Ucapan Alu-Aluan di Pelancaran Program Graduan Pasaran Modal

Speaker: Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Chairman, Securities Commission Malaysia
Lokasi: Securities Commission Malaysia
Delivered: 19 Jun 2023


Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan

Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi

Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan 1

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri

Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi

Naib-naib Chanselor Universiti

Kepimpinan dan wakil-wakil industri pasaran modal

Para Pemimpin Pelajar (MPP), Graduan dan Mahasiswa

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera


1. Terlebih dahulu kita panjatkan rasa syukur kehadarat Allah SWT kerana dengan izinnya kita dapat berhimpun beramai-ramai pada hari ini, untuk menyaksikan pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) yang akan dilaksanakan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

2. Sesungguhnya seluruh warga SC merasa bangga dan bertuah kerana YAB Dato’ Seri memilih untuk melancarkan program ini di bangunan SC sendiri, walaupun pada awalnya kami mencadangkan ianya diadakan di hotel ataupun pusat konvensyen.

3. Ini jelas menunjukkan keperihatinan berterusan YAB Dato’ Seri untuk menjimatkan perbelanjaan, terutamanya oleh institusi awam, semoga perbelanjaan dapat ditumpukan kepada pengisian program, demi kepentingan peserta dan masyarakat.

4. Pilihan YAB Dato’ Seri untuk datang ke SC pada pagi ini juga menepati janji YAB kepada saya dalam mesyuarat post-cabinet (pasca kabinet), sebaik saja YAB memegang jawatan Menteri Kewangan, untuk datang melawat SC memandangkan SC adalah sebuah organisasi penting di bawah Kementerian Kewangan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian

5. Lawatan YAB Dato’ Seri pada hari ini lebih-lebih lagi signifikan dan bersejarah, kerana lawatan beliau sebelum ini sudah bergitu lama dahulu. Pada tahun 1996, YAB Dato’ Seri datang ke sini untuk meletakkan batu asas pembinaan Bangunan SC. Bangunan in sudah pun lama siap, malangnya baru kini YAB Dato’ Seri dapat melihatnya dari dekat. Memang sewajarnyalah yang memulakanya datang melihat hasil usahanya, sebagai sebuah bangunan yang agak ikonik, di mana keindahan dan kehijauan suasana sekeliling dapat kita nikmati pada pagi ini. Ia sering juga mendapat perhatian dan pujian pengunjung dari luar negara, khususnya dari kalangan pencinta alam sekitar. Tambah-tambah lagi dimasa kesedaran mengenai sustainability dan kelestarian semakin memuncak.

6. Sesungguhnya jika dihitung, 26 tahun telah berlalu sejak YAB Dato’ Seri melawat SC. SC sendiri telah menjangkau usia 30 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1993. Sehubungan itu, SC dan pasaran modal sedang merancang untuk megadakan majlis makan malam untuk mensyukuri dan menyambut ulang tahun SC yang ke 30. Sudilah kiranya YAB Dato’ Seri dapat bersama kita sekali lagi, mengikut kesesuaian masa YAB Dato’ Seri, untuk meraikan majlis ulang tahun tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan

7. Sepanjang 30 tahun yang lepas, banyak kejayaan telah dicipta oleh SC dan pasaran modal. Saiz pasaran modal telah berkembang sebanyak 5.3 kali ganda, daripada RM0.7 trillion pada 1993 kepada RM3.6 trillion pada April 2023. Bilangan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia juga telah meningkat sebanyak 2.4 kali ganda kepada hampir 1,000 buah syarikat berbanding sebanyak 413 buah syarikat pada tahun 1993. Malaysia juga kekal unggul dalam kewangan Islam.

8. Pada masa yang sama, pelbagai cabaran dan dugaan juga telah dilalui oleh SC dan pasaran modal dalam jangkamasa tersebut. Kejatuhan mendadak pasaran saham dan kegagalan banyak syarikat tersenarai, serta peserta pasaran modal, akibat krisis kewangan Asia, menuntut tindakan tegas dan perubahan ketara dibuat oleh SC dan Kerajaan, untuk menjadikan pasaran modal lebih resilient dan berdaya saing. Tumpuan membangun pasaran bond korporat, kini terbesar di ASEAN sebagai peratusan GDP, supaya syarikat tidak terlalu bergantung kepada pinjaman bank, serta pemerkasaan tadbir urus korporat (corporate governance) ke tahap diantara terbaik di Asia, adalah antara langkah-langkah penting yang telah diambil ekoran krisis kewangan Asia. Kini perubahan persekitaran ekonomi dunia post-Covid, terdorong sebahagian besarnya oleh dasar kewangan melonjatkan kadar faedah di negara Barat, serta konflik geo-politik yang berterusan, telah memberi kesan negetif terhadap prestasi semasa pasaran modal Negara. Kita harus bangkit bersama sekali lagi, seperti dibuat sebelumnya, untuk menangani cabaran ini.

9. Justeru, kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian YAB Dato’ Seri untuk bertemu dan berdialog dengan wakil-wakil industri pasaran modal untuk meneroka langkah-langkah yang sesuai diambil. Walaupun dialog tersebut mulanya dijadualkan pagi ini, YAB Dato’ Seri telah bersetuju untuk kembali mengadakannya dalam masa yang terdekat. Kami yakin YAB Dato’ Seri akan memberi pertimbangan yang wajar kepada isu-isu dan cadangan yang akan diketengahkan nanti, untuk memberi suntikan dan kekuatan baru kepada pasaran modal dan ekonomi Negara keseluruhanya.


10. Selain daripada itu, salah satu cabaran yang telah lama dihadapi oleh pasaran modal adalah kekurangan tenaga mahir untuk memenuhi pelbagai jawatan kritikal dalam perbagai sektor. Dalam sesetengah industri, defisit tenaga mahir dianggarkan kurang lebih 30 hingga 40%. Rupanya, manakala terdapat ramai graduan yang masih mencari-cari pekerjaan, pada masa yang sama pula terdapat kekurangan tenaga mahir yang getir dalam pasaran. Seolah-olah ada supply and demand mismatch. Adalah dirasakan penting bantuan “last mile” perlu diberikan kepada graduan untuk mengurangkan mismatch ini. Atas kesedaran inilah program CMGP diilhamkan semoga ianya boleh menjadi jambatan antara graduan dan pasaran modal.

11. Program CMGP yang mengembeling kerjasama dan kolaborasi antara institusi pasaran modal dan universiti di Malaysia, akan membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal. Sekaligus dapat mengurangkan defisit bakat (talent deficit) dan mempertingkatkan kebolehpasaran graduan (graduate employability). Sebanyak RM30 juta telah diperuntukan daripada tabung Capital Market Development Fund (CMDF) untuk tempoh 3 tahun, dengan menyediakan latihan tambahan kepada 9,000 bakal graduan, serta program penempatan berbayar kepada mereka yang berjaya dipilih.


12. Saya berterima kasih kepada wakil-wakil industri pasaran modal, kerana menyambut baik penyediaan program CMGP ini dan menyokong perlaksanaannya melalui peruntukan CMDF. Pihak SC juga ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri yang telah meluluskan perlaksanaan CMGP dan mengumumkannya semasa pembentangan Bajet 2023. Tidak lupa juga terima kasih kami kepada YB Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi, di atas sokongan dan persetujuan beliau untuk melibatkan KPT dan Universiti secara menyeluruh. Sebagai memperkukuhkan ikatan kerjasama dan menjamin perlaksanaan CMGP secara lancar, satu MOU telahpun ditandatangani pada 10hb April antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Suruhanjaya Sekuriti. Ini telah disaksikan sendiri oleh YB Datuk Seri Menteri KPT. Terima kasih YB Datuk Seri Menteri serta seluruh warga KPT.

13. Akhir sekali, terima kasih saya kepada semua pihak yang turut membantu, Datuk KSP serta Timbalan-Timbalan KSP, Ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu CMGP, Naib-Naib Chanselor Universiti, rakan-rakan di SC , serta pemimpin dan wakil-wakil industri pasaran modal, bersama para MPP dan mahasiswa mahasiswi, yang hadir beramai-ramai pada hari ini. Sudah tentunya kehadiran mereka akan menyuntik semangat dan menjadi pemangkin kepada usaha murni ini. Biarlah mereka semua turut mengiringi doa semoga pelancaran CMGP medapat keberkatan, dan pelaksanaannya nanti mendapat kejayaan, sepertimana dirancang dan diidamkan.


Sekian, terima kasih. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup