27 Mac - Program Dana Latihan Bumiputera (BTF) SIDC yang Keempat Bermula

Kuala Lumpur, 21 Mac 2000

Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengumumkan bahawa Program Dana Latihan Bumiputera (BTF) bagi tahun 2000 akan bermula pada 27 Mac. Ini merupakan kali keempat program ini diadakan sejak dana ini ditubuhkan pada tahun 1997.

BTF merupakan dana RM5.0 juta yang ditubuhkan melalui sumbangan yang diterima dari SC, Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dan syarikat broker saham. Ia ditadbir oleh SIDC dan menyediakan keperluan latihan dan pembangunan kakitangan Bumiputera syarikat broker saham.

Program pada tahun ini dimulakan dengan Bengkel "Finance for Non-Financial Executives" yang akan diadakan selama dua hari pada tarikh yang tersebut di atas di Bangunan SC. Seminar ini merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang bagi tahun ini di bawah naungan BTF.

Dalam menyediakan latihan dan pembangunan yang menyeluruh bagi kumpulan sasarannya, program BTF menawarkan program yang boleh mengasah kemahiran dan pengetahuan teknikal berkenaan pasaran modal serta meningkatkan kesejahteraan peribadi. Oleh itu, program tahun ini telah dibahagikan kepada tiga kategori utama: Kecemerlangan Diri, Pengurusan Pelaburan dan Isu-isu Kontemporari.

Program kecemerlangan diri termasuk bengkel motivasi dan cara-cara untuk mengurus tekanan. Program lain yang akan dilaksanakan adalah kemahiran berkomunikasi dan perkhidmatan pelanggan.

Bagi program berkaitan pengurusan pelaburan, SIDC telah merancang untuk menganjurkan seminar/bengkel yang merangkumi, antara lain, pengurusan portfolio saham dan pengenalan kepada derivatif ekuiti dan pengurusan risiko.

Sementara itu, program isu kontemporari membolehkan peserta mengetahui segala perkembangan semasa berkaitan perkara-perkara seperti pasaran modal Islam, perdagangan elektronik dan isu lain berkaitan pasaran modal.

Kakitangan Bumiputera syarikat broker saham yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang program BTF boleh menghubungi jabatan latihan dan pentadbiran majikan masing-masing.

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup