Pada tahun 2025, pasaran modal Malaysia berkembang sebanyak 3.2% kepada rekod RM4.3 trilion berbanding RM4.2 trilion pada tahun 2024, disokong oleh terbitan bon korporat yang lebih tinggi dan peningkatan aliran masuk pengurusan dana.
AR2025 menyatakan bahawa prestasi keseluruhan tahun 2025 dicapai dikala ketidaktentuan pasaran global dan rintangan yang meningkat. Secara global, pasaran modal lebih lemah pada tahun 2025 disebabkan oleh pergeseran perdagangan global dan ketegangan geopolitik.
Nilai dagangan purata harian dalam pasaran ekuiti Malaysia adalah RM2.76 bilion pada tahun 2025, menurun 19.7% daripada RM3.44 bilion pada tahun 2024, disebabkan oleh sentimen pelabur yang berhati-hati.
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata pasaran modal Malaysia masih menunjukkan daya tahannya meskipun persekitaran yang tidak menentu.
“Keputusan bagi tahun 2025 mencerminkan kekuatan asas pasaran modal Malaysia. Dengan mengimbangi perkembangan pasaran sambil melindungi integriti pasaran, SC terus menyediakan persekitaran yang stabil dan inovatif untuk semua pihak berkepentingan,” katanya.
Dato’ Faiz berkata SC mengambil maklum mengenai pergolakan pasaran dikala ketidakpastian global, geopolitik dan gangguan teknologi.
“Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 yang berpandangan ke hadapan, SC optimis bahawa pasaran modal Malaysia akan terus berada di landasan yang betul dalam melaksanakan pembaharuan, meningkatkan daya saing dan keterangkuman pasaran, memperkukuh rangka kerja tadbir urus dan meningkatkan perlindungan pelabur,” katanya.