Bagi pertuduhan pertama, Arif dikenakan pertuduhan mengikut seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menyatakan dirinya sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Berhad dalam berurusan dalam sekuriti tanpa lesen. Jika sabit kesalahan, kesalahan ini boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Arif juga dikenakan pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA kerana menggunakan gelaran ‘perunding unit amanah’, yang memberi tanggapan bahawa dia dilesenkan untuk berurusan dalam sekuriti, sedangkan sebaliknya. Kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan didakwa berlaku pada tahun 2011 di Petaling Jaya dan Nilai.
Arif menuntut dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan di mahkamah berasingan. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Datin Sabariah binti Othman membenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan di bawah seksyen 59(1) CMSA. Selain itu, beliau juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.
Bagi pertuduhan di bawah seksyen 362(3) CMSA, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Tuan Azrul bin Darus turut membenarkan ikat jamin RM30,000 tetapi dengan dua penjamin. Arif juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan.
Urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA, dan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.
SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila menilai peluang pelaburan.
Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan / tidak berlesen.
Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di 03-6204 8999 atau e-mel:
[email protected].