Kuala Lumpur, 31 Julai 2025
Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) hari ini mendekati perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah, bagi memperluas peluang pembiayaan perkembangan perniagaan dan keperluan modal kerja melalui Pendanaan Ramai Berasaskan Ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).
Menteri Pembangunan Perindustrian & Keusahawanan Sabah YB Datuk Phoong Jin Zhe merasmikan jerayawara sehari bertemakan “Memperkasakan Pembiayaan, Memajukan Pertumbuhan” di Kota Kinabalu. Kira-kira 300 wakil daripada persatuan perniagaan, agensi kerajaan, modal teroka, ekuiti swasta dan PMKS menghadiri majlis tersebut.
Dianjurkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), acara itu disokong oleh Invest Sabah Bhd, rakan kongsi pembangunan utama dengan rangkaian tempatan yang mendalam dan hubungan kukuh kepada inisiatif PMKS negeri dan persekutuan.
Ia menampilkan sesi rangkaian, perbincangan berasingan dan reruai pempamer di mana peserta terlibat dengan pengendali platform ECF dan P2P berdaftar SC dan mendengar kisah kejayaan secara langsung daripada syarikat yang dibiayai melalui MyCIF.
MyCIF, model pelaburan bersama awam-swasta pertama Malaysia, telah ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan Persekutuan 2019.
Ditadbir oleh SC, MyCIF telah melabur bersama dalam lebih 70,000 kempen, yang memanfaatkan lebih 9,500 PMKS di seluruh negara. Pada tahun 2024, dana itu melebihi RM1 bilion dalam jumlah pelaburan bersama.
Ia menggunakan nisbah pelaburan bersama 1:4 di bawah Skim Amnya dan nisbah 1:2 untuk inisiatif yang disasarkan seperti Jaminan Makanan dan Skim Kesan Alam Sekitar & Sosial.
Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa MyCIF telah menjadi game changer untuk pertumbuhan PMKS, menyediakan modal yang sangat diperlukan yang sering menjadi cabaran untuk dicapai melalui saluran tradisional.
“Jerayawara Sabah penting dalam jangkauan nasional MyCIF, yang direka untuk mengembangkan kesedaran mengenai pembiayaan alternatif dalam kalangan perniagaan di seluruh Malaysia,” katanya.
“Ia memberikan para usahawan gambaran langsung tentang bagaimana ECF, P2P dan MyCIF boleh memacu pertumbuhan mereka pada setiap peringkat.”
"Kerajaan, melalui MyCIF, terus menyokong PMKS sebagai enjin utama pertumbuhan, inovasi dan penciptaan pekerjaan. Ini terbukti dalam peruntukan RM40 juta di bawah Bajet 2025 untuk meluaskan lagi akses kepada pembiayaan ECF dan P2P di seluruh negara," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Dr. Firdausi Suffian mengalu-alukan kerjasama dengan SC.
"Kolaborasi dengan SC dalam acara ini telah membolehkan Invest Sabah memperkukuh usahanya dalam memperkasakan usahawan tempatan. Jerayawara ini merupakan platform penting bagi PMKS di Sabah untuk mendapatkan pandangan dan menjalin hubungan yang boleh membantu memacu perniagaan mereka ke hadapan," katanya.
Sehingga 2024, jumlah dana yang diperoleh melalui pelaburan bersama MyCIF bersama pelaburan swasta telah melepasi RM6 bilion, membolehkan perniagaan mengakses pembiayaan melalui platform pembiayaan ECF dan P2P. MyCIF telah menarik 4.1 kali pelaburan swasta bagi setiap ringgit yang dilaburkan bersama, menunjukkan kesan himpitan ke dalam yang kuat.
Sepanjang enam tahun lalu, MyCIF telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan alternatif, memupuk pertumbuhan lebih 9,500 PMKS dalam ekosistem keusahawanan tempatan.
Ini mencerminkan keyakinan berterusan dan minat yang semakin meningkat daripada kedua-dua pelabur dan PMKS dalam saluran pembiayaan alternatif.
Untuk maklumat lanjut mengenai MyCIF, layari https://www.sc.com.my/mycif.