Segmen unit amanah1 kekal sebagai sumber dana terbesar, yang terdiri daripada 51.3% daripada jumlah AUM (2022: 53.9% daripada jumlah keseluruhan).

Namun, jumlah dana yang dikumpul dalam pasaran modal menyederhana kepada RM127.7 bilion pada 2023, berbanding pengumpulan dana yang tinggi sebanyak RM179.4 bilion pada 2022. Dalam pasaran ekuiti, terbitan utama bertambah baik kepada RM3.6 bilion (2022: RM3.5 bilion) melalui 32 tawaran awam awal (IPO), manakala aktiviti pengumpulan dana sekunder menurun kepada RM5.8 bilion (2022: RM22.6 bilion) di tengah-tengah tindakan korporat yang lebih rendah sepanjang 2023. Begitu juga dengan pasaran bon korporat dan sukuk, di mana jumlah terbitan menormalisasi kepada RM118.3 bilion pada 2023 (2022: RM153.3 bilion) berikutan permintaan pembiayaan semula yang lebih tinggi pada tahun yang sebelumnya. Permintaan pembiayaan semula yang luar biasa pada 2022 disebabkan pengenalan pelbagai program bantuan yang bertujuan menyokong pemulihan penerbit dan pengantara dalam fasa pascapandemik. Jumlah penerbitan kekal berdaya saing dan selaras dengan purata 10-tahun yang bernilai sebanyak RM111.2 bilion setahun.

carta 4

Saiz pasaran modal Malaysia berkembang pada 2023, walaupun aktiviti pengumpulan dana yang lebih rendah, manakala AUM industri pengurusan dana mencatatkan paras tertinggi baharu

Sumber: Bursa Malaysia, pengiraan SC.

Yang penting, pasaran bon dan sukuk Malaysia terus menyaksikan penerbitan berkaitan instrumen2 kemampanan, menekankan peranan penting pasaran modal dalam menyokong keperluan pembiayaan ke arah mencapai agenda kemampanan negara. Sementara itu, ketersediaan platform pembiayaan alternatif terus menggalakkan keterangkuman kewangan, terutamanya dalam menyokong keperluan pembiayaan perusahaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan jumlah laluan3 pengumpulan dana alternatif melalui ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P) meningkat lagi pada 2023.

Pasaran ekuiti domestik dipengaruhi oleh perkembangan dalam ekonomi domestik dan tekanan global, dengan volatiliti yang didorong oleh hala tuju dan kadar dasar monetari global, konflik geopolitik yang berterusan serta pertumbuhan global yang lebih perlahan. Permodalan pasaran keseluruhan bursa tempatan berakhir lebih tinggi pada RM1.80 trilion pada 2023 (2022: RM1.74 trilion), manakala permodalan pasaran FBMKLCI menyederhana kepada RM1.01 trilion (2022: RM1.03 trilion). Ini menggambarkan peralihan positif dalam sentimen yang memihak kepada syarikat bersaiz sederhana dan kecil, seperti yang dicerminkan oleh prestasi menggalakkan indeks FBM Mid 70 dan FBM Small Cap. Indeks penanda aras FBMKLCI merosot sebanyak -2.73% untuk mengakhiri tahun ini pada 1,454.66 mata (2022: -4.60%), manakala FBM Mid 70 dan FBM Small Cap masing-masing meningkat sebanyak 12.28% dan 9.57% (2022: -8.41% dan -5.30%) kepada 14,612.98 mata dan 16,353.38 mata.

CARTA 5

Pasaran ekuiti Malaysia mengalami peralihan positif dalam sentimen terhadap segmen permodalan sederhana dan kecil, manakala pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan

Nota: * FBM KLCI terdiri daripada 30 syarikat terbesar yang diukur mengikut permodalan pasaran penuh dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS, manakala FBM Mid 70 bertumpu kepada 70 syarikat terbesar yang seterusnya. FBM Small Cap terdiri daripada semua konstituen Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS yang bukan konstituen Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100. FBM ACE terdiri daripada semua syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE.

Sumber: Bloomberg, Bursa Malaysia, pengiraan SC.

carta 6

Volum dan nilai dagangan harian ekuiti meningkat menjelang akhir tahun di tengah-tengah sentimen pelabur yang bertambah baik

Nota: Nilai dan volum dagangan harian termasuk transaksi luar pasaran. Keadaan abnormal pada 29 November 2023 adalah disebabkan oleh sejumlah RM16 bilion dalam transaksi luar pasaran antara entiti berkaitan CelcomDigi.
Sumber: Bursa Malaysia, pengiraan SC.
Bukan pemastautin merupakan penjual bersih ekuiti Malaysia, melepaskan sejumlah -RM2.34 bilion pada 2023 (2022: +RM4.40 bilion). Sejajar dengan itu, pelabur institusi tempatan mengumpul sejumlah RM3.30 bilion pada 2023 (2022: -RM6.53 bilion), manakala pelabur runcit tempatan bertukar menjadi penjual bersih berjumlah -RM0.96 bilion (2022: +RM2.13 bilion) (Carta 5). Di sebalik kedudukan jualan bersih, kadar penyertaan pelabur runcit tempatan meningkat kepada purata 27.45% pada 2023 (2022: 25.65%) mencadangkan bahawa pasaran ekuiti domestik terus menyediakan peluang kepada pelbagai pelabur. Sementara itu, purata volum dagangan harian bertambah baik kepada 3.55 bilion unit pada 2023 (2022: 3.00 bilion unit), dan pada nilai purata yang lebih tinggi sebanyak RM2.29 bilion sehari (2022: RM2.18 bilion) mencerminkan sentimen pelabur yang memberangsangkan terutamanya menjelang akhir tahun (Carta 6).

Dalam pasaran bon Malaysia, jumlah bon dan sukuk belum tebus meningkat kepada RM2.00 trilion (2022: RM1.87 trilion), berikutan pengumpulan dana bon dan sukuk yang berterusan, terutamanya daripada sektor awam. Keseluruhan keluk hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) beralih ke aras yang lebih rendah, menjejaki prestasi pasaran bon global. Ini sebahagian besarnya mencerminkan jangkaan dasar monetari di peringkat global, di samping jangkaan persekitaran kadar faedah domestik yang stabil sepanjang tahun. Spred antara bon korporat dan MGS juga mengetat dalam kebanyakan tempoh matang utama, mencerminkan permintaan berterusan oleh pelabur institusi domestik (Carta 7). Sementara itu, pasaran bon domestik menyaksikan kepulangan pelabur asing, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM25.78 bilion pada 2023 (2022: aliran keluar bersih -RM9.78 bilion).

Walaupun prestasi pasaran modal bercampur aduk pada tahun 2023, jumlah pengumpulan dana IPO terus meningkat, manakala pasaran bon korporat dan sukuk dipengaruhi oleh permintaan pembiayaan semula yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya. Yang penting, prestasi pasaran ekuiti adalah tidak sekata merentasi semua segmen, dengan FBM Mid 70 dan FBM Small Cap mengatasi prestasi penanda aras FBMKLCI pada tahun tersebut. Sementara itu, keadaan kredit domestik yang stabil terus menyokong aktiviti sekunder dalam pasaran bon korporat dan sukuk. Dalam sektor pengurusan aset, keuntungan daripada peruntukan yang lebih besar dalam pasaran maju dan kesan penilaian positif daripada pendedahan domestik secara menyeluruh yang mendorong peningkatan dalam AUM.

carta 7

Keluk hasil MGS beralih ke bawah di tengah-tengah jangkaan persekitaran kadar faedah domestik yang stabil, manakala spred korporat mengecil berikutan permintaan pelabur yang berdaya tahan

Nota: * Bon korporat dan sukuk menerima penarafan antara AAA dan BBB.
Sumber: Bloomberg, Refinitiv Eikon Datastream, pengiraan SC.

  1. Dalam pasaran ekuiti, sebanyak RM3.6 bilion (2022: RM3.5 bilion) telah dikumpulkan melalui 32 tawaran awam awal (IPO) dan RM5.8 bilion (2022: RM22.6 bilion) melalui pengumpulan dana sekunder.
  2. Penerbitan bon korporat berkaitan kemampanan adalah sebanyak RM8.7 bilion pada 2023 (2022: RM10.1 bilion).
  3. Dana yang dikumpulkan melalui ECF dan pembiayaan P2P adalah sebanyak RM2.2 bilion pada 2023 (2022: RM1.7 bilion).
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi KamiPenolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik dengan resolusi minimum 1280x1024

Ikuti kami di: 

Ooops!
Generic Popup