Salah satu ciri penting dana tersebut ialah ia ditujukan kepada semua peringkat kakitangan Bumiputera di syarikat-syarikat broker saham --- pengarah, pengurus kanan, eksekutif, remisier dan kakitangan sokongan. Dengan peruntukan dana tersebut itu, kumpulan-kumpulan sasaran yang pelbagai ini akan didedahkan kepada program latihan komprehensif yang merangkumi kemahiran teknikal dan pembangunan diri. Program-program latihan tersebut akan dimulakan menjelang Julai 1997 dan melibatkan kursus-kursus kemahiran perkembangan, komunikasi perniagaan, kewangan dan analisis sektor. Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC) akan turut menganjurkan kursus, seminar dan bengkel yang boleh dijadikan asas latihan penting bagi golongan Bumiputera.
Penubuhan Dana Latihan Bumiputera ini didorong oleh hasil satu kajiselidik bersama yang dijalankan oleh SC dan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) ke atas 20 buah syarikat broker saham di sekitar Lembah Kelang yang telah mengutarakan keperluan untuk mengadakan latihan formal dan sistematik bagi golongan Bumiputera dalam industri broker saham. Dana tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk mempertingkatkan tahap dan mutu penglibatan Bumiputera di dalam pasaran modal.
Dana tersebut dikumpulkan melalui sumbangan RM1.0 juta setiap satu daripada SC dan BSKL manakala RM3.0 juta yang selebihnya diperolehi daripada 60 buah syarikat broker saham yang menyumbangkan RM50,000 setiap syarikat. Dana tersebut akan diuruskan oleh SC menerusi bahagian pembangunan dan pendidikannya, iaitu SIDC.