Sekatan kewangan sasaran yang berkaitan dengan pencambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) merupakan piawaian antarabangsa yang diperkenalkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) di bawah 40 Cadangan FATF yang dikeluarkan pada Februari 2012.
Di bawah piawaian ini, negara-negara dikehendaki melaksanakan sekatan kewangan sasaran tanpa menangguh bagi mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berkaitan halangan, penekanan, dan pemberhentian pencambahan senjata pemusnahan besar-besaran dan pembiayaannya.
UNSC telah mengenakan sekatan ke atas individu dan entiti yang terlibat dalam usaha pencambahan aktiviti WMD melalui resolusi berikut:
- Resolusi 2231 (2015) berkaitan dengan Republik Islam Iran; dan
- Resolusi 1718 (2006), 1874 (2009), 2087 (2013), 2094 (2013) dan 2270 (2016) dan resolusi seterusnya, berkaitan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).
Dalam melaksanakan tanggungjawab Malaysia berkaitan resolusi UNSC di atas, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA) dan Peraturan Perdagangan Strategik (Resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu) 2010 (Peraturan) telah mengeluarkan beberapa Perintah untuk menetapkan individu dan entiti tersenarai dalam resolusi UNSC di atas.
Menurut Peraturan 3 Peraturan tersebut, antara lain, pengantara dikehendaki untuk:
- Membekukan aset-aset kewangan lain individu dan entiti tersebut yang berada di Malaysia; atau
- Menghalang pelaburan di Malaysia yang dilakukan oleh individu dan entiti tersebut; dan
- Menghalang pemberian perkhidmatan kewangan.
Sebagai rujukan bagi pematuhan oleh para pengantara, pautan kepada Peraturan dan Perintah yang dikeluarkan oleh MITI adalah seperti berikut: