SC Pinda Undang-Undang Pasaran Modal Untuk Perluas Kategori Pelabur Sofistikated, Pengecualian Kelulusan SC bagi Cadangan Korporat
1 Julai 2021

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan beberapa pindaan kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2021.
Pindaan tersebut, yang dikuatkuasakan melalui perubahan kepada Jadual 6 dan 7 CMSA, telah memperluas kategori pelabur sofistikated, untuk merangkumi antara lain, individu dengan pelaburan bernilai RM1 juta dalam produk pasaran modal, sama ada secara sendiri atau melalui akaun bersama dengan pasangan mereka; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah berlesen atau individu yang berdaftar di bawah CMSA; dan syarikat-syarikat yang menguruskan dana syarikat berkaitan mereka dengan aset melebihi RM10 juta.

Pindaan ini akan membolehkan lebih banyak pelabur memperluaskan pilihan pelaburan mereka manakala penerbit kini dapat meraih manfaat daripada kumpulan pelabur sofistikated yang lebih besar.

Senarai penuh kriteria kelayakan pelabur sofistikated boleh didapati di sini https://www.sc.com.my/regulation/acts/capital-markets-and-services-act-2007/sophisticated-investors.

Di samping itu, pindaan kepada Jadual 6 dan 7 akan membolehkan Bursa Malaysia melaksanakan pendaftaran prospektus bagi Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari 2022. Setelah pemindahan fungsi pendaftaran tersebut, yang kini dilakukan oleh SC, Bursa akan menjadi pusat sehenti untuk semua kelulusan yang berkaitan dengan penyenaraian di Pasaran ACE.

Sementara itu, Jadual 5 CMSA, yang menetapkan jenis cadangan korporat yang tidak memerlukan kelulusan SC, juga telah dipinda dengan memasukkan perkara yang berikut:
  1. Penawaran bursa awal bagi aset digital melalui Pengendali Pasaran yang Diiktiraf; dan
  2. Tawaran awam awal (IPO) atau penyenaraian silang saham-saham syarikat awam atau syarikat tersenarai di bursa saham di luar Malaysia.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai pindaan tersebut, sila layari https://www.sc.com.my/regulation/acts/capital-markets-and-services-act-2007.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup