Pasaran Modal Malaysia Capai Rekod RM4.2 Trilion pada 2024, Kekal Berdaya Tahan dalam Pertumbuhan Pendapatan
SC Keluarkan Laporan Tahunan 2024, Laporan Tahunan AOB 2024 dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024

Kuala Lumpur, 20 Mac 2025

Saiz pasaran modal Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM4.2 trilion pada tahun 2024 (2023: RM3.8 trilion), didorong pertumbuhan dalam pasaran saham dan bon serta sukuk belum tebus.

Aset di bawah pengurusan (AUM) industri pengurusan dana mencapai paras tertinggi baharu iaitu RM1.1 trilion (2023: RM975.5 bilion) - melepasi paras RM1 trilion – berlatarbelakangkan prestasi pasaran ekuiti global yang kukuh, kata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Tahun 2024 juga menyaksikan aktiviti pengumpulan dana yang lebih tinggi, meningkat kepada RM138.9 bilion (2023: RM127.7 bilion). Ini termasuk sejumlah 55 IPO direkodkan (2023: 32 IPO), yang mengumpul sebanyak RM7.42 bilion (2023: 3.6 bilion).

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata pertumbuhan yang mampan, didorong terbitan bon dan sukuk yang teguh, membuktikan bahawa pasaran modal kekal berdaya tahan dan ia terus memudahcara pembentukan modal dan membantu menyokong ekonomi negara.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata SC kini sedang merangka pelan induk pasaran modal lima tahun baharu, memberi tumpuan kepada bidang utama seperti meningkatkan keselamatan kewangan pesara dan menggalakkan pembiayaan mampan.

“Membina kepada kekuatan pasaran, SC kekal komited untuk memupuk pasaran modal yang inklusif dan rancak, sambil memudahcarakan inovasi dan meningkatkan kecekapan kawal selia,” kata Dato’ Faiz.

Sorotan Utama daripada Laporan Tahunan SC 2024:

Pertumbuhan Pasaran & Pengumpulan Dana

  • Jumlah pengumpulan dana dalam pasaran ekuiti dan bon korporat meningkat sebanyak 8.7% kepada RM138.9 bilion pada tahun 2024.
  • Mencatatkan rekod dalam jumlah Tawaran Awam Awal (IPO): 55 IPO pada 2024, mengumpul RM7.4 bilion (2023: 32 IPO)
  • Terbitan Bon & Sukuk: RM124.2 bilion dikumpul, dengan terbitan berkaitan kemampanan meningkat kepada RM13.3 bilion (2023: RM8.7 bilion).
  • Pasaran modal Islam (ICM): Meningkat sebanyak 8.5% kepada RM2.6 trilion, disokong oleh kenaikan sebanyak 7.1% dalam sukuk terkumpul dan pertumbuhan 3.6% dalam permodalan pasaran ekuiti patuh Syariah.
  • Pembiayaan alternatif untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS): RM4.1 bilion dikumpul melalui pembiayaan antara rakan setara (P2P), ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan modal teroka/ekuiti persendirian (VC/PE), mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam menyokong perniagaan kecil.
    • Modal Teroka/Ekuiti Persendirian (VC/PE) – RM1.5 bilion
    • Ekuiti pendanaan ramai (ECF) – RM97.6 juta
    • Pembiayaan antara rakan setara (P2P) – RM2.5 bilion

Minat pelabur dicerminkan dalam dagangan dan pertumbuhan pelaburan

  • Aktiviti dagangan yang kukuh, mencerminkan sentimen pelabur yang menggalakkan. Purata nilai dagangan harian meningkat kepada RM3.44 bilion pada tahun 2024 daripada RM2.29 bilion pada tahun sebelumnya.
  • Pertumbuhan pengurusan dana: AUM melepasi paras RM1 trilion didorong oleh prestasi pasaran ekuiti global yang kukuh.
  • Skim Persaraan Swasta (PRS): Nilai aset bersih meningkat sebanyak 18% tahun ke tahun kepada RM7.61 bilion.
  • AUM Pengurusan Pelaburan Digital (DIM) mencecah RM1.9 bilion, pertumbuhan lebih 500 kali ganda sejak penubuhannya pada tahun 2018.
  • Purata nilai dagangan harian Pertukaran Aset Digital (DAX) meningkat sebanyak 2.6 kali pada tahun 2024, mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam aset digital.

Inisiatif Pembangunan Pasaran Utama

  • Memperkenalkan Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal (SFO) di Forest City untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pengurusan kekayaan utama untuk pejabat keluarga.
  • Melancarkan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (NSRF) untuk mendorong penjajaran korporat dengan piawaian pendedahan kemampanan global.
  • Melancarkan pelan “Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028)” untuk meningkatkan akses pembiayaan kepada segmen utama ekonomi Malaysia ini.
  • Memendekkan masa ke pasaran untuk proses kelulusan IPO untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada syarikat dan memudahcarakan akses mereka kepada pasaran modal.
  • Memperkenalkan rangka kerja Penilaian Skop Fokus, mengurangkan masa ke pasaran daripada lebih enam bulan kepada tiga bulan.
  • Mendayakan inovasi yang lebih besar melalui Sandbox Pengawalselian, menyediakan persekitaran terkawal bagi menguji produk dan perkhidmatan inovatif yang tidak sepenuhnya sesuai dengan rangka kerja kawal selia sedia ada.

Integriti Pasaran dan Penguatkuasaan yang Dipertingkatkan

  • Tindakan Kawal Selia:
    • Satu sabitan jenayah.
    • RM9.87 juta penalti sivil dikenakan.
    • 125 sekatan pentadbiran dikenakan, mengakibatkan 62 denda dan penalti berjumlah RM13.72 juta.

  • Membanteras penipuan dan aktiviti tidak berlesen:
    • 4,859 aduan dan pertanyaan diterima, meningkat 49% daripada tahun 2023.
    • Selain itu, mengenal pasti 796 URL (2023: 569 URL) merentas pelbagai laman web dan platform media sosial untuk kemungkinan pelanggaran yang timbul daripada pengawasan proaktif yang dijalankan.
    • Intervensi, termasuk 273 kemasukan dalam Senarai Peringatan Pelabur, 153 laman web disekat dan 261 penyekatan media sosial

Empat Rencana Khas telah diterbitkan dalam Laporan Tahunan SC 2024:

  • Isu dan Cabaran Penuaan kepada Pasaran Modal
  • Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) Merangsang Pertumbuhan dan Meningkatkan Daya Saing PMKS
  • Perkembangan SCxSC: Memacu Inovasi untuk Pasaran Modal Mampan
  • Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Negara

Laporan Tahunan AOB 2024: Memperkukuh Pemantauan Audit

  • 42 firma audit dan 393 juruaudit individu berdaftar dan diiktiraf oleh AOB.
  • Memeriksa 40 tugasan audit yang diaudit oleh 40 juruaudit individu daripada 13 Firma Audit untuk memastikan pematuhan terhadap piawaian pengauditan dan etika.
  • AOB mengambil tiga tindakan penguatkuasaan terhadap dua firma audit dan empat rakan kongsi individu kerana melanggar piawaian pengauditan dan etika pada tahun 2024. Tindakan itu termasuk celaan, larangan dan penalti wang berjumlah RM275,000.
  • AOB dengan kerjasama MICPA, terus memperkukuh pembinaan kapasiti untuk juruaudit berdaftar melalui bengkel yang disasarkan.
  • AOB memberi subsidi kepada 100 akauntan daripada firma berdaftar AOB untuk Program Pensijilan Profesional GRI, yang dijalankan oleh SIDC pada Oktober 2024. Inisiatif ini, di samping penglibatan dan sesi teknikal yang berterusan, menunjukkan komitmen AOB untuk melengkapkan juruaudit dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menegakkan piawaian profesional yang tinggi dalam pelaporan kewangan dan jaminan kemampanan.
  • Memperkukuh tadbir urus korporat dalam PLC untuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit melalui penglibatan tetap dengan Jawatankuasa Audit PLC.


Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024: Ketahanan Pasaran ketika Ketidaktentuan Global

  • Pada tahun 2024, ketika prestasi yang memberangsangkan, pasaran modal Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran, termasuk pelarasan kadar faedah oleh bank pusat utama, turun naik dalam kadar pertukaran asing dan peningkatan risiko geopolitik. Walaupun menghadapi masalah global, pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur tanpa sebarang kebimbangan kestabilan sistemik yang diperhatikan.
  • Penampan Modal yang Mencukupi: Pengantara pasaran seperti broker dan pengurus dana mengekalkan kawalan pengurusan risiko yang teguh untuk menguruskan kedudukan risiko dan kecairan mereka. Ujian tekanan ke atas dana pelaburan juga mengesahkan daya tahan dana untuk menebus kejutan walaupun dalam senario yang melampau.
  • Pendapatan PLC yang bertambah baik: Pendapatan PLC yang kukuh, terutamanya disumbangkan oleh sektor tenaga, hartanah dan pembinaan, meningkatkan prestasi indeks dan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan positif perantara broker saham.
  • Fokus kepada keselamatan siber: Kajian bertema menekankan kepentingan daya tahan siber dan agar entiti pasaran modal bersedia menghadapi teknologi yang berkembang dan risiko siber, untuk mengekalkan kestabilan pasaran.


Melangkah ke Hadapan

Pada tahun 2025, SC akan terus mengukuhkan segmen pasaran utama sambil memperkukuh tingkah laku pasaran, tadbir urus dan kemampanan kewangan. Inisiatif utama termasuk:

  • Inisiatif Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) di bawah kepengerusian SC, termasuk taksonomi dan garis panduan berkaitan kemampanan, dan memuktamadkan Pelan Tindakan ACMF lima tahun 2026-2030.
  • Membangunkan Pelan Induk Pasaran Modal 4 (CMP4) untuk menyediakan visi jangka panjang untuk pasaran modal Malaysia. CMP4 bertujuan untuk memastikan pasaran modal Malaysia kekal berdaya saing dan berdaya tahan di tengah-tengah perubahan ekonomi, sosial dan teknologi.
  • Memberi fokus dalam memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam. Ini termasuk membangunkan penunjuk khusus bagi setiap prinsip Maqasid al-Shariah, bermula dengan pasaran ekuiti. Ini bagi menggalakkan inovasi produk Islam yang lebih tinggi dan seterusnya mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam.
  • Pada tahun 2025, Malaysia akan menjalani dua penilaian utama. Ini adalah Penilaian Bersama Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) dan Pengawasan Tadbir Urus Korporat (CG Watch) dwitahunan bagi rantau Asia Pasifik.
    • Fokus fungsi penyeliaan dan penguatkuasaan termasuk mengukuhkan penilaian risiko dalam sektor berisiko tinggi, menambah baik mekanisme pemantauan, meningkatkan langkah untuk mengesan dan mencegah pengubahan wang haram (ML) & pembiayaan keganasan (TF) dalam memastikan pematuhan kepada 40 Syor FATF.
    • Pengawasan CG dijangka akan dilaksanakan pada S4 2025 dan diterbitkan pada tahun 2026. Menjelang penilaian, SC dan pihak berkepentingan yang berkaitan akan melaksanakan intervensi yang diperlukan secara proaktif untuk menangani jurang yang dikenal pasti.

  • Mengkaji yuran untuk menyediakan persekitaran kawal selia dan pembangunan yang mampan yang menyokong pertumbuhan dan skop pasaran modal. Kajian semula itu, yang melibatkan perundingan meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan, disasarkan selesai pada 2025.

Untuk rujuk laporan ini, sila lawati:

  1. Laporan Tahunan SC 2024: https://www.sc.com.my/annual-report-2024/
  2. Laporan Tahunan AOB 2024: https://www.sc.com.my/annual-report-2024/audit-oversight
  3. Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024: https://www.sc.com.my/resources/cmsr/cmsr2024

    SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

    Badan-badan Bersekutu SC
    Pautan Berkaitan
    MENGENAI SC
    Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

    Talian Umum: +603-6204 8000
    E-mel Umum: [email protected]
    © Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
    Ooops!
    Generic Popup