SC Beri Amaran kepada Pihak Awam mengenai Penipuan Pelaburan menggunakan Memorandum Maklumat Palsu

Kuala Lumpur, 6 September 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan baharu yang menggunakan Memorandum Maklumat (IM)1  palsu untuk mendapatkan pelaburan daripada orang ramai. Taktik ini mendakwa secara palsu bahawa IM tersebut telah diserah atau disahkan oleh SC.

Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), syarikat awam tidak tersenarai yang mengeluarkan IM untuk mengumpul dana dikehendaki menyerahkannya kepada SC dalam tempoh tujuh hari selepas terbitan kepada bakal pelabur. Walau bagaimanapun, penyerahan IM tidak dianggap sebagai pengesahan oleh SC.

Dalam kes ini, SC mendapati syarikat tersebut memberi gambaran kepada pelabur bahawa ia telah mengeluarkan IM yang kononnya diserahkan kepada SC, sekali gus mengelirukan pelabur dan memberikan kredibiliti kepada skim pelaburannya. SC ingin mengesahkan bahawa syarikat itu tidak menyerahkan sebarang IM kepada SC dan mengesyaki bahawa ia adalah sebahagian daripada penipuan pelaburan.

Tindakan segera telah diambil terhadap syarikat tersebut termasuk memfailkan laporan polis dan memasukkan syarikat itu dalam Senarai Makluman Pelabur SC di https://www.sc.com.my/investor-alert-list.

SC memandang serius perkara ini, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan orang ramai percaya bahawa SC menyokong dan meluluskan produk pelaburan berkaitan.

Pihak awam amat digalakkan untuk mengesahkan sebarang tawaran menggunakan nama SC atau mana-mana pegawainya, dan melaporkan perkara ini serta sebarang aktiviti atau maklumat pelaburan yang mencurigakan kepada SC. Ini akan membantu melindungi pelabur daripada potensi risiko dan membantu mereka dalam membuat keputusan pelaburan termaklum.

Orang ramai boleh mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker.

Untuk laporan atau pertanyaan, Pejabat Pengguna dan Pelabur SC boleh dihubungi di talian +603 6204 8999 atau melalui e-mel melalui [email protected].


  1. Memorandum Maklumat (IM) ialah dokumen penzahiran yang menggariskan maklumat penting seperti perniagaan syarikat, pandangan industri kewangan dan strategi pertumbuhan yang akan membantu pelabur dalam membuat keputusan pelaburan termaklum.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup