SC Raikan Majlis Graduasi Kohort Kedua investED

Permohonan Kohort Ketiga Kini Dibuka

Kuala Lumpur, 24 April 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mencatatkan satu lagi kejayaan dalam usaha pembangunan bakat dengan pencapaian lebih 190 orang siswazah melengkapkan pusingan kedua Program Kepimpinan investEd.

Dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, inisiatif ini terus meraih momentum cemerlang sebagai inistiatif utama pasaran modal dalam memupuk bakat berkemahiran dan mampan untuk industri.

Diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023, program siswazah ini direka untuk memantapkan kebolehpasaran siswazah lulusan tempatan dalam pelbagai bidang.

Ia turut menyaksikan kerjasama julung kalinya antara SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, industri pasaran modal dan universiti – mencerminkan komitmen bersama dalam mengukuhkan modal insan dan tenaga kerja masa hadapan negara.

Dalam tempoh hanya dua tahun, program Kepimpinan investEd telah melatih seramai 368 siswazah muda menerusi usaha sama dengan rakan industri dan universiti. Daripada jumlah ini, 233 siswazah telah mendapat pekerjaan.

Kohort kedua program Kepimpinan investEd, yang bermula Ogos 2024, menerima sebanyak 1,200 permohonan. Setelah melalui pembelajaran dalam kelas selama sebulan di Asia School of Business, peserta terpilih turut diberi pengalaman penempatan kerja di pelbagai firma pasaran modal selama enam bulan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, investED bukan sekadar program latihan, ia penyambung pembelajaran dalam kelas dengan pembinaan kerjaya.

“Selain melengkapi bakat muda dengan kemahiran, program ini juga membina keyakinan, memacu perkembangan industri, dan memupuk generasi baru profesional dalam pasaran modal Malaysia,” tambah beliau.

SC kini mengalu-alukan permohonan untuk kohort ketiga program Kepimpinan investED, yang dibuka sehingga 30 Jun 2025. Selain berpotensi memulakan kerjaya dalam industri pasaran modal, pelatih juga menerima elaun bulanan sebanyak RM2,400 sepanjang tempoh latihan.

Sementara itu, Program Asasi investED yang diuruskan oleh badan pembelajaran SC, Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) turut mencatatkan kemajuan berterusan. Tahun lepas, program ini disertai lebih 1,000 pelajar, melebihi sasaran tahunan iaitu 800 orang sebanyak 25%.

Tambahan, investED telah mengadakan 44 taklimat kerjaya dan 13 karnival kerjaya di seluruh negara, melibatkan lebih 110,600 pelajar sepanjang tempoh dua tahun yang lalu. Daripada jumlah ini, 13,500 orang pelajar telah terlibat dalam taklimat kerjaya, melangkaui sasaran tiga tahun iaitu 9,000 orang dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Untuk maklumat lanjut, layari www.invested.my.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup