Memperluas Pasaran Modal Islam

SC terus memperkukuh cadangan nilai ICM dengan meluaskan akses kepada pembiayaan patuh Syariah, menanamkan dorongan yang lebih besar bagi kewangan sosial Islam, dan menggalakkan pertumbuhan fintech Islam.

  • Meningkatkan Akses kepada Pembiayaan Patuh Syariah

    Memudahcarakan pembiayaan patuh Syariah untuk PMKS tidak tersenarai

    Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memudahcara ekosistem pendanaan yang kondusif dalam ICM dan untuk memajukan saluran pembiayaan berasaskan pasaran bagi menyokong ekonomi Halal, SC memperkenalkan Kit Penilaian Penyaringan Syariah bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Tidak Tersenarai (Kit Penilaian). Kit Penilaian tersebut menyediakan panduan dalam menapis status Syariah PMKS tidak tersenarai bagi antara lain, pengendali platform ECF dan pembiayaan P2P dan penasihat Syariah.

    Dengan pelancaran Set Kit tersebut, adalah dijangka bahawa PMKS tidak tersenarai akan mempunyai pilihan yang lebih besar untuk mengakses pembiayaan patuh Syariah melalui platform ECF dan P2P. Pada masa yang sama, ia juga membuka lebih banyak peluang kepada pelabur untuk memiliki lebih banyak portfolio pelaburan patuh Syariah dalam semua kelas aset dan sektor ekonomi.

    Kit Penilaian tersebut terdiri daripada satu siri soalan penilaian berdasarkan metodologi penyaringan Syariah untuk PMKS tidak tersenarai, yang mendapat pengesahan Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC.

    Metodologi penyaringan Syariah menggunakan pendekatan kuantitatif dua peringkat dalam menentukan status Syariah PMKS tidak tersenarai.
    (Rajah 1)


    RAJAH 1: METODOLOGI PENYARINGAN SYARIAH BAGI PMKS TIDAK TERSENARAI

    Penanda Aras Aktiviti Perniagaan

    Sumbangan aktiviti tidak patuh Syariah kepada hasil dan keuntungan sebelum cukai hendaklah dikira dan dibandingkan dengan kedua-dua penanda aras aktiviti perniagaan yang berkaitan, yang mestilah kurang daripada penanda aras berikut

    5%

    Penanda aras

    20%

    Penanda aras

    Penanda Aras Nisbah Kewangan 

    Tunai ke atas jumlah aset

    Tunai termasuk hanya wang tunai yang diletakkan dalam akaun dan instrumen konvensional. Untuk diklasifikasikan sebagai patuh Syariah, nisbah ini mestilah kurang daripada 33%.

    Hutang ke atas jumlah aset

    Hutang termasuk hanya hutang berfaedah. Untuk diklasifikasikan sebagai patuh Syariah, nisbah ini mestilah kurang daripada 49%.

    Kit Penilaian tersebut dilancarkan ketika Forum SCHDC 2021 yang julung kali diadakan, bertemakan ‘Menggalakkan Pertumbuhan melalui Pasaran Modal Islam’ pada 5 Ogos 2021, untuk meningkatkan kesedaran mengenai pembiayaan dana berasaskan pasaran patuh Syariah untuk PMKS.

    Meningkatkan penawaran patuh Syariah melalui pasaran ECF dan pembiayaan P2P

    Pasaran ECF dan pembiayaan P2P Islam terus menyediakan PMKS dengan pilihan alternatif dan berdaya maju bagi pembiayaan patuh Syariah. Jumlah yang diperolehi melalui pasaran pembiayaan ECF Islam dan P2P meningkat dengan ketara pada 2021 kepada RM225.9 juta (2020: RM1.5 juta), dan memanfaatkan 136 PMKS.

    Seterusnya, setakat 31 Disember 2021, bilangan pengendali platform dengan pilihan untuk menawarkan pembiayaan patuh Syarikah kepada pelbagai segmen PMKS telah meningkat kepada tujuh, berbanding lima pada tahun sebelumnya.

  • Program Pemecutan Fintech Islam FIKRA

    FIKRA merupakan inisiatif bersama SC dan Dana Pembangunan Modal PBB (UNCDF). Objektif FIKRA adalah untuk mempertingkatkan lagi ekosistem ICM dengan mengenal pasti dan menskalakan penyelesaian fintech yang inovatif di Malaysia. FIKRA menghubungkan syarikat peringkat permulaan yang inovatif melalui persekitaran kolaboratif bagi mentor, pelabur dan penggiat industri, bersama-sama dengan panduan kawal selia yang berkaitan, terutamanya melalui program pemecutan selama tiga bulan. FIKRA juga memberi tumpuan untuk membantu meletakkan ICM sebagai segmen yang menarik untuk membina kerjaya dengan mewujudkan saluran bakat melalui peningkatan kesedaran tentang peluang dalam fintech Islam.


  • Memacu Kewangan Sosial Islam

    Menggalakkan kewangan sosial Islam melalui Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf

    Pelancaran Rangka Kerja Dana bercirikan Wakaf (WQ-FF) pada November 2020 telah memudah cara penawaran dana unit amanah dan dana borong dengan ciri-ciri wakaf yang menyepadukan objektif komersial dan sosial. Pelabur berpeluang untuk melabur dan mengambil bahagian dalam produk yang boleh memberikan manfaat yang mampan kepada masyarakat. Setakat 31 Disember 2021, empat dana telah diterbitkan di bawah WQ-FF.

    Melanjutkan kepimpinan pemikiran melalui Sidang Meja Bulat SC-OCIS

    Sidang Meja Bulat tahunan SC dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) (Meja Bulat) disasarkan untuk melanjutkan kepimpinan pemikiran global dalam kewangan Islam. Sejak penubuhannya pada 2010, Meja Bulat terus merangsang perbincangan dan wacana mengenai kewangan Islam untuk memudah cara agenda pembangunan ICM.

    Meja Bulat SC-OCIS kali ke-12 telah dianjurkan secara maya pada 23-24 September 2021, dengan tema ‘Transforming Islamic Finance through Impact Finance and Social Agenda Based on Maqasid Al-Shariah’, Meja Bulat itu disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak dan Penaung Diraja Inisiatif Kewangan Islam Malaysia yang menyampaikan ucap utama khas.

    Dihadiri oleh sekumpulan 60 perwakilan terpilih dari seluruh dunia, wacana itu berkisar tentang keperluan untuk kontrak sosial baharu dan bagaimana kewangan Islam boleh menjadi mercu tanda untuk meletakkan asas bagi sistem berasaskan pasaran baharu yang seimbang dan objektif sosial yang lebih besar. Perbincangan itu juga mendalami Perindustrian Keempat Revolusi, bagaimana inovasi dalam sains dan teknologi mampu mengimbangi ekonomi berasaskan hutang dan memacu penyelesaian pembiayaan yang lebih baik dalam mencapai nilai-nilai murni dan nilai teras kewangan Islam.
  • Memperkukuh Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah

    Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah, SC telah menyemak semula Guidelines for Shariah Advisers (Garis Panduan Penasihat Syariah), bertujuan untuk memastikan rangka kerja tersebut kekal adaptif untuk menangani perkembangan pasaran.Rangka kerja yang disemak semula itu, antara lain, memerlukan Penasihat Syariah untuk menambah ilmu dan kepakaran dalam perkembangan pasaran modal, bagi membolehkan mereka melaksanakan peranan dan tanggungjawab secara lebih holistik.

    Setakat 31 Disember 2021, 81 orang penasihat Syariah, termasuk individu dan syarikat didaftarkan dengan SC.
  • Usaha Berterusan untuk Membangunkan Kepimpinan Pemikiran dan Keupayaan

    Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam

    Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam (Anugerah Diraja) diwujudkan pada 2010 sebagai inisiatif bersama SC dan BNM untuk mengiktiraf individu yang cemerlang dan menginspirasi yang telah memberi sumbangan besar kepada kemajuan industri perkhidmatan kewangan Islam.

    Pencalonan global untuk Anugerah Diraja 2021 dibuka pada Disember 2021 dan berakhir pada Mac 2022 dengan pengenalan dua kategori baharu untuk menggalakkan lagi pembangunan kewangan Islam di peringkat global, iaitu Anugerah Pemimpin Baru Muncul dan Anugerah Cabaran Impak. Kategori baharu itu akan mengiktiraf bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada kemajuan kewangan Islam dan idea serta penyelesaian inovatif yang membolehkan dan memperkasakan komuniti yang terjejas di seluruh dunia.
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami | Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup