Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2023, dengan saiz pasaran berkembang sebanyak 5.6% kepada RM3.8 trilion (2022: RM3.6 trilion), didorong oleh pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan hari ini, berkata industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion (2022: RM906.5 bilion) yang sebahagian besarnya disebabkan daripada kesan penilaian positif.
SC juga mengeluarkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2023 (Laporan AOB 2023), dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2023 (CMSR 2023).
Pengerusi SC, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata prestasi pasaran modal yang kukuh telah dicapai walaupun berhadapan cabaran ekonomi global dan jangkaan yang berbeza terhadap dasar monetari dalam ekonomi utama.
“Tahun 2023 amat istimewa kerana ia merupakan ulang tahun ke-30 SC. Ini merupakan satu pencapaian penting yang jelas memaparkan peningkatan kematangan dan daya tahan SC sebagai sebuah institusi.,” katanya.
“SC kekal tidak berbelah bahagi dalam keazaman kami untuk mengukuhkan rangka kerja kawal selia kami dan menegakkan integriti pasaran, apatah lagi kerana kami terus diukur berdasarkan piawaian kawal selia global.,” tambahnya.