Ucapan Khas Majlis Permulaan Invested Leadership Programme
Speaker: YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi
Location: Main Auditorium - Asia Business School Kuala Lumpur
Delivered: 7 Ogos 2023

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

SALUTASI

(Salutasi disediakan secara berasingan. Akan dikemas kini berdasarkan pengesahan kehadiran)

PENDAHULUAN

  1. Syukur alhamdulillah kehadrat Allah s.w.t, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita bersama-sama berhimpun di Majlis Permulaan Program  Kepimpinan InvestED.

  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis pada pagi ini terutamanya kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang telah bergabung tenaga dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Jabatan Pendidikan Tinggi dalam menjayakan program ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

PELAKSANAAN PROGRAM INVESTED
Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Program InvestED merupakan satu usahasama awam-swasta yang melibatkan universiti dan industri. Umum mengetahui bahawa universiti merupakan gedung ilmu terunggul untuk menimba pengetahuan serta melahirkan bakat yang diperlukan oleh negara. Dalam hubungan ini, salah satu input daripada industri amat penting dalam memastikan kursus-kursus yang ditawarkan kekal relevan dan mengikut keperluan semasa. Oleh kerana itu, kolaborasi antara kedua-dua pihak amat penting.
  2. Mismatch’ merupakan satu isu yang sering diketengahkan bila kita membicarakan mengenai bekalan dan permintaan tenaga mahir. Graduan disebut tidak memenuhi keperluan industri apabila mereka ingin memulakan langkah ke alam pekerjaan. Justeru, apa yang diperlukan adalah program kolaborasi ‘last mile’ untuk memadankan pembekal dengan pengguna tenaga mahir bagi merapatkan jurang keperluan industri.
  3. Oleh itu, saya berterima kasih kepada SC dan industri pasaran modal di atas kesudian mereka untuk melaksanakan program ini. Di kesempatan ini, saya amat berbesar hati untuk menyampaikan iltizam KPT serta menyeru semua universiti yang terlibat, untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjamin kejayaan program ini.
  4. Kolaborasi ini merupakan satu program berskala besar yang pertama kali dianjurkan oleh pasaran modal dan melibatkan 9,000 orang graduan. Semoga pelaksanaan program ini memperoleh kejayaan dan menjadi satu contoh yang boleh diikuti oleh industri-industri lain. Kami di Kementerian mengalu-alukan usahasama seperti ini dengan sektor-sektor lain untuk memenuhi keperluan tenaga kerja industri dan negara yang kian meningkat.

FAEDAH INVESTED UNTUK GRADUAN DAN UNIVERSITI
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Saya difahamkan bahawa InvestED akan melibatkan pemain industri pasaran modal dan peserta program ini untuk turun padang ke universiti-universiti bagi memberi ‘career talk’ semasa karnival kerjaya atau ‘career fair’ untuk memberi pendedahan dan galakkan kepada pelajar-pelajar lain menyertai industri pasaran modal. Dalam jangka masa panjang, diharapkan perkara ini dapat menghasilkan lebih ramai pelajar yang berminat untuk memasuki industri pasaran modal.
  2. Di samping itu, program seperti InvestED juga membantu para graduan untuk memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan, serta mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan. Saya juga percaya ini adalah satu peluang keemasan kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk menceburi bidang kewangan yang merupakan subsektor perkhidmatan ketiga terbesar di Malaysia. Tambahan lagi, penglibatan syarikat swasta dan komersil dalam program ini akan memberi galakan kepada para siswazah kita untuk memantapkan potensi diri agar berpeluang bekerja dalam pasaran modal Malaysia.
  3. Saya yakin, pelaksanaan InvestED mampu memberikan kesan yang jauh lebih besar. Program ini hanya permulaan. Jika keberkesanannya dapat dilihat, universiti-universiti boleh mengguna pakai modul berstruktur InvestED yang bersesuaian untuk menjadi sebahagian daripada kursus yang ditawarkan. Kandungan modul yang memenuhi keperluan spesifik industri akan menguatkan lagi kurikulum universiti. Untuk meluaskan capaian modul ini, saya mencadangkan agar kursus-kursus pasaran modal dimuat naik dan boleh dipelajari secara maya juga.

MELAHIRKAN GRADUAN YANG BERDAYA TAHAN
Saudara dan saudari siswazah yang saya kasihi,

  1. Saban hari teknologi kian maju kehadapan dan industri turut berubah dengan pantas. Perkara ini akan menyebabkan pasaran kerjaya graduan pada masa hadapan menjadi lebih mencabar. Oleh yang demikian, graduan perlulah menyediakan diri mereka dengan ilmu pengetahuan, ‘in-demand skills’ serta sifat resilient atau daya tahan yang tinggi. Usah takut untuk mengambil risiko dan rebutlah peluang keemasan yang ada. Peluang untuk menyertai pasaran modal Malaysia bukan mudah dan industri ini mempunyai potensi besar yang mampu menjanjikan peluang kerjaya yang menarik dan lumayan kepada para graduan.
  2. Jadi, saya menyeru kepada semua pelajar yang ada di dalam dewan ini untuk tidak mensia-siakan peluang ini dengan terus meningkatkan kemahiran diri, menambah pengetahuan, membina rangkaian serta mengejar tawaran pekerjaan dalam pasaran modal.
  3. Seperti ungkapan bestari:

“All growth starts at the end of your comfort zone.”
“Be adaptable, flexible and never stop learning. The rate of change will never stop and neither should you.”

PENUTUP BICARA
Para hadirin sekalian,

  1. Hakikatnya, pelaksanaan program sebegini memerlukan paduan dan gabungan tenaga semua pihak. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Justeru, kerjasama yang utuh daripada semua pihak sama ada industri, universiti, media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya amat diperlukan bagi membentuk sinergi mantap dalam menempatkan graduan ke pasaran pekerjaan, khususnya untuk pasaran modal.
  2. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, serta industri pasaran modal atas usaha mereka untuk memastikan kebolehpasaran graduan kita. Terima kasih banyak-banyak atas kerjasama yang diberikan. Semoga pelancaran dan pelaksanaan Program InvestED ini diberikan keberkatan dan dijamin kejayaannya. Inshaa Allah.

Deruan rintik penanda rahmat,
Temani perwira menghapus petualang,
Graduan holistik dan seimbang menjadi azimat,
Madani negara bangsa terbilang.
Dini melintang menjadi sendal,
Menutupi dari alunan paluan,
Kini terbentang pasaran modal,
Lengkapi diri gemilangkan graduan.

  1. Dengan ini, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim merasmikan Majlis Permulaan Program Kepimpinan InvestED pada kali ini.

Sekian.

Wabillahitaufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup