Meningkatkan Pengawasan dan Penyeliaan Pasaran Modal

Fungsi dan kemampuan pemantauan dan penyeliaan yang proaktif dan mantap adalah penting untuk memastikan tatalaku dan amalan yang wajar oleh peserta pasaran di samping mengekalkan kepercayaan dalam pasaran modal. Berikutan risiko baru muncul dan kebimbangan yang dikenal pasti, SC menjalankan aktiviti kawal selia dan inisiatif yang bermatlamat untuk mengukuhkan dan meningkatkan keupayaan penyeliaan dan pemantauan.

Memupuk Ketahanan Pasaran, Infrastruktur dan Institusi Melalui Penyeliaan dan Pengawasan Berterusan

Penyeliaan dan pemantauan institusi dan pasaran
  • Pemantauan ke atas Bursa Malaysia

    Teknologi adalah penting untuk meningkatkan operasi infrastruktur pasaran yang adil, teratur dan telus. Oleh kerana infrastruktur dan sistem IT semakin berautomasi, saling berhubungan dan kompleks dari semasa ke semasa, keteguhan dan daya tahan teknologi pasaran, sistem dan proses yang berkaitan adalah kritikal. Sebagai satu-satunya bursa bersepadu yang dibenarkan di Malaysia, Bursa Malaysia diharap dapat menawarkan kepada orang ramai sebuah platform dagangan yang andal, cekap dan telus.

    Untuk maklumat mengenai Penilaian Kawal Selia ke atas Bursa Malaysia, sila rujuk Rajah 3.
  • Bursa Malaysia sebagai Pusat Sehenti untuk Pasaran ACE
    Susulan pengumuman pada 2020 mengenai pemindahan keseluruhan rangka kerja pasaran ACE, termasuk pendaftaran prospektus kepada Bursa Malaysia, peraturan dan rangka kerja operasi yang relevan telah disediakan.

    Bursa Malaysia akan mengambil alih peranan sebagai pusat sehenti bagi pasaran ACE, berkuat kuasa 1 Januari 2022.
  • Pemantauan terhadap Pengendali Pasaran Diiktiraf
    Memandangkan pasaran yang diiktiraf ialah pasaran tanpa pengantaraan yang mengambil pelabur dan pelanggan secara langsung, peranan SC adalah untuk mengawasi pematuhan pengendali pasaran yang diiktiraf (RMO) terhadap antara lain, Guidelines on Recognized Markets (Garis Panduan RMO), Guidelines on Prevention of Money laundering and Terrorism Financing for Capital Market Intermediaries dan Guidelines on Implementation of Targeted Financial Sanctions Relating to Proliferation Financing for Capital Market Intermediaries (TFS-PS Guidelines). Di samping itu, memandangkan RMO juga diharapkan agar memantau dan mengurangkan keselamatan siber dan risiko infrastruktur dalam Guidelines on Management of Cyber Risks (Garis Panduan Risiko Siber).

    Untuk maklumat mengenai Penilaian Kawal Selia Tematik ke atas Bursa Aset Digital, sila rujuk Rajah 4.

Memastikan dagangan yang adil dan teratur melalui pemantauan proaktif

SC terus menjalankan pemantauan proaktif bagi memastikan dagangan yang adil dan teratur dalam pasaran modal. Dalam suasana volatiliti pasaran dan penyertaan runcit yang aktif, SC meningkatkan pemantauannya terhadap aktiviti pasaran untuk memastikan pengesanan dan pemakluman salah laku dagangan serta pengenalpastian arah aliran dan risiko yang baru muncul yang tepat pada masanya. Sehubungan ini, pelbagai penilaian tematik telah dijalankan untuk memudah cara fungsi keseluruhan pengurusan risiko pasaran SC.

Sebagai sebahagian daripada pengawasan SC ke atas Bursa Malaysia sebagai pengawal selia barisan hadapan, libat urus turut diadakan bersama bursa saham untuk memastikan langkah-langkah preemptif yang pantas diambil bagi membendung penyelewengan dagangan pada peringkat awal. Langkah-langkah preemptif tersebut termasuk sesi libat urus Bursa Malaysia dengan pengantara pasaran modal untuk berkongsi kebimbangan dan membincangkan intervensi yang berkemungkinan.
  • Pemantauan Aktiviti Jualan Singkat Dikawal selia
    Pada 4 Januari 2021, aktiviti Jualan Singkat Dikawal selia (RSS) disambung semula selepas digantung sementara selama sembilan bulan sejak Mac 2020. Selepas dagangan disambung semula, aktiviti pengurusan risiko yang diperbaharui menyebabkan dagangan RSS yang agak aktif sebelum menyederhana kepada purata kira-kira 1% daripada jumlah nilai pasaran yang didagangkan sepanjang 2021. Di samping itu, perkembangan sekitar insiden pemerasan singkat GameStop oleh peruncit di AS telah menimbulkan kebimbangan terhadap risiko serupa yang berkaitan dengan aktiviti jualan singkat domestik. Walau bagaimanapun, risiko tersebut tidak timbul dalam pasaran domestik disebabkan oleh persekitaran dan rangka kerja kawal selia yang berbeza, termasuk antara lain, had kedudukan jualan singkat yang ditetapkan.

    Namun begitu, SC memantau rapi aktiviti RSS bagi memastikan urus niaga dijalankan secara adil dan teratur, dan risiko yang muncul diurus dengan berkesan. Secara keseluruhan, aktiviti RSS ditadbir dengan baik melalui langkah kawalan sedia ada yang dipertingkatkan dalam memastikan kestabilan pasaran dan mengurangkan risiko pelabur mengambil kedudukan singkat bersih yang berlebihan. Kawalan tersebut termasuk had kedudukan singkat bersih agregat yang lebih ketat, peraturan penanda (tick rule) dagangan dan had volum jualan singkat harian.
  • Pemantauan aktiviti korporat
    Pemantauan proaktif ke atas penzahiran dan aktiviti korporat syarikat tersenarai telah dijalankan untuk mengesan potensi pelanggaran undang-undang sekuriti atau ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang diluluskan dengan memanfaatkan alat dan teknologi pengawasan, serta menjalankan semakan tematik untuk mengenal pasti bidang berisiko.

    Berdasarkan bidang risiko yang dikenal pasti pada 2021, aktiviti pemantauan dan semakan telah dijalankan ke atas amalan korporat syarikat tersenarai. Di samping itu, libat urus telah dijalankan bersama pengarah, juruaudit berkanun dan pihak berkepentingan lain yang membabitkan 25 syarikat tersenarai.

    Apabila semakan dan penilaian amalan korporat syarikat tersenarai mendedahkan potensi pelanggaran undangundang sekuriti, perkara tersebut akan dirujuk untuk siasatan lanjut dan/atau untuk tindakan penguatkuasaan. Dalam kes di mana penyelewengan berpotensi yang diperhatikan adalah di luar bidang kuasa SC, rujukan akan dibuat kepada pihak berkuasa lain untuk tindakan mereka.
    Penzahiran yang Mengelirukan

    Pada 2021, salah laku berpotensi yang dikesan oleh SC termasuk kemungkinan penzahiran mengelirukan dilakukan oleh syarikat tersenarai, yang mungkin telah mendorong aktiviti dagangan sekuriti atau mempengaruhi harga pasaran sekuriti. Dengan meningkatnya pengumuman mengenai COVID-19 atau usaha niaga berkaitan penjagaan kesihatan, SC memantau dan menilai dengan teliti penzahiran yang dibuat untuk memastikan mereka tidak mengambil kesempatan daripada wabak semasa dengan membuat mana-mana kenyataan palsu atau mengelirukan yang mungkin mempengaruhi pelabur dalam membuat keputusan pelaburan.

    Ketidakpatuhan terhadap Piawaian Pelaporan Kewangan

    SC terus mengadakan libat urus dengan syarikat tersenarai dan juruaudit berkanunnya untuk menggalakkan penyata kewangan yang berkualiti tinggi dan boleh dipercayai. Antara pelanggaran yang diperhatikan pada 2021 ialah ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang diluluskan berhubung pengolahan perakaunan bagi pelaburan dalam dana borong.

    SC memerhatikan bahawa syarikat tersenarai tertentu mengurus lebihan tunai mereka dengan melabur dalam dana borong dan terdapat situasi di mana dana borong dilihat sebahagian besarnya digunakan untuk memenuhi keperluan pengurusan tunai khusus syarikat tersenarai tersebut. Beberapa dana borong ini memegang portfolio pelaburan yang sebahagian besarnya atau  keseluruhannya terdiri daripada alat kewangan syarikat tersenarai tersebut dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengannya. Ini mungkin menyebabkan syarikat tersenarai mempunyai kawalan yang berkesan ke atas dana borong. Jika kawalan sedemikian wujud, layanan perakaunan untuk pelaburan syarikat tersenarai dalam dana borong hendaklah dinilai dan ditunjukkan dengan sewajarnya.

    Di samping itu, SC juga menyatakan contoh ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang diluluskan berhubung kegagalan untuk mengklasifikasikan semula sukuk kekal tertentu daripada instrumen ekuiti kepada liabiliti kewangan apabila syarikat tersenarai tidak lagi mempunyai hak tanpa syarat untuk mengelakkan penebusan sukuk kekal.
    Bidang pelanggaran korporat yang lain

    Bidang pelanggaran korporat yang ditangani pada 2021 termasuk:

    • Penipuan berhubung dengan pemerolehan asset pada harga yang dinaikkan;
    • Penipuan berhubung dengan penerbitan sekuriti menurut skim opsyen saham pekerja;
    • Kerugian yang salah melalui salah guna kemudahan kredit;
    • Kerugian yang salah melalui salah guna hasil daripada pelaksanaan pengumpulan dana;
    • Penipuan perakaunan melibatkan transaksi palsu yang dinyatakan dalam penyata kewangan untuk menaikkan pendapatan dan keuntungan; dan
    • Ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang diluluskan berkaitan dengan penzahiran urus niaga pihak berkaitan yang utama.
  • Pengawasan terhadap pasaran bon korporat dan sukuk
    Sebagai sebahagian daripada aktiviti penyeliaan berterusan SC ke atas pasaran bon korporat dan sukuk, penerbit bon korporat dari sektor perniagaan yang dikenal pasti terkesan dengan pandemik COVID-19 telah dipantau rapi. Sektor-sektor ini termasuk, antara lain, hartanah, infrastruktur, dan utiliti serta minyak dan gas. Beberapa penerbit bon korporat telah memohon pembabitan pelabur bagi pengecualian sama ada dalam pembayaran kupon, keuntungan atau prinsipal, atau pelanjutan masa untuk memenuhi nisbah kewangan yang dipersetujui serta bentuk pembiayaan semula yang lain. Walau bagaimanapun penerbit bon korporat ini, terdiri daripada bahagian yang amat kecil daripada pasaran bon korporat dan sukuk.

    Pasaran bon korporat dan sukuk mencatatkan satu satu penerbit mungkir (pada Februari 2021) berjumlah RM70 juta atau 0.0009% daripada jumlah bon korporat dan sukuk belum tebus. Sepuluh penurunan taraf juga dicatatkan pada 2021, berbanding enam pada 2020. Sepuluh penurunan penarafan tersebut adalah daripada sektor infrastruktur dan utiliti (3), sektor hartanah (2), sektor kewangan (2) dan penghutang pengguna serta sektor perdagangan dan perkhidmatan (3). Bagi prospek penarafan, terdapat 10 semakan menurun dalam prospek bon korporat pada 2021 berbanding 16 pada 2020. Daripada 10 semakan tersebut, satu penerbit telah disemak daripada prospek positif kepada stabil, dan sembilan penerbit telah disemak daripada prospek stabil kepada negatif.

Pengawasan Terhadap Pengantara Pasaran Modal

Pautan Berkaitan
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia | Hubungi Kami | Penolak Tuntutan | Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Follow us on:
Ooops!
Generic Popup