Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Hari Penglibatan MyCIF di SC hari ini. Tema acara tersebut ialah “Modal Pemangkin untuk Impak Negara.”
Bagi menyokong keutamaan negara, MyCIF telah memperkenalkan inisiatif berikut:
- Skim Ekonomi Perak (Silver Economy): Skim baharu untuk menggalakkan pelaburan dalam PMKS yang menyokong populasi warga emas Malaysia, khususnya dalam teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus dan kediaman warga emas.
- Insentif Perkongsian Keuntungan VC/PE: Insentif baharu untuk menarik urus niaga yang dipimpin oleh modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) pada platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF), sekaligus memberi peluang kepada pelabur menyertai urus niaga yang disokong institusi. MyCIF akan berkongsi 50% daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE yang berjaya merealisasikan pulangan melalui penjualan atau pelupusan (exit) pelaburan berkenaan.
- Gobi Partners dan OSK Ventures International telah menyatakan hasrat untuk membawa urus niaga kepada pelabur ECF.
Berikutan peruntukan Belanjawan 2026 sebanyak RM30 juta, tambahan sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan kepada MyCIF untuk tahun 2026.
Di samping itu, Skim Keterjaminan Makanan akan diperluaskan untuk merangkumi syarikat baharu agri-teknologi bagi menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara untuk memodenkan pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan.
Selain inisiatif baharu, MyCIF mengumumkan bahawa ia telah melangkaui RM1.5 bilion dalam pelaburan bersama sejak penubuhannya pada tahun 2019. Ditambah dengan jumlah RM6.2 bilion daripada pelabur swasta, MyCIF telah mengumpul dana sebanyak RM7.7 bilion untuk menyokong lebih 11,500 PMKS, yang terdiri daripada perniagaan tradisional hingga perniagaan yang didayakan teknologi, sejak enam tahun lalu.
Di samping itu, pulangan daripada pelaburan bersama MyCIF telah membolehkan geran kumulatif MOF iaitu sebanyak RM290 juta dikitar semula sebanyak 5.2 kali ganda.
Model MyCIF merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang membolehkan kerajaan melabur bersama pelabur swasta dalam kempen ECF dan P2P yang layak.
Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa MyCIF telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan PMKS dengan menggalakkan pengumpulan dana melalui platform ECF dan platform pembiayaan P2P, yang merupakan pembiayaan yang sukar didapati melalui saluran yang lebih konvensional.
“Model MyCIF memacu sinergi daya tahan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif orang ramai. Saya yakin model ini berpotensi berkembang lebih jauh lagi bagi menangani keperluan pembiayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Hari Penglibatan MyCIF menampilkan siri dialog dan galeri digital yang mengetengahkan perjalanan enam tahun impak MyCIF. Acara separuh hari itu menarik lebih 150 wakil daripada agensi kerajaan, VC, PE, ECF dan sektor pembiayaan P2P serta komuniti PMKS.