Istanbul, Türkiye, 4 Jun 2026
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Universiti Ibn Haldun (IHU)1 Türkiye telah menjalinkan kerjasama strategik bagi mempromosikan kewangan beretika yang sejajar dengan Maqasid al-Syariah di peringkat global.
Kerjasama ini akan membantu mengukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai peneraju dalam kewangan Islam. Di Malaysia, ICM menyumbang sebanyak 64% daripada keseluruhan pasaran modal Malaysia, yang berkembang sebanyak 3.2% kepada AS$1.1 trilion (RM4.3 trilion) pada tahun 2025.
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz berkata, "Kerjasama dengan IHU ini merupakan titik penting dalam usaha untuk memperjuangkan kewangan beretika sejajar Maqasid di pentas global. Ia menggabungkan pandangan jauh kawal selia dengan ketelitian akademik untuk memajukan ekosistem kewangan yang mengutamakan kemakmuran bersama, kemampanan dan integriti etika.”
Beliau berkata hasil utama yang dirancang daripada perkongsian strategik ini, antara lain, termasuk penubuhan pasukan petugas bersama untuk menyelia inisiatif kerjasama, penyampaian meja bulat global mengenai kewangan beretika yang berlandaskan Maqasid al-Syariah dan penerbitan laporan bersama secara tahunan.
Presiden Universiti Ibn Haldun, Prof. Dr. Atilla Arkan berkata, “Kerjasama dengan SC ini akan mewujudkan peluang baharu untuk pertukaran intelektual, terutamanya dalam kepimpinan pemikiran global yang berlandaskan kewangan beretika sejajar Maqasid, sambil mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Türkiye.”
Di samping itu, MoU tersebut memacu visi Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia 2026–2030 (Pelan Induk) untuk memperkukuhkan kepimpinan negara dalam kewangan Islam melalui peningkatan pembinaan kapasiti, penyelidikan dan kerjasama rentas sempadan antara pengawal selia dan ahli akademik.
Pelan Induk yang berlandaskan empat tema hasil - Kerancakan, Keterangkuman, Kemampanan dan Peluang Serantau, seterusnya menyokong penggunaan prinsip Maqasid al-Syariah sebagai ‘kompas etika’.
MOU ini juga menyokong usaha pengantarabangsaan SC yang lebih luas, bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi global untuk kewangan Islam dan beretika.
Untuk tujuan itu, SC telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan utama di Türkiye, termasuk wakil daripada sektor kewangan Islam, badan pengawalseliaan dan penyeliaan.
1Universiti Ibn Haldun (IHU) merupakan sebuah universiti asasi yang berfokuskan penyelidikan yang terkemuka dan terletak di Istanbul, Türkiye. Ditubuhkan pada tahun 2015 oleh Yayasan Perkhidmatan Belia dan Pendidikan Türkiye (TÜRGEV), ia mengkhusus hampir secara eksklusif dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.