SC Ambil Tindakan Penguatkuasaan terhadap Bybit kerana Mengendalikan DAX Secara Haram di Malaysia

Kuala Lumpur, 27 Disember 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mencela Bybit Technology Limited (yang sebelum ini dikenali sebagai Bybit Fintech Limited) (Bybit), dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ben Zhou (Yuchen Zhou), kerana mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di Malaysia tanpa pendaftaran.

Bybit dan Ben Zhou telah disenaraikan dalam Senarai Makluman Pelabur SC sejak Julai 2021.

Berikutan itu, SC telah mengarahkan Bybit untuk:

  1. menutup laman web dan aplikasi mudah alih Bybit atau mana-mana platform aplikasi digital lain di Malaysia dalam tempoh 14 hari perniagaan dari 11 Disember 2024;
  2. berhenti mengedar, menerbitkan atau menghantar sebarang iklan, sama ada dalam siaran media sosial atau sebaliknya, kepada pelabur Malaysia dengan serta-merta; dan
  3. segera menamatkan kumpulan sokongan Telegram Bybit untuk rakyat Malaysia.

Ben Zhou, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bybit, juga telah diarahkan untuk memastikan arahan di atas dipatuhi.

Keputusan ini dibuat selepas terdapat kebimbangan mengenai pematuhan platform tersebut terhadap keperluan kawal selia tempatan dan demi melindungi kepentingan pelabur. SC memandang serius pelanggaran ini, kerana mengendalikan DAX tanpa mendapatkan pendaftaran SC sebagai pengendali pasaran diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Sehingga kini, Bybit telah mematuhi semua arahan SC.

Pelabur diingatkan untuk melabur dan berurusan hanya dengan pengendali pasaran diiktiraf yang berdaftar dengan SC. RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia yang ketat dan dikehendaki mematuhi garis panduan yang ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

Mereka yang melabur dalam entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan oleh itu, terdedah kepada risiko seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Orang ramai harus memaklumkan SC jika mereka terjumpa mana-mana laman web yang mencurigakan atau menerima sebarang panggilan telefon atau e-mel yang tidak diminta yang menawarkan skim pelaburan yang tidak dibenarkan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang sedikit atau tiada.

Pertanyaan boleh dibuat kepada SC di talian: +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected]


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup