Lebih daripada 40 Institusi Pasaran Modal Menyertai InvestSmart Fest @ MidValley 23-25 ​​September
1 September 2016|   Kuala Lumpur
  • InvestSmart Fest dimulakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, pengawal selia utama pasaran modal Malaysia yang berjumlah RM2.9 trilion;
  • Pameran pendidikan pelabur percuma selama tiga hari, akan menampilkan pelbagai peluang pelaburan dari saham, bon, unit amanah, skim persaraan swasta, dana dagangan bursa hingga derivatif dan pendanaan ekuiti ramai.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin mengumumkan InvestSmart Fest ke-3 yang akan diadakan pada 23-25 ​​September di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Pameran pendidikan pelabur tiga hari tersebut akan menampilkan lebih 40 institusi pasaran modal yang bersama-sama mendidik dan menggalakkan orang ramai untuk "Melabur Secara Bijak". Dianjurkan bersama oleh Securities Industry Development Corporation, InvestSmart Fest adalah satu platform berpusat bagi pelabur untuk mengetahui dengan lebih lanjut pelbagai peluang pelaburan dalam pasaran modal Malaysia, dan cara untuk melabur dengan bijak dan bertanggungjawab.

Acara tahunan InvestSmart Fest akan mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk saham, unit amanah, bon, derivatif, dana dagangan bursa dan skim persaraan swasta serta pendanaan ekuiti ramai. Acara tahun ini juga menampilkan pihak berkuasa dan institusi pasaran kewangan dan pasaran modal seperti Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Bursa Malaysia, Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti dan Pentadbir Pencen Swasta.

Terdapat pameran, siri ceramah, cabaran dan permainan pelaburan interaktif yang menarik serta hadiah eksklusif untuk dimenangi. Di samping itu, InvestSmart Fest akan mengadakan sesi ceramah mengenai melabur dalam keadaan ekonomi semasa dan tinjauan pasaran oleh penceramah terkemuka dari pihak industri. Masuk adalah percuma.

Dilancarkan pada tahun 2014, BijakLabur adalah kempen capaian celik pelaburan yang menyeluruh di bawah inisiatif pemerkasaan pelabur SC bagi membolehkan penyertaan pelabur runcit yang beryakinan dan bermaklumat dalam pasaran modal.

Untuk maklumat lanjut dan jadual siri ceramah, sila layari www.investsmartsc.my atau facebook.com/InvestSmartSC.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup