PERINGATAN! Berhati-hati terhadap syarikat dagangan komoditi/indeks lani samaran

Kuala Lumpur, 13 Disember 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengingatkan orang ramai agar jangan membuat pelaburan dengan syarikat-syarikat dagangan komoditi/indeks lani samaran. Sebilangan orang telah kehilangan wang yang banyak selepas melabur melalui syarikat-syarikat ini.

Peringatan SC ini adalah berikutan aduan yang dibuat kepada SC dan pihak media tempatan oleh mangsa serta serbuan oleh SC ke atas syarikat berkenaan. Serbuan SC baru-baru ini telah disiarkan oleh pelbagai akhbar.

Hasil serbuan SC ke atas syarikat-syarikat ini, mendapati bahawa syarikat itu menjalankan aktiviti dagangan niaga hadapan tanpa mendapat lesen daripada SC. SC juga mendapati pengendali syarikat ini cuba menyembunyikan operasi mereka dengan selalu menukar cara aktiviti mereka daripada dagangan komoditi lani kepada dagangan dalam indeks seperti indeks Hang Seng, Indeks Pasaran Islam Dow Jones dan indeks lain yang disebutkan di pasaran modal asing lain. Pada asasnya, walaupun produk pendasar syarikat ini mungkin berbeza, modus operandi kekal sama.

Pada 1 November 2000, SC telah menyiarkan modus operandi syarikat yang dagangan komoditi lani samaran. Ini adalah untuk membantu para pelabur mengenal pasti dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada syarikat sedemikian. Untuk manfaat pelabur, SC ingin menyatakan panduan untuk mengenal pasti syarikat yang menjalankan dagangan komoditi/indeks lani secara tidak sah.

Bagaimana untuk mengenal pasti syarikat dagangan komoditi/indeks lani samaran

Orang ramai boleh mengenal pasti syarikat yang menjalankan dagangan komoditi/indeks lani secara tidak sah dengan memeriksa ciri-ciri berikut:

  • Syarikat sedemikian mendakwa bahawa mereka adalah "ejen" bagi rumah-rumah dagangan asing, yang biasanya ditubuhkan dalam bidang kuasa seperti Macau, Indonesia, Singapura, Hong Kong, Kepulauan British Virgin dan Bahama.
  • Walaupun mereka mendakwa memperdagangkan produk mereka dalam pasaran asing tersebut, mereka selalunya tidak mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan dagangan ini disalurkan kepada bursa-bursa niaga hadapan asing. Pedagang-pedagang syarikat ini mengamalkan apa yang dikenali sebagai "bucketing", yang mana mereka melaksanakan pesanan pelanggan bagi akaun mereka sendiri dan bukannya di pasaran, dengan harapan mengaut keuntungan daripada sesuatu urus niaga `offset' pada masa hadapan.
  • Syarikat-syarikat ini kerap meletakkan iklan pengambilan kakitangan bagi jawatan seperti eksekutif, pembantu pentadbir atau kerani. Pencari kerja dijanjikan antara lain dengan gaji empat angka yang lumayan. Calon-calon yang disenarai pendek akan ditemu duga dan selepas menjadi kakitangan, akan diberikan "latihan" singkat. Pada akhir latihan tersebut, kakitangan itu akan digalakkan untuk melabur simpanan mereka dalam produk serta menarik pelabur baru yang selalunya terdiri daripada saudara-mara dan rakan-rakan kakitangan tersebut. Dalam beberapa kes, kakitangan tersebut diugut tidak akan diberi gaji sehingga mereka melabur wang mereka atau membawa masuk pelabur baru.
  • Pelabur biasanya diminta untuk membuat bayaran permulaan yang dipanggil "deposit margin" berjumlah sekitar USD3,000 hingga USD5,000. Pelabur kemudian diberitahu bahawa pelaburan mereka telah disalurkan kepada prinsipal asing syarikat tersebut dan mereka dikehendaki menandatangan satu perjanjian dagangan, kononnya dengan prinsipal asing syarikat tersebut.
  • Waktu dagangan syarikat ini berbetulan dengan waktu dagangan bursa-bursa asing yang mereka dakwa berurusan dengan mereka. Sebagai contoh, sebuah syarikat yang berurusan dalam indeks Hang Seng akan menjalankan dagangan pada waktu siang sementara dagangan dengan pasaran saham atau komoditi AS akan berbuat demikian pada waktu lewat malam sehingga awal pagi.
  • Berpandukan pengalaman mangsa, bayaran permulaan yang dipanggil "deposit margin" selalunya akan kehabisan dalam masa beberapa hari, yang mengakibatkan "panggilan margin". Panggilan margin merupakan permintaan syarikat daripada pelanggan mereka untuk meletakkan deposit tambahan bagi meneruskan dagangan. Syarikat tersebut selalunya menggalakkan para pelabur untuk terus membuat dagangan untuk menampung kerugian mereka. Pelabur yang terpedaya akan membuat deposit tambahan dan proses tersebut berulang dan mengakibatkan kerugian yang meningkat kepada pelabur.
Sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menipu para pelabur, kadang kala syarikat tersebut akan menunjukkan beberapa keuntungan dagangan dalam akaun pelabur. Walau bagaimanapun, pelabur akan mendapati bahawa mereka tidak boleh menunaikan keuntungan tersebut.
Akhirnya, pelabur kehilangan kesemua pelaburan mereka. Dalam kebanyakan kes, pelabur tidak mempunyai kawalan ke atas kaedah dagangan dalam akaun mereka, kerana mereka telah memindahkan hak kepada pedagang syarikat tersebut untuk melaksanakan dagangan bagi pihak mereka.
SC menggesa orang ramai agar berhati-hati apabila melabur dengan syarikat pelaburan tempatan atau luar negara. Terdapat banyak pihak yang tidak bertanggung jawab yang mengambil kesempatan keadaan ekonomi semasa untuk memikat pelabur kepada aktiviti pelaburan yang kelihatan mempunyai pulangan tinggi. Orang ramai harus mengetahui bahawa hampir kesemua jenis pelaburan dikawal selia oleh agensi Kerajaan seperti SC. Orang ramai mesti memeriksa dengan SC atau pihak berkuasa berkaitan mengenai status pelesenan syarikat tempatan atau luar negara yang mereka gunakan sebagai saluran pelaburan mereka.

Langkah-langkah bagi pelabur

Untuk melindungi kepentingan mereka, orang ramai adalah dinasihatkan agar membuat pelaburan mereka hanya melalui syarikat berlesen. Senarai semua syarikat perantara yang diberikan lesen oleh SC boleh didapati di laman web SC di www.sc.com.my. Pelabur juga boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat SC di talian: 03-6204 8000/ faks: 03-62015078 / e-mel: [email protected], untuk mengesahkan status pelesenan sesebuah syarikat.

Pelabur juga boleh mengemukakan aduan kepada Unit Pengaduan SC di talian: 603-6204 8999 / e-mel: [email protected].

Soalan-Soalan Lazim (FAQs)

Pelabur juga boleh merujuk kepada senarai soalan lazim mengenai dagangan komoditi/indeks lani tidak sah, yang disediakan di bawah dan juga didapati di laman web SC.
1) Apakah dagangan lani?
Dagangan lani merupakan pembayaran atau penjualan produk bagi penghantaran segera. Ia mengandungi sebarang perjanjian jual beli. Mana-mana produk boleh didagangkan, sebagai contoh komoditi (seperti kopi, minyak sawit mentah dan getah, tunai, indeks dan sebagainya). Dalam dagangan komoditi sebenar, pembeli membeli sesuatu komoditi sebagai contoh, kopi, dan menerima penghantaran fizikal kopi daripada penjual.
2) Apakah perbezaan antara dagangan komoditi/indeks laini yang dijalankan oleh syarikat samaran dan dagangan niaga hadapan yang sebenar?
Apa yang dipanggil dagangan komoditi lani yang dijalankan oleh syarikat samaran tersebut sebenarnya ialah dagangan niaga hadapan kerana wujudnya unsur dagangan niaga hadapan seperti penghantaran bukan fizikal komoditi, penutupan kedudukan untuk merealisasi keuntungan atau kerugian, dagangan berleveraj, penerimaan deposit margin dan panggilan margin, "roll-over" kedudukan terbuka dan sebagainya.
Membeli komoditi di pasaran lani/tunai seperti yang diterangkan di atas bermakna membeli sesuatu komoditi pada harga semasa atau "lani"nya dan menerima penghantaran fizikal komoditi tersebut.
Dalam kes indeks, adalah mustahil untuk berdagang atau menerima penghantaran sesuatu indeks kerana ia tidak wujud dalam bentuk fizikal. Satu indeks hanya merupakan satu ukur rujuk bagi prestasi kewangan atau ekonomi. Satu-satunya cara untuk "memperdagangkan indeks" ialah dengan berdagang dalam sesuatu kontrak niaga hadapan atau opsyen yang mempunyai indeks sebagai produk sandarannya. Oleh itu, apa yang dipanggil dagangan indeks lani yang dijalankan oleh syarikat samaran tersebut sebenarnya ialah dagangan niaga hadapan.
3) Kenapakah syarikat dagangan komoditi lani tidak sah?
Mereka menjalankan dagangan niaga hadapan tanpa lesen daripada SC.
4) Di manakah letaknya syarikat dagangan komoditi lani samaran ini?
Syarikat dagangan komoditi/indeks lani tidak sah ini terdapat di seluruh negara, khususnya di bandaraya dan bandar-bandar besar.
5) Beberapa syarikat tersebut berdaftar dengan ROC. Adakah ini bermakna syarikat ini sah?
Walaupun beberapa syarikat didaftarkan dengan ROC, syarikat ini masih perlu dilesenkan oleh SC, untuk dianggap sah, sekiranya aktiviti mereka merupakan dagangan niaga hadapan.
6) Syarikat itu mengatakan bahawa ia tidak melanggar undang-undang dan menunjukkan saya surat daripada Suruhanjaya Dagangan Komoditi yang disertakan dengan satu pendapat undang-undang Akta Dagangan Komoditi 1985 juga mengatakan kesahihan syarikat itu. Sejauh manakah dakwaan mereka ini?
Suruhanjaya Dagangan Komoditi tidak lagi wujud berikutan penggabungannya dengan SC pada 16 April 1997. Penggabungan tersebut membawa peraturan mengenai niaga hadapan komoditi diletakkan bawah bidang kuasa SC. Penambahan bidang kuasa Sc berkuat kuasa melalui Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993 (Pindaan dan Penggabungan), yang memansuhkan Akta Dagangan Komoditi 1985. Dagangan komoditi niaga hadapan sekarang ditadbir oleh Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993. Oleh itu, sebarang kenyataan atau pendapat yang diberikan berkenaan dengan Akta Dagangan Komoditi 1985 tidak lagi terpakai.
7) Syarikat tersebut memaklumkan saya bahawa saya sebenarnya tidak berdagang melaluinya (syarikat tersebut). Sebaliknya, saya sepatutnya berdagang secara terus dengan syarikat prinsipal yang beribu pejabat di luar negara. Berpandukan ini, syarikat tersebut mengatakan bahawa mereka tidak memerlukan lesen daripada SC. Adakah ini benar?
Ini adalah tidak benar kerana selagi syarikat luar negara tersebut atau ejennya di Malaysia menjalankan dagangan bagi pelabur Malaysia, lesen daripada SC adalah dikehendaki.
8) Bagaimanakah syarikat komoditi lani samaran ini mendapat pelanggan mereka?
Syarikat ini biasanya mendapat pelanggan mereka melalui kaedah pemasaran langsung. Pencarian pelanggan baru adalah sama ada dilakukan secara langsung oleh pedagang syarikat (yang dipanggil "jururunding pelaburan/pengurus perniagaan") atau secara tidak langsung oleh kakitangan baru. Kakitangan baru yang tidak bersalah ini biasanya akan meminta rakan-rakan dan saudara-mara mereka untuk melabur wang mereka.
9) Apakah akibatnya jika saya melabur dalam sesebuah syarikat yang didapati tidak sah?
SC ingin menasihatkan orang ramai supaya melabur hanya melalui perantara yang berlesen kerana pelabur boleh mendapat perlindungan secukupnya daripada undang-undang sekuriti yang mentadbir perantara ini. Pelabur boleh mendapatkan pampasan daripada dana `kesetiaan' (fidelity fund) jika mengalami kerugian akibat salah laku sesebuah syarikat berlesen. Sebaliknya, tiada perlindungan bagi pelabur yang melabur melalui syarikat tidak sah. Perantara berlesen dan kakitangan mereka dikehendaki oleh undang-undang supaya jujur dan bertanggung jawab ketika berurusan dengan wang pelabur. Syarikat berlesen akan menghadapi tindakan oleh SC atau pihak bursa sekiranya mereka gagal berbuat demikian.
10) Bagaimana saya mengetahui sekiranya sesebuah syarikat itu dilesenkan oleh SC?
Semak di laman web SC di www.sc.com.my yang menyediakan senarai lengkap dan dikemas kini syarikat perantara berlesen. Orang ramai juga boleh menghubungi Unit Pengaduan SC di talian 03-62048999 atau Jabatan Pelesenan SC di talian 03-62048000 untuk mengesahkan status pelesenan sesuatu syarikat.
11) Apakah yang harus saya lakukan sekiranya saya sudah melabur wang saya dengan syarikat dagangan komoditi/indeks lani yang tidak sah?
Pertamanya, anda mesti menjauhkan diri daripada terus melabur atau menambah pelaburan anda. Anda juga hendaklah mula mengumpulkan semua dokumen sebagai bukti pembabitan dan pelaburan anda. Kemukakan aduan anda kepada SC. Aduan anda akan membantu SC dalam tindakan penguatkuasaannya dan dapat menghalang orang lain daripada menjadi mangsa penipuan sedemikian.
12) Haruskah saya membuat laporan polis?
Anda adalah dinasihatkan supaya berbuat demikian kerana kes anda boleh dianggap kesalahan bawah Kod Kesiksaan, yang mana penguatkuasaan akan diambil oleh pihak polis.
13) Bolehkah saya mendapatkan semula wang saya atau sekurang-kurangnya mendapatkan semula kerugian?
Anda harus mengambil tindakan sivil terhadap syarikat tersebut untuk mendapatkan semula wang anda. Sila dapatkan khidmat peguam mengenai tindakan undang-undang yang tersedia yang boleh diambil.
14) Apakah tindakan yang diambil oleh pihak SC dalam menangani masalah mengenai syarikat komoditi/indeks lani samaran ini?
SC mengambil pendekatan dua serampang dalam menangani masalah mengenai syarikat komoditi/indeks lani samaran. Ini termasuk tindakan penguatkuasaan dan pendidikan pelabur. Dari segi penguatkuasaan, SC telah menjalankan dan akan terus mengadakan serbuan ke atas syarikat dagangan komoditi/indeks lani samaran ini. Kami juga telah mengenakan pertuduhan ke atas seorang individu kerana menjalankan pasaran niaga hadapan secara tidak sah - beliau mengaku bersalah baru-baru ini.
Untuk mendidik pelabur, SC telah mengeluarkan peringatan untuk pelabur seperti ini, yang merupakan kali kedua pihak kami berbuat demikian. Peringatan berkala akan disiarkan kepada orang ramai. Kami juga telah menyediakan panduan tentang bagaimana untuk mengenal pasti syarikat dagangan komoditi/indeks lani samaran ini. Kami berharap soalan-soalan lazim seperti ini akan meningkatkan kesedaran pelabur mengenai masalah ini.
15) Kenapa SC tidak menyiasat Syarikat X? Apakah yang dilakukan oleh SC terhadap syarikat lain yang juga terlibat dalam dagangan lani?
SC, seperti juga pihak berkuasa penguatkuasaan yang lain, perlu berhati-hati mengenai butiran usaha penguatkuasaannya supaya tidak menghalang kejayaan sesuatu kes. Walaupun kami tidak boleh mendedahkan kepada orang ramai nama-nama syarikat bawah penyiasatan sehingga lebih banyak bukti kukuh diperolehi/sehingga kes tersebut berada di peringkat yang lebih lanjut, kami ingin meyakinkan pelabur bahawa usaha penguatkuasaan SC masih terus berjalan. SC telah menerima maklumat mengenai banyak syarikat komoditi dan indeks lani melalui aduan daripada mangsa dan bekas kakitangan syarikat-syarikat ini. SC telah mendapatkan nama dan lokasi syarikat-syarikat ini dan berupaya untuk mengambil tindakan ke atas mereka pada masa yang sesuai.
16) Ke manakah boleh saya kemukakan maklumat atau mengemukakan sesuatu aduan mengenai syarikat dagangan komoditi/indeks lani samaran?
Sila tulis kepada Unit Pengaduan SC di:
Unit Pengaduan,
Suruhanjaya Sekuriti,
3 Persiaran Bukit Kiara,
Bukit Kiara,
50490 Kuala Lumpur
Faks: 03-62048991
Orang ramai juga boleh menghubungi Unit Pengaduan di talian 03-62048999.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup