Proses Perlesenan
Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), sesiapa yang ingin menjalankan aktiviti pasaran modal (melainkan ia seorang individu berdaftar) mestilah mempunyai lesen yang sah. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merupakan pihak berkuasa pelesenan tunggal yang meluluskan lesen untuk pengantara pasaran modal melibatkan diri dalam aktiviti yang dikawal selia.
Di bawah rejim pelesenan tunggal CMSA, pengantara pasaran modal yang layak dan sesuai diberikan satu lesen sahaja yang membolehkan mereka menjalankan satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia.

SC diberi tanggungjawab untuk memastikan proses pelesenan yang cekap dan telus serta pengantara berlesen dan wakilnya adalah berwibawa dan mahir dalam menyediakan perkhidmatan mereka kepada para pelabur. Jabatan Kebenaran & Pelesenan SC yang ditauliahkan sebagai Jabatan ISO 9001: 2008, menjalankan penilaian permohonan lesen di bawah bidang kuasanya dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut piawaian prestasi ISO.

Terdapat dua jenis permohonan pelesenan iaitu-
  • Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) baharu – diberikan kepada syarikat prinsipal
  • Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSRL) baharu – diberikan kepada wakil untuk membolehkannya menjalankan satu atau lebih aktiviti yang dikawal selia bagi pihak prinsipalnya. 

Proses penilaian untuk permohonan tersebut dinyatakan di sini.

Pemegang CMSL dikehendaki menyerahkan borang melalui Sistem Permohonan Pelesenan Elektronik (ELA) bagi:

  1.  Pelaporan Tahunan untuk Pemberian Kebenaran bagi Aktiviti (ARAA); dan
  2. Laporan Pematuhan Layak dan Sesuai oleh Syarikat Berlesen.

Borang-borang lain yang perlu diserahkan melalui Sistem ELA untuk permohonan masing-masing dinyatakan dalam Buku Panduan Pelesenan SC. Akses kepada Sistem ELA hanya diberikan kepada pemegang CMSL berlesen.

Kit Permohonan Pelesenan boleh diperolehi di laman sesawang SC. Untuk membolehkan permohonan dinilai dan diluluskan menurut piagam pelanggan SC, penyerahan permohonan hendaklah dilakukan dengan tepat, lengkap dan memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam Buku Panduan Pelesenan. SC memantau pematuhan berterusan pemegang lesen terhadap peruntukan undang-undang sekuriti, keperluan pelesenan dan syarat-syarat lain.

Piagam Pelanggan
Jenis Permohonan Tempoh (minggu)

CMSL baharu

6

CMSRL baharu

2

Siapakah yang dilesenkan oleh SC

SC mengeluarkan 2 jenis lesen iaitu CMSL dan CMSRL untuk aktiviti yang dikawal selia berikut:
  • Urus niaga dalam sekuriti
  • Urus niaga dalam derivatif
  • Pengurusan dana
  • Urus niaga dalam skim persaraan swasta*
  • Nasihat kewangan korporat
  • Nasihat pelaburan
  • Perancangan kewangan
*Ejen dan kakitangan pemegang CMSL bagi urus niaga dalam skim persaraan swasta tidak dikehendaki untuk memiliki lesen CMSRL. Bagaimanapun, mereka mestilah berdaftar dengan Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) dan mematuhi mana-mana peruntukan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh SC.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup