Perkembangan Pasaran Modal Malaysia Pada 2021

Ekonomi Malaysia tetap berada di landasan pemulihan pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, kemerosotan situasi COVID-19 domestik pada pertengahan 2021 melambatkan pemulihan menyeluruh dalam aktiviti ekonomi. KDNK sebenar menguncup ke paras terendahnya pada suku ketiga 2021 di tengah-tengah pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan virus yang ketat.

Seiring dengan kemajuan pesat dalam program vaksinasi, penurunan kes baharu virus, dan pelonggaran sekatan pergerakan secara beransur-ansur, pertumbuhan bagaimanapun pulih semula menjelang akhir 2021. Bagi tahun 2021, KDNK sebenar berkembang 3.1%, disokong oleh permintaan luar yang kukuh dan perbelanjaan sektor awam yang berterusan.

Carta 3

Ekonomi Malaysia terus beransur pulih pada 2021, tetapi pemulihan menyeluruh terganggu oleh situasi COVID-19 domestik yang semakin memburuk pada pertengahan tahun

KDNK sebenar dan Inflasi sejak 2020
Kes COVID-19 baharu dan trend mobiliti*
Nota: * Trend mobiliti diwakili oleh bilangan daftar masuk bagi semua lokasi di seluruh negara yang didaftarkan dalam MySejahtera.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, pengiraan SC.

Pasaran Modal Domestik Terus Menyokong Ekonomi Sebenar

Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan dan teratur sepanjang 2021 di tengah-tengah persekitaran global dan domestik yang agak mencabar. Ia terus memainkan peranan asasnya dalam membiayai ekonomi domestik dan menggerakkan tabungan.

Jumlah dana yang dikumpulkan dalam pasaran modal kekal kukuh, meningkat kepada RM130.9 bilion pada 2021 (2020: RM114.6 bilion) dan melebihi purata 5 tahun prapandemik sebanyak RM121.4 bilion, di mana RM16.6 bilion daripada jumlah tersebut dikumpulkan melalui pasaran ekuiti,1 manakala RM114.3 bilion dikumpulkan melalui pasaran bon korporat. Sementara itu, saluran pembiayaan alternatif3 melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P) terus menarik minat, terutamanya dalam menyokong keperluan pembiayaan PMKS.

Industri pengurusan dana juga terus berkembang pada 2021, dengan AUM berjumlah RM951.1 billion (2020: RM905.5 billion). Ini mencerminkan peningkatan kepelbagaian aset kewangan dalam pasaran domestik dan asing, di mana unit amanah3 kekal sebagai sumber dana terbesar bagi AUM. Secara keseluruhannya, saiz pasaran modal meningkat kepada RM3.5 trilion pada 2021 (2020: RM3.4 trilion).

carta 4

Di sebalik persekitaran yang mencabar, pasaran modal terus menyokong ekonomi dengan pertumbuhan kukuh dalam pengumpulan dana dan AUM bagi industri pengurusan dana.

Saiz pasaran modal Malaysia
Jumlah dana dikumpulkan melalui pasaran modal
Jumlah AUM
Sumber: Bursa Malaysia, pengiraan SC.

  1. Dalam pasaran ekuiti, RM2.3 bilion berjaya dikumpulkan melalui 29 tawaran awam awal (IPO) dan RM14.3 bilion melalui pengumpulan dana sekunder. Empat daripada IPO telah dilaksanakan secara pengenalan dan tidak melibatkan sebarang usaha pengumpulan dana. 
  2. Dana yang dikumpulkan melalui ECF dan pembiayaan P2P meningkat kepada RM1.4 bilion pada 2021 (2020: RM640.4 juta). 
  3. Nilai aset bersih keseluruhan (NAV) sebanyak RM526.9 bilion (2020: RM519.5 bilion).

Pasaran ekuiti domestik terkesan oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik. Permodalan pasaran keseluruhan Bursa Malaysia dan FBMKLCI masing-masing menyederhana kepada RM1.79 trilion dan RM1.04 trilion pada 2021 (2020: masing-masing RM1.82 trilion dan RM1.06 trilion). Indeks FBMKLCI turut merosot sebanyak -3.7% dan mengakhiri tahun 2021 pada 1,567.5 mata. Namun begitu, sentimen dalam pasaran ekuiti domestik kekal memihak kepada syarikat berkaitan FBM Small Cap, memandangkan prestasi cemerlang mereka yang berterusan pada tahun berkenaan. Dari segi penyertaan dagangan, institusi tempatan merupakan penjual bersih dengan jumlah sebanyak -RM9.1 bilion pada 2021, manakala jualan bersih oleh bukan pemastautin menyusut kepada -RM3.1 bilion (2020: -RM24.6 bilion). Seiring dengan itu, pembelian bersih yang dilakukan oleh pelabur runcit tempatan meningkat kepada RM12.2 bilion. Maka kadar penyertaan bagi pelabur runcit adalah lebih tinggi pada 2021, meningkat kepada purata 34.6% dari segi nilai yang didagangkan.

Dalam pasaran bon Malaysia, jumlah bon belum tebus meningkat kepada RM1.7 trilion pada 2021 daripada RM1.6 trilion pada 2020, mencerminkan tahap pengumpulan dana hutang yang lebih tinggi. Keseluruhan keluk hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) secara amnya beralih ke aras yang lebih tinggi, diterajui oleh tempoh matang jangka sederhana hingga panjang, sejajar dengan peningkatan umum dalam hasil bon global di tengah-tengah jangkaan inflasi global yang lebih tinggi dan prospek normalisasi dasar monetari global yang lebih pantas. Sementara itu, spred antara bon korporat dan MGS secara amnya mengecil dalam semua tempoh matang, menunjukkan keyakinan yang lebih baik terhadap prospek pertumbuhan ekonomi domestik terutamanya menjelang akhir tahun. Pasaran bon domestik juga menyaksikan peningkatan minat pelabur asing, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM33.6 bilion pada 2021 (2020: RM18.3 bilion), jumlah tertinggi sejak 2012.

Untuk maklumat lanjut mengenai prestasi suku tahun, sila rujuk kepada Laporan Suku Tahun SC: Rangkuman Pasaran.

carta 5

Pasaran ekuiti domestik terkesan oleh kekangan berterusan di peringkat global dan domestik

Prestasi Bursa Malaysia sejak 2020*
Penyertaan dagangan pasaran kumulatif (belian/jualan bersih)

Nota: * FBMKLCI terdiri daripada 30 syarikat terbesar diukur mengikut permodalan pasaran penuh dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS; FBM Small Cap terdiri daripada semua konstituen Indeks FTSE Bursa Malaysia EMAS yang bukan konstituen Indeks FTSE Bursa Malaysia Top 100; FBM ACE terdiri daripada semua syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE.

Sumber: Bloomberg, Bursa Malaysia, pengiraan SC.

Carta 6

Hasil bon MGS mengalami tekanan meningkat dalam semua tempoh matang, sejajar dengan pasaran bon global

Keluk hasil tanda aras MGS (akhir tempoh)
Spred bon korporat* berbanding MGS
* Bon Korporat menerima penarafan antara AAA dan BBB.
Sumber: Bloomberg, Bank Negara Malaysia, pengiraan SC.
Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami | Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup