Pelabur Malaysia dinasihatkan agar berhati-hati dengan bilik sembang media sosial yang cuba mempengaruhi pelabur untuk membeli atau menjual saham tertentu berdasarkan spekulasi atau khabar angin. Pelabur juga harus berwaspada dengan perbincangan di bilik sembang media sosial ini yang boleh mencetuskan pelanggaran undang-undang sekuriti seperti
pemberian nasihat pelaburan atau cadangan saham tanpa lesen. Mana-mana individu yang didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Dinamik pasaran antara AS dan Malaysia adalah berbeza. Di Malaysia, Jualan Singkat yang Dikawal Selia (RSS) hanya diguna pakai kepada Sekuriti yang Diluluskan dalam senarai RSS, yang ketika ini mengandungi 218 sekuriti. Had juga dikenakan untuk mengelakkan aktiviti jualan singkat yang berlebihan.
Di samping itu, dagangan RSS menghendaki pelabur sama ada meminjam Sekuriti yang Diluluskan untuk dijual singkat atau mempunyai pengesahan untuk meminjam Sekuriti yang Diluluskan. RSS mesti dilakukan dalam akaun yang ditentukan di mana pesanan jual mesti dibuat pada harga tawaran terbaik atau lebih tinggi.
SC dan Bursa Malaysia menjalankan pemantauan masa nyata ke atas semua aktiviti dagangan untuk mengesan, menganalisis dan menangani kebimbangan terhadap dagangan dengan segera. Rangka kerja yang mantap tersedia bagi memastikan pasaran yang cekap, adil dan teratur. Sekiranya diperlukan, SC dan Bursa Malaysia akan mengambil langkah yang diperlukan untuk membendung amalan dagangan yang mengganggu dan menyalah guna pasaran.